04 Februari 2009

Datuk Nasarudin Hashim kembali?

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasarudin Hashim disebut-sebut akan kembali menyertai UMNO semula setelah meninggalkan parti itu, Isnin minggu lepas.

Menurut sumber, pengumuman rasmi mengenai kemasukkan Nasarudin itu akan dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi sidang akhbar khas di Pejabat Timbalan Perdana Menteri, pukul 4 petang ini.

Sidang akhbar itu juga dipercayai ada kaitan dengan perkembangan terbaru pergolakan politik di Perak.

Nasarudin yang juga bekas Ahli Parlimen Parit dan bekas Pengerusi Felcra, mengumumkan meninggalkan UMNO dan menyertai Parti Keadilan Rakyat, 10 hari lalu.

Isu Tabika Kemas, Zionis Melayu Malaysia

Mengapa bangsa Melayu dalam kerasukan berpolitik, sanggup berjudi dengan masa depan anak-anak? Tidak kiralah politik UMNO atau pembangkang, saya dengan setegas-tegasnya menolak jika ada mana-mana pihak yang memperjudikan masa depan anak-anak kita dalam pendidikan.

Kalau pembangkang buat perkara seperti ini, saya harap tidak ada di pihak kerajaan yang mahu membalas dendam untuk mengenakan kembali pembangkang dalam aspek pendidikan.

Kita tinggalkanlah pendidikan itu diam-diam. Sepatutnya kita berusaha untuk membantu menambah baikkan lagi pendidikan anak-anak kita. Kalau kita juara berpolitik sekarang, tetapi pada masa hadapan anak bangsa kita ketinggalan, tidak bijak, tidak ada profesional Melayu di negara ini, maka ketika itu apa gunanya kita berpolitik?

Dan saya sangat sayu melihat gambar anak-anak yang sakit di Pulau Pinang kerana belajar di bawah terik matahari dalam sebuah akhbar hari ini. Udah lah tu, kita carilah cara lain untuk perang politik, jangan libatkan anak-anak kita dalam hal ini ok. Menang kalah dalam politik kita kira kemudian hari, namun yang penting untuk hari ini dan akan datang ialah, biarlah anak-anak kita belajar mengenal A, B, C dulu.


Bacalah juga rencana di bawah ini.

Oleh Zaini Hassan

SEORANG pembaca menghantar SMS kepada saya dengan bunyinya: ''Tabika dirantai, dimangga bukti kekejaman Zionis…" Yang ini bukan Zionis Israel, tapi Zionis Melayu Malaysia.

Hanya mereka yang mempunyai pemikiran yang cetek, secetek-ceteknya sahaja yang sanggup melakukannya. Setakat ini, mengikut rekod, hanya orang Melayu sahaja 'sanggup' berbuat begitu. Sebelum ini, semasa Pas memerintah Terengganu, kisah-kisah ini bukan asing lagi. Tabika-tabika milik Kemas ditutup di sana-sini. Kanak-kanak yang tidak mengenali erti 'kehidupan' terpinga-pinga. Semangat wajah-wajah kecil itu yang bangun pagi untuk menimba ilmu ABC, Alif, Ba, Ta - luntur. Tidak perlulah bercakap mengenai politik, kanak-kanak itu tidak mengerti apa-apa pun mengenainya.

Kini, kisah itu kedengaran di Pulau Pinang pula, negeri yang dikuasai DAP dan PKR.

Persoalannya mengapa sampai begitu sekali tahap tindakan mereka? Mengunci dan memangga tabika itu tanpa ada perasaan langsung. Jangan diganggulah institusi pengajaran dan pembelajaran sebegitu. Tiada dalam rekod (sepanjang yang kita tahu) tabika-tabika milik parti Pas (dikenali sebagai Pasti) yang ditutup oleh kerajaan memerintah ataupun oleh JKKK di kampung-kampung.

Kita tidak pasti dan kurang faham mengapa orang yang 'tergamak' menutup tabika-tabika itu mempunyai perasaan sebegitu. Apakah mereka merasakan kanak-kanak itu mahu diindoktrinasi atau dicuci pemikiran mereka oleh kerajaan? Ataupun, pihak-pihak yang tergamak menutup tabika itu hanya mahukan premis-premis bangunan itu untuk aktiviti mereka? Atau, mereka hanya mahu menunjuk kuasa? Seboleh-bolehnya kita mahu bersangka baik dengan tindakan itu, tapi malangnya kita masih kurang faham.

Kes seperti ini tidak boleh sama sekali dianggap sebagai kes terpencil. Ia bukan kes terpencil, tapi kes yang terlalu besar untuk difikirkan. Mengapa hanya orang Melayu sahaja yang 'tergamak' melakukan tindakan bodoh seperti itu?

Masyarakat Cina, waima apa sekalipun fahaman politik, soal pendidikan ialah perkara nombor satu mereka. Tiada kompromi dalam soal itu. Mereka kini, tanpa memilih bulu, sedang melancarkan kempen mengutip dana RM2 juta bagi membiayai pendidikan Cina di seluruh negara. Kain-kain rentang, poster-poster kempen, The Dragon Mission 2009 diletakkan merata-rata tempat, dengan ditaja oleh sebuah syarikat arak.

Masyarakat mereka sanggup bersatu untuk satu tujuan iaitu: Pendidikan dan Pelajaran, selain soal Budaya, Perniagaan dan Bahasa mereka.

Kita juga hairan, apabila timbulnya isu-isu penutupan tabika seperti ini misalnya, NGO-NGO yang sering bercakap mengenai soal hak asasi manusia senyap sunyi. Persatuan mahasiswa, persatuan mahasiswa Islam yang kononnya, berhaluan kiri di universiti-universiti juga senyap sunyi. Tiada kutukan yang dilemparkan oleh mereka terhadap perbuatan 'tidak bertamadun' seperti itu.

Persoalannya, ramai daripada mahasiswa ini yang kadang-kadang tanpa berselindung menyokong parti pembangkang tidak pula pernah diberi tekanan oleh kerajaan memerintah. Malah mereka menikmati PTPTN lagi dan berupaya menamatkan pengajian dengan ijazah.

Wahai Melayu yang menutup tabika-tabika seperti itu. Bukalah minda anda. Ingatlah apakah perbuatan anda itu bermanfaat untuk bangsa anda yang miskin ini.

Kes di Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau itu lebih klasik kerana rata-rata orang Melayu di situ ialah nelayan yang miskin-miskin belaka. Hanya tabika itulah yang termampu oleh mereka untuk menghantar anak-anak memperoleh pendidikan asas. Untuk rekod lagi, perbuatan mengunci dan memangga tabika itu bukan pertama kali dilakukan. Hanya kali ini ia dihebahkan kepada media.

Di masa kaum-kaum lain sedang merebut pelbagai peluang untuk memajukan diri mereka - bangsa mereka, orang Melayu berfikiran kebelakang. Sering kali, kita terlalu taksub dengan sesuatu perkara sehingga menyebabkan perasaan menguasai kewarasan.

Ingatlah, orang Melayu bukanlah satu bangsa yang kuat (lagi) di negara ini. Bila-bila masa mereka boleh ditundukkan. Apabila kuasa (yang sedikit ini) sudah tiada lagi di tangan mereka, maka pada hari itu sudah tidak berguna lagi. Kita akan melukut di tepi gantang. - Utusan Malaysia

02 Februari 2009

Perak semakin menarik

Saya melihat perkembangan terbaru di Perak ini sangat menarik. Mungkin perkembangan politik paling menarik untuk tahun 2009 setakat ini.

Perkara yang menjadi persoalan kini ialah apakah kedudukan sebenar Kapten (B) Mohd. Osman Jailu (ADUN Changkat) dan Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang).

PKR mendakwa mereka telah gugur sebagai ADUN di kawasan masing-masing berdasarkan surat akujanji parti yang ditandatangani Mac lalu. Kedua ADUN itu pula menolak kesahihan surat itu.

Setakat ini jika mengikut akta di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya, melompat parti dibenarkan. Dan sudah tentu akta SPR lebih kuat dan melebihi surat akujanji PKR.

Jika kedua calon itu sah memasuki BN, maka kerusi BN akan menjadi 29 dan Pakatan Rakyat 30. Benar-benar telur dihujung tanduk untuk PR di Perak.

Ada kemungkinan pula Timbalan Speaker Perak, Hee Yit Fong juga akan melompat ke BN. Tidak boleh ditolak kemungkinan ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim pun akan kembali.

Senario ini memperlihatkan BN akan kembali berkuasa di negeri itu.

Namun, saya rasa ada kemungkinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin akan mengambil tindakan membubarkan DUN di Perak bagi membolehkan pilihan raya kecil seluruh negeri itu diadakan.

Mungkin mereka tidak akan memberikan kembali Perak kepada BN dengan mudah.

PR Perak pasti mahukan rakyat negeri itu memilih kembali kerajaan pilihan mereka.

Apa pun, perkembangan di Perak memang amat seronok untuk diikuti dan saya berdoa BN akan kembali berkuasa. Insya-Allah.

29 Januari 2009

Mengapa saya tidak bersetuju Puteri UMNO dibubarkan?



Tidak ada angin, tidak ada pokok bergoyang, tiba-tiba timbul cadangan agar Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO serta Biro Putera dimansuhkan kerana membawa kepada permasalahan politik wang?

Bagaimana dalam Putera yang tidak ada sebarang proses pemilihan boleh berlaku politik wang?Apakah pula rasional untuk Puteri UMNO dimansuhkan?
Dan bagaimana kewujudan Puteri menyumbang kepada politik wang?

Adakah ahli-ahli Puteri terlalu muda dan mereka tidak sepatutnya berpolitik dan sebaliknya hanya menumpukan kepada pelajaran semata-mata?

Atau politik hanya untuk golongan yang sudah berumur? Tidakkah ini merendahkan tahap pemikiran dan kemampuan ahli-ahli Puteri.

Ramai ahli poltik dan ahli Puteri hari ini adalah golongan muda profesional, i.e. mempunyai kelulusan akademik yang tinggi.

Mereka mula meminati politik mungkin sejak zaman persekolahan lagi. Jadi tidak timbul la persoalan hanya perlu menumpukan perhatian kepada pelajaran semata-mata dan harus berada jauh dari politik.

Ramai yang berjaya dalam pelajaran walaupun bergelumang dengan politik.Berpolitik bukan sesuatu yang bersifat mandatori, ia adalah pilihan. Ramai yang memilih untuk berpolitik dan meneruskan pelajaran dan akhirnya berjaya.

Pada hemat saya, jika seseorang itu terkandas dalam pelajaran kerana terlalu aktif berpolitk, maka individu itu adalah seorang yang memang tidak pandai merancang hala tuju hidupnya dan mungkin akan tetap gagal dalam pelajaran walaupun tidak aktif berpolitik.

Soal politik wang pula, rasanya Puteri paling sedikit dikatakan terbabit dalam isu politik wang. Selama ini isu itu banyak dilihat berkaitan dengan pemilihan di peringkat bahagian atau Majlis Tertinggi.

Bila wujud persoalan Puteri perlu dibubarkan kerana politik wang, ia memberikan gambaran seolah-olah akar umbi segala permasalahan politik wang dalam UMNO adalah oleh Pergerakan Puteri.

Tidakkan ini boleh ditafsir sebagai cuba melarikan diri daripada isu yang sebenar? Memindahkan kesalahan ke bahu orang lain?

Selama ini juga kita diajar bahawa pengkhususan adalah satu kaedah terbaik untuk memajukan perniagaan atau menyelesaikan sesuatu masalah.

Melalui kaedah pengkhususan, maka sesuatu aspek atau perkara itu boleh diberikan penumpuan yang sepenuhnya. Ia memahirkan dan memperkayakan pengalaman dalam sesuatu perkara itu.

Justeru, tidakkah kita melihat kewujudan Puteri dan Putera atau Wanita dan Pemuda adalah satu bentuk pengkhususan.

Tidakah ini menjadikan UMNO secara tidak langsung peka dan mewujudkan satu bentuk mekanisme yang membolehkannya memberikan penumpuan kepada semua lapisan dan segmen ahli dalam parti.

UMNO mewujudkan pengkhususan bagi memastikkan semua lapisan ahli diwakili secara saksama. Tidak ada mana-mana kelompok yang tertinggal.

Melalui pengkhususan ini, program-program atau pendekatan yang bersesuaian dengan usia dan kehendak jiwa setiap kelompok ahli dapat dilakukan dengan lebih menyeluruh serta lebih kerap.

Mana yang lebih baik, bergerak dan memberikan perhatian dengan kaedah pengkhususan atau secara longgok.

Dan tidakkah kewujudan Putera dan Puteri juga secara tidak langsung memberikan penghormatan dan mewujudkan platform yang kukuh kepada golongan belia di negara ini.

Bukankah ini antara kaedah terbaik untuk mengetengahkan kedudukan serta bakat-bakat belia. Jika ini pun dirampas, semakin kecil platform belia di negara ini.

Apa pun, Puteri UMNO hari ini mewakili golongan muda yang benar-benar yakin dengan perjuangan UMNO.Puteri UMNO bukan budak hingusan yang tidak matang dalam berpolitik.

Aspirasi dan suara orang muda yang diwakili Puteri telah memberi impak serta satu fenomena baru kepada politik tanah air.

Membubarkan Puteri UMNO bukanlah cara untuk membanteras politik wang malah ia akan menjauhkan lagi golongan muda dari bersama-sama dalam perjuangan UMNO.

Puteri harus terus diberi semangat dan kepercayaan oleh pucuk pimpinan dan bukannya dimansuhkan setelah kami membuktikan komitmen kami kepada parti sejak dari awal penubuhan lagi.

Kami mahu bertindak selaku pelapis kepimpinan kepada parti UMNO ini.

Mungkin Pengerusi Lembaga Disiplin serius mahu melihat pembubaran ini, mungkin juga beliau hanya mahu mengingatkan para generasi muda agar menjauhkan diri daripada politik wang.

26 Januari 2009

Kong Hee Fat Choy:Moga Perpaduan Terus Menjadi Teras Keamanan Malaysia

Hari ini rakan-rakan berbangsa Cina menyambut Tahun Baru Cina.Tahun ini tahun Lembu yang menurut seorang rakan saya,tahun Ong. Harap-harapnya begitulah.Saya tidak melepaskan peluang berkunjung ke rumah pemimpin masyarakat Cina dalam kawasan saya.Rumah pertama yang saya kunjungi ialah rumah Ketua Kg Sungai Jerik.Seluruh anggota keluarga Tok Empat Lim berpakaian serba merah.Sungguh meriah sekali tetapi saya lihat mereka lebih besederhana dalam persiapan menyambut Tahun Baru. Yang menarik perhatian saya ialah frame-frame gambar yang memenuhi dinding. Beberapa keratan akhbar berbahasa cina yang saya fahami adalah ucapan tahniah kepada Mr Lim kerana dianugerahkan PJK beberapa tahun lalu.Begitu sekali beliau menghargai pingat yang pada sesetengah orang hanya pingat kecil yang tidak perlu diwar-warkan penerimaannya.

Sewaktu saya mula-mula jadi wakil rakyat,Tok Empat Lim pada saya seorang yang agak sukar difahami.Saya selalu bertengkar kecil dengan beliau tentang pembangunan di kg Sg Jerik.Tetapi sekarang,kami saling memahami dan menghormati.Bagi saya yang paling penting ialah perpaduan antara kaum yang tinggal di Sg Jerik.Kalau dulu,saya geram kerana kemudahan untuk orang Melayu yang merupakan minoriti sangat kurang,tetapi alhamdulillah kini hasil dari kerjasama tok empat dan saya,surau kg sg jerik sedang dalam proses pembesaran.

Rumah Ketua Wanita dan Ketua Pemuda MCA juga saya kunjungi..tiada menjadi masalah kepada saya kerana mereka juga sudah agak terikut dengan budaya kita orang Melayu.Kueh-mueh yang dihidang ada diantaranya di tempah dari jiran-jiran berbangsa melayu.Kami turut berbincang tentang majlis sambutan Tahun Baru Cina yang akan diadakan 3hb Februari nanti.46 warga emas berusia atas 70 tahun telahpun dikenal pasti untuk menerima angpau.Persembahan kebudayaan dari semua kaum juga dirancang.Saya harap semuanya akan berjalan dengan lancar dan perpaduan antara kaum di Sg Jerik akan terus dapat dikekalkan.

Kepada semua rakan berbangsa Cina,saya ucapkan Selamat Tahun Baru dan Marilah kita bersama-sama mengekalkan keamanan dan kemakmuran negara sepertimana semangat yang terkandung didalam Kontrak Sosial yang telah dipersetujui dan diperakui oleh nenek moyang kita dahulu.