17 Jun 2008

Kemana Kita?

Itulah persoalan yang diajukan oleh seorang ahli Puteri yang saya temui di Tebrau hari Ahad yang lepas. Ternyata,tajuk ceramah saya pada pagi itu dilontarkan semula kepada saya dengan ikhlas dari seorang anak muda awal 20an yang mendekati saya sebaik Program tamat. Saya merenung anak mata gadis yang menyoal. Ada perasaan cemas yang tergambar. Saya memahami,beliau bimbang tentang masadepan parti yang baru dianggotainya sejak dua tahun yang lalu.

Jika kita yang baru setahun jagung dalam perjuangan ini berasa bimbang dengan senario semasa,apatah lagi dengan mereka yang telah lama. Kebanyakan dari mereka yang telah berpuluh tahun dalam UMNO mengakui bahawa kemelut yang berlaku hari ini adalah yang tersukar pernah dialami sejak Parti yang pernah dikatakan keramat ini ditubuhkan pada tahun 1946.

Sebentar tadi,seorang rakan yang juga merupakan wartawan sebuah akhbar harian ternama menghantar sms yang kononnya esok parti komponen SAPP dari Sabah akan buat sidang akhbar tergempar untuk umumkan kejutan besar bagi politik Malaysia. Tak tahulah samada ianya benar atau hanya rekaan semata-mata. Sama-sama kita tunggu esok.

Namun,inilah perkara utama yang sedang hangat diperkatakan.Keadaan politik yang kurang stabil ditambah dengan pelbagai kontroversi yang tercetus 2,3 hari kebelakangan ini,membuatkan ramai yang mula hilang keyakinan. Bagaimana hendak kita kembalikan keyakinan rakyat semula? Nampaknya pengisytiharan 'peralihan kuasa' juga tidak dapat menenangkan suasana.Pembayaran rebat tunai subsidi minyak juga,ada yang tidak puashati.Seorang teman saya yang bekerja di Pejabat Pos di Kuantan,menceritakan bagaimana ramai yang datang menuntut rebat tetapi masih lagi tidak puashati dengan kerajaan. Ada benarnyalah apa yang dikatakan MB Pahang,bahawa apa sahaja tindakan kita buat sekarang,sentiasa salah dimata orang.

Artikel ini ditulis hanyalah sekadar memberikan sedikit gambaran tentang perasaan kebanyakan orang yang saya temui. Saya harap rakan-rakan maya dapat memberikan pandangan serta cadangan yang membena dan positif bagaimana kita semua dapat mempertahankan kerajaan hari ini yang sudah pastilah diterajui UMNO. Bagaimana kita dapat meneruskan kelansungan kuasa umno? Saya sangat berharap agar perbincangan yang dibuka ini berjalan dengan berhemah dan menunjukkan kematangan kita. Berilah pandangan yang jujur dan ikhlas untuk sama-sama kita cari formula yang terbaik.Ibarat menarik rambut dari tepung,rambut tak putus,tepung tak berterabur.

InsyaAllah,hasil perbincangan ini nanti dapat kita rumuskan untuk dicadangkan kepada pucuk pimpinan.Apa yang penting,siapapun kita,apapun jawatan kita,kita mestilah terus bertekad untuk meneruskan tradisi UMNO,membela rakyat khususnya memastikan teras serta asas perjuangan yang terkandung dalam Perlembagaan Negara akan terus menjadi agenda utama.

Dengan ini,saya buka forum ini untuk selama 3 hari sebelum saya mengulas dan merumuskannya nanti.Wassalam.

07 Jun 2008

Apa Kata Islam Tentang Wanita Berpolitik

Tajuk diatas adalah tajuk sebuah buku tulisan Dr Shayuty Abd Manas yang akan diterbitkan olehPTS Publications & Distibutors Sdn Bhd tidak lama lagi. Saya diberi penghormatan oleh penerbit untuk meneliti manuskrip dan seterusnya memberikan testimoni keatas karya tersebut. Menarik,ringkas dan padat.Perlu dibaca oleh mereka yang was-was tentag peranan yang boleh dimainkan oleh kaum wanita dalam bidang politik.

Yang paling menarik perhatian saya ialah pendedahan Penulis tentang tokoh-tokoh Muslimah dalam sejarah yang melibatkan diri dalam bidang politik.Nama seperti AlKhairazaan yang merupakan ibu kepada Khalifah Harun AlRashid,isterinya Zubaidah,Arwa Permaisuri Yaman,Siti AlMalik al Fatimi,Ummu Anusywaran,Tarakan Khatun Aljaliyah dan ramai lagi yang tidak pernah didengar namanya,telah diceritakan tentang perjuangan mereka dalam Buku ini.Terkilan juga saya kerana Penulis tidak pula mengulas tentang tokoh politik wanita tempatan seperti Ibu Zain,Tun Hajjah Fatimah dan sebagainya.Mungkin dalam edisi kedua agaknya nanti,InsyaAllah.

Buku ini jelas menyatakan bahawa tiada halangan dalam Islam untuk wanita berpolitik. Dr Yusof AlQardhawi mengulas bahawa ayat Qur'an menyatakan kelebihan lelaki mengatasi perempuan sebenarnya hanya dalam kehidupan suami isteri.Lelaki adalah ketua Keluarga,dia bertanggungjawab atas mereka.Dan suami yang membenarkan isteri berpolitik demi kebaikan masyarakat dan Negara,maka suami juga seolah-olah memberi sumbangan bakti terhadap kebaikan tersebut.

Hayatilah Ayat AlQur'an dalam surah AnNahlu ayat 7 yang bermaksud " Barangsiapa yang melakukan amal baik,samada lelaki ataupun perempuan dalam keadaan beriman,maka setengahnya kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya kami beri balasan yang lebih baik dari apa yang mereka lakukan"

Pendekata,buku ini kelak bakal merungkai banyak persoalan-persoalan yang sering diajukan oleh mereka yang berfikiran sempit tentang peranan wanita dalam bidang politik.Tunggulah kemunculannya di pasaran,dan jangan lupa beli dan hadiahkan kepada sesiapa yang difikirkan 'memerlukannya'.

06 Jun 2008

MINYAK NAIK,KITA PUN NAIK MINYAK?

Semalam,seorang teman dari utara menghantar sms kepada saya dengan ucapan sinis 'Selamat Menyambut Hari Gasoline Malaysia'. Ia pastinya ekoran dari kenaikan harga minyak yang mendadak semalam. Tiada seorang pun rakyat Malaysia yang tidak terkejut. Sewaktu berita diterima,saya dalam perjalanan dari Kuala Lumpur pulang ke kawasan untuk mengikuti Program Kempen Bumi Hijau yang diatur oleh Komuniti Bestari. Disepanjang jalan,stesen minyak semuanya sesak.Saya sendiri termenung,mengenangkan nasib rakyat Malaysia selepas ini. Kalau nak migrate ke negara lain pun,sama juga malah ada yang lebih tak bernasib baik dari kita.Tidak sampai 5 minit,saya mula mendapat SMS yang bertalu-talu baik dari rakan-rakan Puteri mahupun rakyat di kawasan. Seperti diduga,semuanya marah dan kecewa. Dikawasan saya,penduduk di Felda Ulu Jempol dan Jengka 2 yang sudah seminggu diduga dengan ketiadaan bekalan air akibat kerosakan Loji,lagilah bengang..kesian sungguh.Saya tidak tahu nak jawab apa..terpinga kerana tidak juga mendapat makluman awal tentang perkara ini. Saya dapat membayangkan,mesti ramai pulak yang 'naik minyak' selepas ini.

Sesampai saya di 'Rumah Rakyat' yang juga merupakan Pusat Khidmat saya, saya terus 'on line' untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang kenaikan harga minyak yang terlampau ini.Rupa-rupanya langkah ini diambil kerana Kerajaan merancang untuk menggunakan subsidi (yang selama ini diperuntukkan kepada petrol dan diesel) bagi mengawal harga barang makanan pula.Harap-haraplah formula ini berjaya.Kenaikan harga minyak ini dikatakan telah dapat menjimatkan wang Kerajaan sejumlah RM13.8b..Harap-harap ia benar-benar digunakan untuk manfaat rakyat secara keseluruhannya. Walaubagaimanapun Kerajaan masih menanggung 30 sen seliter petrol dari harga yang kita bayar hari ini.Kalau ikut harga pasaran semasa,kita sepatutnya membayar RM3 seliter.

Insentif lain untuk kurangkan beban rakyat juga telah diatur. Antaranya,rebate sebanyak RM625 yang diberikan kepada pemilik kenderaan 2000cc kebawah,apabila kita memperbaharui cukai jalan.Kepada yang telah renew roadtax pada atau selepas 1 April lepas,bolehlah dapatkan rebate secara tunai di Jabatan Pengangkutan Jalan. Motor juga dapat rebate cukai jalan. Hmm..apapun,yang pasti semua pehak termasuk diri kita sendiri mesti mengambil langkah untuk mengurangkan beban yang kita hadapi sekarang ini. Kena lebih berjimat cermat dan hemah berbelanja.

Dalam hal ini,saya bersetuju dengan Tok Nan yang mahukan Kerajaan tumpu pehatian untuk menyelesaikan isu yang membeban dan menyeksa rakyat ini daripada memberi perhatian kepada isu Video Linggam, Suruhanjaya Kehakiman dan sebagainya. Walaupun selama ini kita telah memberi subsidi yang banyak kepada bahan makanan asas tetapi peniaga tetap naikkan harga barang sewenang-wenangnya.Saya harap RM13.8b yang ditarik dari subsidi minyak ini,tidaklah menjadi sia-sia. Contohnya,sebelum ini kita bayar RM12 juta sebulan subsidi tepung tapi harga roti canai tetap juga naik.Begitu juga kita bayar subsidi RM14 bagi setong 1kg gas memasak,tetapi peniaga restoran tetap naikkan harga...jadi bagaimana?duit kerajaan terbazir,rakyat pula tetap merana.

Walaubagaimanapun,saya menyeru kita semua untuk menanam sayur sendiri dikeliling rumah,kurangkan makan nasi,gunakan kenderaan yang kurang gunakan minyak...kalau nak bergerak ke tempat yang dekat,guna basikal,boleh juga kita mencairkan lemak-lemak yang berlebihan...

Fikir-fikir balik,kita tetap lebih bertuah daripada orang dinegara lain...kita masih jauh lebih baik jika nak dibandingkan dengan jiran kita Indonesia..Bersyukurlah kita tidak sedaif mereka di Afrika,Myammar dan masih lagi dipelihara Allah taala daripada malapetaka sepertimana di China baru-baru ini....Ya Allah..Selamatkan Tanahairku Yang Tercinta...Amin.

04 Jun 2008

Istimewakah Kita

Banyak sekali perkembangan yang membimbangkan hati perut kita akhir-akhir ini. Ramai yang makin confuse dan sudah ada yang dah malas untuk memikirkan tentang apakah yang nak jadi dengan kita. Belum reda akar umbi dikejutkan dengan kemasukan semula bekas Ketua Angkatan Muda Adil (Ezam) kedalam UMNO,yang mendapat teguran dari Tan Sri Muhyidin supaya bukan menjadi hadiah kuda trojan,kita juga melihat bagaimana Ahli-ahli Parlimen kita bertelagah sesama sendiri dan berkemungkinan akan dihadapkan ke Lembaga Disiplin. Keadaan semakin huru-hara dan rakyat semakin muak dan meluat.

Sebagai seorang pemimpin muda dalam UMNO,saya pun secara peribadi mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Kita mula membuat tindakan menampakkan kita dalam keadaan yang terdesak untuk mendapatkan sokongan 'orang lain'. Seorang rakan baik saya berpendapat bahawa,sebenarnya,rakyat malaysia yang ada keistimewaan paling tinggi ialah orang bukan melayu yang kita terima dan iktiraf sebagai warganegara.Katanya lagi,cuba kita tarikbalik kewarganegaraan dan hanya beri mereka kebenaran untuk tinggal dan mencari makan di negara kita,agaknya apa reaksi mereka?

Tetapi nampaknya kita yang semakin hilang keistimewaannya. Biasiswa sudah diputuskan akan menjadi milik Bukan Bumiputera sebanyak 45%. Esok lusa kita tak tahulah apa lagi keistimewaan yang kita kecapi hari ini akan menjadi milik orang lain. Subsidi Petrol dan Disel nanti juga akan hanya diberi kepada yang tertentu sahaja,harap-harap ianya diformulakan tanpa mengenepikan hak istimewa orang Melayu. Kita bukan mahu mengamalkan diskriminasi tetapi apa yang 'hak' wajib kita pertahankan.