13 Januari 2011

Nasib Che Su

Che Su seorang ibu tunggal yang menetap di Felda Jengka 1. Suaminya seorang peneroka telah kembali kerahmatullah beberapa tahun yang lepas. Ladang 10 ekar dan tapak rumah seluas suku ekar yang diwarisi ternyata tidak dapat mengubah hidup Che Su. Siapakah yang patut dipersalahkan akan kedaifan hidup Che Su? Adakah pihak Felda tidak ambil peduli atau tiada lansung insan yang perihatin?

Nak jadikan cerita, sewaktu mengutip buah relai di ladang beberapa minggu lepas, Che Su di serang Stroke. Saya berkesempatan untuk menziarahi Che Su tengahari tadi. Tatkala sampai ke halaman rumah beliau,hati saya tersentap kerana kenapa masih ada lagi peneroka Felda yang rumahnya daif sebegitu? Rumah Che Su didepannya masih rumah asal.. bilik pun takda... pening juga saya memikirkan macamana Che Su tinggal di rumah itu bersama dengan anak menantu. Dapurnya hanya ada dinding batu yang terbengkalai pembinaan.. atap pun takda.

Saya menoleh kepada Tuan Pengurus dan Ketua Wanita mencari jawapan tentang Che Su. Rupa-rupanya, Che Su hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang kerana ladangnya telah dipajak oleh Arwah suami untuk 15 tahun dengan harga hanya RM 15k... sejak itu, Che Su sekeluarga hilang punca pendapatan. Bukannya jiran sekampung tak membantu tetapi Che Su seakan tidak serik.. bila beberapa tahun lalu tempoh pajakan tamat, jiran nasehatkan Che Su supaya serahkan ladang kepada Felda untuk diusahakan tetapi Che Su tak endahkan. Ladang tersebut dipajak sekali lagi kepada pihak ketiga..wang pajakan habis begitu sahaja.

Saya menasihatkan Che Su supaya selepas ini supaya serahkan Ladang untuk diusahakan Felda. Kalau ladang diusaha Felda dari dulu,tentu nasib Che Su tak jadi macam ni. Felda boleh keluarkan pinjaman untuk baiki rumah yang daif tu. Apa nak buat, itulah padahnya memajakkan ladang kepada pihak ketiga yang hanya tahu mengaut keuntungan.

Sebelum pulang,saya sempat menghulur sumbangan peribadi buat Che Su. Dan minta dia berjanji untuk bincang dengan Pengurus tentang pengambilan semula Ladang beliau dari Pemajak yang katanya akan tamat hujung tahun ini. Saya harap Che Su insaf selepas ini dan tidak lagi mensia-siakan nikmat yang telah diberi. Sempat juga saya mengambil butir peribadi Che Su untuk dipanjangkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Che Su kelihatan menangis sewaktu saya melangkah turun dari tangga rumahnya yang sudah reput.

Itulah antara kisah rakyat yang saya temui hari ini. Nasib Che Su tidak sebaik jiran sebelah rumahnya yang saya ziarahi sebelum itu.

Puan Shamsiah isteri seorang peneroka menerima cek sebanyak RM 8000 dari Tabung Kebajikan Peneroka Felda kerana mengidap kanser servik. Suaminya Encik Nordin memang dari awal mengusahakan ladangnya bersama Felda. Sekarang hidupnya sudah senang dengan hasil jualan sawit yang mencecah RM700-800 se tan, rumah asal pun sudah jadi rumah batu dan anak-anak sudah keluar universiti semuanya dengan biayaan Felda.

Che Su hanyalah satu contoh ratusan Peneroka Felda yang kini masih daif bukan lah kerana mereka ditipu atau ditindas oleh mana-mana pihak tetapi oleh kejahilan dan ketamakan diri mereka sendiri. Saya akan terus meminta pihak Felda untuk memikirkan jalan terbaik dalam membantu mereka ini keluar dari kemelut kehidupan yang daif itu.

Wassalam...

Alfatihah buat Yang Gambi

Seorang blogger yang sangat aktif sebelum ni, iaitu Yang Gambi aka Melukut Senja telah kembali ke rahmatullah jam 11 malam tadi. Jenazahnya telah pun dikebumikan di Rompin, Pahang. Walaupun saya tidak kenal rapat dengan beliau tetapi saya sentiasa membaca tulisan beliau di blog dan juga posting beliau di facebook. Allahyarham yang nama sebenarnya Abd Aziz Shahrun pasti akan dikenang dikalangan para teman seperjuangan sampai bila-bila. Moga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan mereka yang beriman dan beramal soleh. Al fatihah.

11 Januari 2011

Mengatur Langkah

Ada orang tanya saya, semangat menulis dah pudar semula ke? Sebenarnya semangat tetap membara cuma idea tak berapa nak menjelma. Sepanjang tahun baru ni.. aktiviti bukan tak banyak tetapi agak slow.. mungkin kerana awal tahun lagi. Tapi Alhamdulillah, untuk Dun Kuala Sentul, perancangan sudah pun dibuat... Langkah sudah diatur, moga niat yang murni ini direstui Illahi.

Bila kita sebut tentang mengatur langkah ni, pastilah langkah mesti dimulakan dengan lafaz Bismillah.. iaitu dengan nama Allah... agar ianya tidak pincang atau terkucil di sepanjang perjalanan. Bila dah mula dengan nama Allah, maka niat pun mesti dipasang dengan betul. Arah langkah nak dituju juga kena jelas. Baru lah perjalanan jadi mudah dan lancar.

Langkah ni pun, banyak jenis langkah.. ada langkah adat, ada langkah makrifat, ada langkah pendekar... cuma jangan pula kita tersilap langkah.. alamatnya mengundang padah.

Apapun, sekali kaki melangkah.. akan kuterus melangkah..........

02 Januari 2011

2011 pun bermula...

Salam semua....

1111 merupakan satu tarikh yang amat menarik dan pastinya meninggalkan pelbagai kenangan kepada kita semua.Ada yang mengambil kesempatan mendirikan rumahtangga, mengikat tali pertunangan, berpindah ke rumah baru dan ada juga yang mengalami peristiwa duka pada tarikh yang sama. Seorang teman fb saya pula mencatitkan perasaan leganya bercerai dengan suami yang pada satu ketika pernah menjadi insan yang istimewa dalam hidupnya. Itulah yang dinamakan suratan.. takdir dan ketentuan. Semalam juga seorang pelakon muda Allahyarham Faizal Yusop mninggal dunia secara mengejut dalam usia 33 tahun. Ternyata, serangan jantung tidak mengenal usia.

Ajal, maut, jodoh pertemuan milik Yang Maha Kuasa. Kita hanya mampu merancang, Dia juga yang menentukan. Hasrat saya untuk menziarahi bekas Ketua Kg Kuala Sentul, Tuan Hj Mohd Ali yang diberitakan nazak, tidak kesampaian apabila pagi-pagi semalam saya menerima panggilan telefon dari salah seorang anaknya memaklumkan berita kembalinya beliau kerahmatullah. Saya sampai tatkala jenazah sudah dibawa ketanah perkuburan. Rezeki arwah didunia ternyata murah dengan anak dan cucu yang ramai. Pastinya doa mereka akan menerangi arwah seorang tokoh yang amat disegani di kampung, di alam barzakh. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan jasa. Begitu jugalah arwah,yang pastinya akan dikenang oleh para penduduk kampung,saudara mara dan sahabat handai sebagai seorang pemimpin yang banyak berjasa. Saya ternampak juga kelibat beberapa orang ahli-ahli jkuasa Umno Bahagian Maran termasuk Ahli Parlimen dan juga Adun Luit yang turut berziarah. Al fatihah.

Dari Kuala Sentul, saya singgah di rumah Ustaz Zakaria, Ketua Cawangan UMNO Jengka 6 meraikan perkahwinan anak perempuannya, kemudiannya saya terus pula ke rumah saudara Mahasan pegawai Kilang Sawit Jengka 3 yang menerima menantu sulungnya.


Sebelah petang,saya kembali ke Jengka 3, cuaca mendung dan hujan renyai-renyai tidak menghalang 179 orang kaki pancing untuk menyertai Pesta Memancing JKKK Jengka 3. Sebenarnya inilah kali pertama saya bersama dengan geng kaki pancing ni. Saya mengambil kesempatan untuk beramah mesra dengan mereka. Ada yang datang dari luar kawasan saya seperti dari Jengka 20, 12 dan lain-lain tempat. Memerhati gelagat kaki pancing ni memang menyeronokkan. Tahap kesabaran mereka yang tinggi memang mengkagumkan saya. Walaupun ramai yang pulang dengan tangan kosong (agaknya ikan semua duk tidur kat dasar kolam kot?) tapi ramai juga yang bertuah membawa pulang pelbagai hadiah menarik termasuk sebuah motorsikal Demak.

Ikan Patin dah bertukar jadi kipas angin,mesin basuh dan motorsikal...alangkah bertuah,kan? Saya pun dihadiahkan dengan seekor ikan Patin yang tengahari tadi jadi menu utama makan tengahari kami sekeluarga... apa lagi... Gulai Ikan Patin Masak Tempoyak lah!

Jam 9 malam, saya bersama Ja (PA) dan Cikgu H (Peg Media saya) sekali lagi meredah hujan renyai menuju ke Perkampungan orang asli Sg Jempol. Di Dun saya, hanya terdapat 2 buah kg orang asli dari suku kaum Semakberi. Sewaktu saya mula-mula jadi calon PRU 2008, Kg Sg Jempol hanya dihubungkan dengan sebuah jambatan gantung yang usang dari jalan utama. Berpeluh juga saya mula-mula melangkah kaki melalui jambatan tersebut. Hari ini, sebuah jambatan dengan kos RM2 juta telahpun siap dibina. Sewaktu saya sampai semalam, kiri-kanan jalan telahpun dipenuhi dengan kereta dan motorsikal penduduk kedua-dua kampung. Kecil,besar tua muda telahpun berkumpul di halaman tadika Kemas untuk menyaksikan 15 peserta dari kedua-dua kampung beradu suara mencari Bintang Orang Asli Dun Kuala Sentul.

Ketibaan saya disambut oleh Tok Empat Kg Jara, Tok Batin Abu (Sg Jempol) dan Tok Batin Rumi (Bangas)dan ratusan masyarakat orang asli setempat. Dari jauh saya nampak isteri Batin Abu menggendong bayi kecilnya dengan kain batik, tersenyum sambil melambai-lambai gembira.

Setelah majlis penyampaian hadiah dan menyumbangkan dua set jersi kepada mereka, kami beredar hampir pukul 12 malam. Sebelum itu, kedua-dua Tok Batin sempat menyatakan hasrat mereka mohon dibina sebuah Dewan Serbaguna untuk kegunaan aktiviti kemasyarakatan mereka. Esok, saya akan menulis surat kepada Kementerian dan harap-harap harapan mereka ini akan terlaksana dalam tahun ini juga.

Maka, 2011 pun bermula... tugas akan tetap dilaksana... rakyat didahulukan.. pencapaian pasti diutamakan.


01 Januari 2011

Menyingkap Tabir 2011

Salam ceria di pagi Tahun Baru 2011.

Pastinya kita semua malam tadi telahpun memperbaharui azam masing-masing kan? Ye lah.. umur makin bertambah,pastinya komitmen dan tanggungjawab masing-masing juga telah bertambah. Jiwa kena lebih bersemangat dan kental untuk menghadapi hari-hari mendatang. Segala suka duka yang berlaku ditahun 2010 kita jadikan sahaja kenangan, tauladan dan sempadan. Setiap yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya.

Hari terakhir di tahun 2010 (semalam) pasti dipenuhi dengan pelbagai aktiviti kan? saya terbaca di facebook sahabat saya Adun Sungai Tiang, Kedah (YB Suraya) membuat kelainan dengan menyambut tahun baru di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star meraikan bayi-bayi yang lahir pada detik Tahun Baru 2011.
Saya pula pada sebelah pagi,bersama suami menghantar anak kami yang ke empat Amzar Almarzuqy mendaftar di Tahun Satu SK Bandar Pusat, Jengka. Kehadiran saya di sambut Tuan Guru Besar tapi beliau kini sudah faham dengan keinginan saya untuk di layan sepertimana ibu-bapa pelajar lain setiap kali saya menghadiri program sekolah. Walaupun saya wakil rakyat,tetapi biarlah anak-anak dapat berbangga dengan kehadiran saya adalah semata-mata kerana saya ibu mereka..tiada bezanya dengan ibu orang lain. saya mahu anak-anak saya membesar dan mempunyai kenangan zaman kanak-kanak mereka sama seperti orang lain.
Sesi orientasi Amzar di sekolah berjalan lancar. Amzar nampak sangat teruja. Masuk kelas terus duduk di depan dan dilantik pula menjadi Ketua Darjah. Lega hati saya bila melihat Amzar dapat menyesuaikan diri dengan baik dengan persekitaran yang baru. Di sudut hati kecil saya,saya berterimakasih kepada guru-gurunya sewaktu di tadika Kemas dulu. Mereka telah berjaya mendidik Amzar menjadi seorang anak kecil yang berani dan berkeyakinan. Amzar nampak gaya, ada peluang menyambung tradisi keluarga saya... jadi ahli politik... apa tidaknya, saya mengandungkan Amzar sewaktu saya menjadi Ketua Puteri UMNO Pahang. Walaupun saya alah teruk sewaktu mengandung,dengan perut terboyot-boyot saya menjelajah ke seluruh Negeri Pahang sewaktu kempen Pilihanraya Umum 2004. Selepas itu pula,menjelajah ke seluruh negara dalam siri kempen Pemilihan UMNO 2004, ketika itu saya menawarkan diri bertanding sebagai Naib Ketua Puteri Malaysia. Melalui kompromi,saya kemudiannya dilantik sebagai Ketua Penerangan Puteri UMNO Malaysia.

Amzar dilahirkan secara caesarean di Kuantan Medical Center pada 2hb September, 2004, 3 minggu sebelum tarikh Perhimpunan Agung UMNO. Dan pada usia 21 hari, Amzar saya bawa ke PWTC untuk mengikuti Perhimpunan Agung UMNO. Semalam,saya membuka fail lama dan terjumpa keratan akhbar Utusan Malaysia yang memaparkan saya dan Amzar ketika itu. Tak sedar airmata saya mengalir kerana rasa sungguh terharu kerana anak kecil itu kini telah membesar dan mula bersekolah.
Tahun ini, kehidupan kami sekeluarga pastinya berubah lagi. Munzir anak yang sulong akan meneruskan persekolahan di Tingkatan 4, Sek Men Agama Kuala Lumpur.. walaupun keputusan PMR nya agak cemerlang (8A 1B) tapi saya tidak berhajat untuk menghantar dia kesekolah lain. Ammar anak kedua saya pula mendapat tawaran ke Tingkatan 1 di Sek Men Alam Shah di Putrajaya, Ateef naik ke Darjah 5, Amzar masuk Darjah 1 dan si kecil Aeen pula akan ke tadika Kemas. Anak-anak semakin membesar, dan sebagai seorang ibu, saya hanya mendoakan yang terbaik untuk mereka.

Malam tadi, kami sekeluarga sempat berhimpun dirumah ibubapa saya di Chenor. Abang-abang saya semua pulang dengan anak isteri masing-masing. Gembira sungguh hati mak dan ayah saya kiranya kerana kesemua 3 orang anak dan 14 cucu dapat bersama. Cucu yang sulong (anak abang saya yang sulung kini pelajar perubatan di Univ Sumatera Utara) dan cucu yang bongsu pula adalah sikecil aeen. Selesai solat maghbrib dan hajat berjemaah,Ayah memberikan perutusan khas yang mengingatkan supaya kami sering mengeratkan silaturrahim. Banyak lagi pesanan Ayah yang disampaikan dengan penuh penghayatan dan keikhlasan. Sesungguhnya, tidak dapat saya nafikan bahawa kejayaan kami sekeluarga adalah berkat doa dan hasil didikan Ayah dan Mak juga. Ya Allah, Kasihanilah kedua ibubapaku sepertimana mereka mengasihani aku... Ameen.