30 Disember 2010

Aids, Bola Dan Tok Empat

Salam semua..

Jangan terkejut membaca tajuk di atas..sebenarnya ia merupakan tiga agenda pertama saya pada hari semalam. Walaupun ianya tidak ada kena mengena antara satu sama lain tetapi jika diperhalusi kembali,ketiga-tiganya mungkin juga boleh jadi ada kaitannya.Ye lah, kita semua tahu Aids dan Hiv kini menjadi salah satu pembunuh utama rakyat kita.Pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengekang penularan penyakit aids dan hiv. Peranan semua pihak termasuk Tok Empat di kampung-kampung sangat penting. Penting untuk pastikan masyarakat kita sama-sama mengambil tanggungjawab dan menggalakkan anak-anak muda menyertai pelbagai aktiviti berfaedan seperti bermain Bola agar terhindar dari aktiviti yang boleh menjerumuskan mereka kearah penyalahgunaan dadah.

Semalam saya tlah dijemput oleh Pejabat Kesihatan Daerah Maran untuk merasmikan Hari Aids Peringkat Daerah Maran di Dewan Orang Ramai Jengka 3. Boleh tahan juga sambutan yang diberikan.Paling menarik ialah sesi pengakuan dari seorang penagih tegar berusia 50 tahun yang kini sedang menjalani terapi metadon. Encik Osman (bukan identiti sebenar) telah menjadi penagih selama 30 tahun. Pelbagai usaha telah diambil untuk pulih tetapi gagal. Keberanian beliau untuk naik ke pentas dan menceritakan kisah hidupnya selaku Penagih amat menyentuh hati saya. Sekurang-kurangnya beliau dapat memberi kesedaran kepada anak-anak muda supaya jangan sekali-kali mencuba.

Malamnya saya bersama dengan anak-anak bersorak riang di hadapan Skrin Besar di Dewan yang sama.Memang seronok menonton bola beramai-ramai ni... syabas kepada JKKK dan Belia Jengka 3 yang menganjurkan acara sebegini... sekurang-kurangnya pelbagai lapisan masyarakat dapat berkumpul bersama dalam kemeriahan perlawanan bolasepak antara Malaysia dan Indonesia semalam.

Memang meriah...especially bila wisel penamat ditiup, gegak gempita Dewan tu dibuatnya... semua lepas tu pakat balik dengan senyum puas...

Tapi saya tak boleh balik lagi..ada satu lagi perkara nak diselesaikan.... maklumlah... semua Tok Empat akan tamat tempoh perkhidmatannya pada 31hb Disember,2010... hmmmm.... pening.... pelbagai sudut, pelbagai pandangan perlu dipertimbangkan.. mudah2an Allah beri saya petunjuk dan hidayah dalam membuat keputusan yang terbaik kepada masyarakat setempat.

Setelah selesai satu sesi perbincangan di rumah seorang tok empat, akhirnya jam 1 pagi baru saya sampai semula ke rumah. Anak-anak yang saya hantar pulang terlebih dulu setelah selesai menonton bola tadi,semuanya dah lena dibuai mimpi....

28 Disember 2010

Linda calon BN Dun Tenang?

Makin dekat dengan tarikh penamaan calun,maka banyak spekulasi dibuat tentang calun BN di Dun Tenang. Bukanlah sengaja nak menambah spekulasi tetapi saya pasti nama Ketua Wanita Bahagian Labis juga turut disebut-sebut. Linda,bukan nama asing dikalangan ahli-ahli Puteri Umno di seluruh negara walaupun beliau adalah seorang Ketua Wanita Bahagian. Beliau sebelum ini adalah Ketua Puteri Bahagian dan juga Setiausaha Kerja Puteri UMNO Malaysia sewaktu dibawah kepimpinan YB Datuk Noraini Ahmad.

Linda pastinya berpeluang kali ini untuk dinilai oleh pucuk pimpinan parti tetapi semuanya bergantung kepada nasib dan ketentuan ilahi. Sekiranya terpilih,Linda saya yakin mampu untuk menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat kerana beliau telah terbukti mempunyai ketahanan dan komitmen yang tinggi dalam perjuangan parti.Wanita muda yang terasuh dibawah kepimpinan Puteri ini mampu menyaingi rakan-rakan seperjungan malah meninggalkan calun Pembangkang dibelakang.

Apapun,ini hanyalah pandangan peribadi saya tentang Linda.Pucuk pimpinan pastinya akan memilih calun yang benar-benar layak setelah mengambilkira pelbagai faktor. Sebagai seorang sahabat,saya mendoakan kejayaan Linda dan pastinya jika pun beliau tidak terpilih sebagai calun,saya akan tetap turun ke PRK Dun Tenang untuk membantu beliau.

26 Disember 2010

Pelangi Petang by Aeen

selamat tinggal dunia fb?

seharian hari ni mengemaskini blog hinggakan fb saya pula agak sunyi...ada juga seorang kawan kata.. bila dah berblog nanti mesti dah tak berfb. Mungkin ada benar juga sangkaan kawan saya tu. Tapi insyaAllah,saya akan cuba bahagi masa tetapi yang paling penting,tugas saya mendahulukan rakyat, mesti diutamakan.

Kebetulan pula hari ni program saya disebelah malam, jadi,masa yang ada saya luangkan bersama-sama dengan Cikgu H (pegawai media saya), Joe dan Amir untuk sama-sama explore dunia maya sambil bertukar pandangan tentang isu-isu semasa. Anak-anak pula awal-awal lagi ikut Baba diaorang ke Temerloh untuk shopping barang sekolah.Tinggal anak saya yang sulung, Munzir dan Bibik menemani saya di rumah. Menjelang tengahari, suami saya pula join sekaki. Kali ni, siap bincang tentang lagu latar blog lagi. Nampak gayanya,semua duk pakat nak jadi blogger dah ni.. HEHEHE.. maka.. bermacam-macam nama dan idea timbul... makin meriah bila sikecik Aeen pun join duk sebuk dengan ipadnya... jangan Bibik pun buka blog lak lepas ni sudah la...hahaha

walaubagaimanapun,imej blog ini akan lebih santai. Ianya tidak akan hanya bertumpu kepada isu politik tetapi lebih kepada daily observation of my life. Hari ni, banyak juga ilmu yang saya pelajari. Kiranya hari berekspedisi juga lah. Ajaibnya, mood saya terus bertukar ceria, walaupun pagi tadi saya bangun tidur dengan rasa sungguh tak bermaya.M ungkin kerana tak berapa cukup tidur, akhir-akhir ni.

Malam ni,saya dijemput menyampaikan hadiah pertandingan Battle of the Band di Padang Awam Felda Ulu Jempol. Dalam hati,alamak... teringin nak menonton perlawanan bolasepak antara Malaysia dengan Indonesia. Dengar cerita, by this hour, jalan masuk ke KL dari semua arah, dah pun mula sesak.. heee.. sesak nafas memikirnya.. baiklah menonton di rumah di depan tv atau kat big screen mana-mana kedai mamak. Jangan bergaduh-gaduh pulak sudah la. Kalau bergaduh, alamat esok ramai la kerja kontrak tertangguh dan Bibik-bibik mogok tak nak kemas rumah. Itu lah masalahnya kita ni kan,semua dah berpelajaran tinggi,mana ada lagi yang nak jadi Kuli. Saya sendiri,kalau adalah orang tempatan yang nak jadi pembantu rumah,mahu saya buat kenduri. Bibik yang ada ni pun dah nak tamat kontrak tak lama lagi. Bukan senang juga nak cari ganti.

Apapun,saya harap Malaysia menang malam ini.Malaysia Boleh!

25 Disember 2010

Kembali

Assalamualaikum wa rahmatullah,salam sejahtera dan salam satu Malaysia.

Agak lama juga saya meninggalkan blog ini sunyi tanpa bicara. Gesaan teman-teman untuk kembali berkarya sering saya diamkan begitu sahaja. Bukan sudah hilang minat atau sengaja untuk membisu seribu bahasa tetapi mungkin terlalu banyak perkara yang telah memudarkan semangat saya.Namun,pertemuan saya dengan seorang blogger bernama Braveheart telah mengembalikan keterujaan saya untuk kembali berkarya.Siapa sangka,laman yang telah lama saya abaikan ini,masih lagi menjadi perhatian orang lebih-lebih lagi seorang yang dikira otai dalam dunia Blog.Dua kali beliau menegur tentang betapa banyak nya semak dan sawang dilaman ini,membuatkan saya kembali ke sini..kembali untuk bukan sahaja berkongsi suara hati tetapi kembali untuk menemui diri saya sendiri.Bukanlah pula maksud saya bahawa selama ini saya telah hilang jati diri tetapi mungkin kesibukan sebagai wakil rakyat yang pastinya sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran membuatkan saya lupa bahawa diri sendiri juga perlukan perhatian dari saya.

Saya ingin kembali menjadikan laman ini sebagai tempat saya berbicara dari hati dan minda. Menjadi diri saya yang sebenarnya,dari sudut kemanusiaan dan ehsan seorang insan. Saya harap,pembaca laman ini dapat menerima saya,pandangan dan perkongsian saya bukan dari sudut politik semata-mata.Laman ini akan saya jadikan ruang seperti yang saya katakan diatas tadi,sebagai curahan rasa dan minda untuk dijadikan terapi kepada kepenatan tugas sehari-hari.

InsyaAllah,Laman ini akan dijenamakan semula. Sedang memikirkan nama dan tema yang lebih sesuai.Saya memilih hari ini untuk kembali bukan kerana ada apa-apa tetapi kerana saya tidak mahu bertangguh walau sesaatpun lagi.

Kepada semua yang masih sudi bertandang,terimalah salam sayang seikhlas hati dari saya.