02 Januari 2011

2011 pun bermula...

Salam semua....

1111 merupakan satu tarikh yang amat menarik dan pastinya meninggalkan pelbagai kenangan kepada kita semua.Ada yang mengambil kesempatan mendirikan rumahtangga, mengikat tali pertunangan, berpindah ke rumah baru dan ada juga yang mengalami peristiwa duka pada tarikh yang sama. Seorang teman fb saya pula mencatitkan perasaan leganya bercerai dengan suami yang pada satu ketika pernah menjadi insan yang istimewa dalam hidupnya. Itulah yang dinamakan suratan.. takdir dan ketentuan. Semalam juga seorang pelakon muda Allahyarham Faizal Yusop mninggal dunia secara mengejut dalam usia 33 tahun. Ternyata, serangan jantung tidak mengenal usia.

Ajal, maut, jodoh pertemuan milik Yang Maha Kuasa. Kita hanya mampu merancang, Dia juga yang menentukan. Hasrat saya untuk menziarahi bekas Ketua Kg Kuala Sentul, Tuan Hj Mohd Ali yang diberitakan nazak, tidak kesampaian apabila pagi-pagi semalam saya menerima panggilan telefon dari salah seorang anaknya memaklumkan berita kembalinya beliau kerahmatullah. Saya sampai tatkala jenazah sudah dibawa ketanah perkuburan. Rezeki arwah didunia ternyata murah dengan anak dan cucu yang ramai. Pastinya doa mereka akan menerangi arwah seorang tokoh yang amat disegani di kampung, di alam barzakh. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan jasa. Begitu jugalah arwah,yang pastinya akan dikenang oleh para penduduk kampung,saudara mara dan sahabat handai sebagai seorang pemimpin yang banyak berjasa. Saya ternampak juga kelibat beberapa orang ahli-ahli jkuasa Umno Bahagian Maran termasuk Ahli Parlimen dan juga Adun Luit yang turut berziarah. Al fatihah.

Dari Kuala Sentul, saya singgah di rumah Ustaz Zakaria, Ketua Cawangan UMNO Jengka 6 meraikan perkahwinan anak perempuannya, kemudiannya saya terus pula ke rumah saudara Mahasan pegawai Kilang Sawit Jengka 3 yang menerima menantu sulungnya.


Sebelah petang,saya kembali ke Jengka 3, cuaca mendung dan hujan renyai-renyai tidak menghalang 179 orang kaki pancing untuk menyertai Pesta Memancing JKKK Jengka 3. Sebenarnya inilah kali pertama saya bersama dengan geng kaki pancing ni. Saya mengambil kesempatan untuk beramah mesra dengan mereka. Ada yang datang dari luar kawasan saya seperti dari Jengka 20, 12 dan lain-lain tempat. Memerhati gelagat kaki pancing ni memang menyeronokkan. Tahap kesabaran mereka yang tinggi memang mengkagumkan saya. Walaupun ramai yang pulang dengan tangan kosong (agaknya ikan semua duk tidur kat dasar kolam kot?) tapi ramai juga yang bertuah membawa pulang pelbagai hadiah menarik termasuk sebuah motorsikal Demak.

Ikan Patin dah bertukar jadi kipas angin,mesin basuh dan motorsikal...alangkah bertuah,kan? Saya pun dihadiahkan dengan seekor ikan Patin yang tengahari tadi jadi menu utama makan tengahari kami sekeluarga... apa lagi... Gulai Ikan Patin Masak Tempoyak lah!

Jam 9 malam, saya bersama Ja (PA) dan Cikgu H (Peg Media saya) sekali lagi meredah hujan renyai menuju ke Perkampungan orang asli Sg Jempol. Di Dun saya, hanya terdapat 2 buah kg orang asli dari suku kaum Semakberi. Sewaktu saya mula-mula jadi calon PRU 2008, Kg Sg Jempol hanya dihubungkan dengan sebuah jambatan gantung yang usang dari jalan utama. Berpeluh juga saya mula-mula melangkah kaki melalui jambatan tersebut. Hari ini, sebuah jambatan dengan kos RM2 juta telahpun siap dibina. Sewaktu saya sampai semalam, kiri-kanan jalan telahpun dipenuhi dengan kereta dan motorsikal penduduk kedua-dua kampung. Kecil,besar tua muda telahpun berkumpul di halaman tadika Kemas untuk menyaksikan 15 peserta dari kedua-dua kampung beradu suara mencari Bintang Orang Asli Dun Kuala Sentul.

Ketibaan saya disambut oleh Tok Empat Kg Jara, Tok Batin Abu (Sg Jempol) dan Tok Batin Rumi (Bangas)dan ratusan masyarakat orang asli setempat. Dari jauh saya nampak isteri Batin Abu menggendong bayi kecilnya dengan kain batik, tersenyum sambil melambai-lambai gembira.

Setelah majlis penyampaian hadiah dan menyumbangkan dua set jersi kepada mereka, kami beredar hampir pukul 12 malam. Sebelum itu, kedua-dua Tok Batin sempat menyatakan hasrat mereka mohon dibina sebuah Dewan Serbaguna untuk kegunaan aktiviti kemasyarakatan mereka. Esok, saya akan menulis surat kepada Kementerian dan harap-harap harapan mereka ini akan terlaksana dalam tahun ini juga.

Maka, 2011 pun bermula... tugas akan tetap dilaksana... rakyat didahulukan.. pencapaian pasti diutamakan.


2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

..ada tak peserta nyanyian tu nyanyi lagu Sanisah Huri?..

zino berkata...

macam macam aktiviti ... tahniah Dato'..