28 April 2009

Nilai sendiri

Berjuta Rakyat Thailand Tengok Anwar Ibrahim Diurut 'Live' Dalam TV ...baca di http://www.malaysia-instinct.com/ (pilih bahagian bahasa malaysia)

24 April 2009

Datuk Seri Najib Masuk Pejabat Presiden UMNO Hari Ini



Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini memasuki pejabat Presiden UMNO buat kali pertama selepas dipilih sebagai Presiden parti, akhir bulan lalu.

Najib dipilih sebagai Presiden UMNO pada pemilihan parti 26 Mac lalu menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi, tiba pada pukul 9.45 pagi.


Pucuk pimpinan tertinggi UMNO yang terpilih semasa pemilihan parti pada perhimpunan agung parti 26 Mac lepas akan bermesyuarat buat pertama kali, petang ini.

Mesyuarat sulung Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu yang dipengerusikan Najib dijangka membuat beberapa keputusan berkaitan struktur pucuk pimpinan parti, selain perbincangan mengenai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di Pulau Pinang.

Ia juga dijangka memfokuskan kepada pentadbiran di peringkat Badan Perhubungan UMNO beberapa negeri.

Ada beberapa pemerhati politik turut meramalkan MT akan membuat beberapa keputusan berani yang mencerminkan usaha pembaharuan dalam parti seperti mana dijanjikan Najib pada perhimpunan agung parti.

Antara negeri yang dijangka terlibat dalam pembaharuan itu ialah Selangor, Perak, Kedah dan kemungkinan besar Terengganu yang baru-baru ini menyaksikan konflik dalaman apabila wujud cakap-cakap politik mengenai usaha menjatuhkan Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Ahmad Said, tersebar luas.

Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin disebut-sebut akan mengambil alih jawatan Pengerusi dua Badan Perhubungan UMNO negeri iaitu Selangor dan Kedah, bagi menguatkan parti di negeri yang kini ditadbir pembangkang.

Selangor kini dipengerusi bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Tan Sri Muhammad Muhamad Taib, manakala Kedah pula dipengerusi Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Selain itu, Presiden parti dijangka mengumumkan lantikan jawatan Setiausaha Agung, Ketua Penerangan, Setiausaha Kerja dan Bendahari parti.

Lazimnya pada mesyuarat sulung itu juga Presiden akan mengumumkan pelantikan beberapa anggota MT sebagai tambahan kepada 25 orang yang dipilih semasa pemilihan parti.Menurut Perlembagaan UMNO, Presiden boleh melantik tidak lebih daripada 12 anggota MT termasuk seorang daripada sayap parti Wanita, Pemuda dan Puteri.

Sekali gus ini memberi harapan kepada beberapa lagi 'muka lama' yang kecundang pada pemilihan lalu tetapi tersenarai dalam Jemaah Menteri baru.

Antaranya ialah Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim yang gagal untuk merebut satu daripada tiga kerusi Naib Presiden yang dipertandingkan.

Pemerhati politik yakin bekas Menteri Luar itu akan dilantik mengisi satu kerusi MT berasaskan kepada prestasi Rais dalam UMNO selama ini.

Turut dijangka diputuskan esok ialah sama ada UMNO akan meletakkan calonnya pada pilihan raya kecil DUN Penanti.

Perdana Menteri sebelum ini dilapor tidak menolak kemunkingan Barisan Nasional (BN) tidak akan bertanding pada pilihan raya kecil itu.

Kerusi itu yang disandang PKR kosong selepas bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin, 33, meletakkan jawatan minggu

19 April 2009

Sidang Dewan Undangan Negeri Pahang Bermula Lagi

Alhamdulillah...esok sidang Dewan Undangan Negeri Pahang Penggal Kedua akan bermula dengan perasmian akan disempurnakan oleh KDYMM Sultan Pahang. Hari ini kesemua ahli dewan undangan Negeri baik dari parti memerintah mahupun pembangkang sudah mula berkumpul di Kuantan. Kalau melihat kepada sambutan kepulangan PM ke Pahang khususnya di Pekan semalam,saya nampak satu harapan baru yang telah diletakkan oleh rakyat jelata kepada PM.Sesuailah juga dengan kehendak PM yang mahukan rakyat diutamakan dengan membawa konsep yang sebenarnya bukan baharu tetapi telah menjadi asas kemerdekaan dahulu iaitu konsep "satu Malaysia".

YAB Perdana Menteri juga mengingatkan kami supaya sentiasa turun padang bukan sahaja mendekati tetapi juga cuba menyelesaikan masalah rakyat.Tradisi membela rakyat harus diteruskan.Namun hubungan yang baik dengan kakitangan kerajaan juga adalah perlu demi memastikan segala urusan pembangunan dapat berjalan dengan lancar.Alhamdulillah,di kawasan saya banyak masalah infrastruktur telah dapat diselesaikan.Masalah loji Ulu Jempol juga akan dapat diselesaikan sedikit masa lagi kerana proses tender memilih kontraktor telah pun dimulakan.Begitu juga penantian 10 tahun penduduk kg Kuala Sentol yang mahukan Masjid Baru dibena,akan menjadi kenyataan.

Sidang Dewan kali ini akan kami manfaatkan dengan perbahasan yang baik dan bermutu dengan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

17 April 2009

Sandiwara di Selangor

Hebat sungguh sandiwara di Selangor.

Elizabeth Wong akhirnya memulakan tugas seperti biasa. Macam tidak ada apa-apa yang berlaku.

Kononnya itulah keputusan paling berat dalam hidup.

PKR memang pakar nak menjatuhkan maruah orang lain melalui pelbagai kaedah yang tidak elok.

Namun, bila kena batang hidung sendiri, keadaan boleh diubah mengikut keinginan sendiri.

Bayangkan kalau isu gambar separuh bogel melibatkan ADUN BN, entah la apa-apa ayat yang akan digunakan untuk mencerminkan betapa jahatnya BN ini.

Bila melibatkan ADUN sendiri, siap bercuti dua bulan, balik sambung kerja.

Dah tu, boleh pulak cerminkan diri seolah-olah menjadi mangsa.

Rakyat fikirlah sendiri.

15 April 2009

Salam untuk rakan-rakan

Salam kepada semua rakan-rakan blog.Pertama sekali. saya ingin memohon maaf kerana sudah lama tidak menulis apa-apa dalam blog saya ini hinggakan ada yang menghantar komen bertanya saya menulis untuk menang sahaja ke.

Bukan niat saya untuk tidak menulis langsung.

Saya tidak pernah menulis kerana saya mahu mencari penyokong. Untuk mencari penyokong semasa pertandingan, kita lebih banyak bergerak dan berjumpa dengan ahli serta perwakilan secara peribadi, bukannya hanya dengan menulis di blog semata-mata.

Pada awalnya saya tidak menulis kerana sudah terlalu hampir dengan pemilihan dan terlalu sibuk ketika itu. Banyak yang perlu dilakukan pada saat-saat terakhir.

Kemudian saya tewas pula. Walaupun tipis, saya terima dengan hati terbuka dan menghormati pendirian para perwakilan.

Namun, menipulah saya kalau saya kata saya tidak bersedih atas kekalahan itu. Kalau saya kata saya tidak sedih, saya yakin ramai yang tidak akan percaya.

Memang saya sedih, tetapi itu sudah takdir Allah SWT. Saya harus juga terima, mungkin ada hikmah lain disebaliknya.

Kini, hari-hari untuk bersedih sudah pun berakhir. Saya berazam mahu terus ke hadapan. Saya masih ada kawasan yang telah diamanahkan untuk dijaga.

Rakyat Kuala Sentul masih memerlukan khidmat saya dan saya berjanji pada diri saya sendiri untuk membantu sebaik yang boleh selagi termampu.

Apa pun, saya harap kawan-kawan di blog ini akan terus bersama saya memberikan pandangan dan kritikan yang membina.

Terima Kasih