27 November 2008

Tolong Doakan Kesejahteraan Kami

Masuk tengah hari ini,masih belum ada sebarang berita yang baik untuk kami semua.

Penerbangan pulang ke Malaysia yang sepatutnya semalam ditunda sehingga petang esok pula.

Itu pun kalau lapangan terbang Suvarnabhumi dibuka semula. Melihat keadaan semasa nampaknya peluang itu macam terlalu tipis. PAD masih terus mengepong airport berkenaan.

Rancangan hendak naik keratapi pun terpaksa dibatalkan kerana keratapi penuh. Ramai pelancong yang mengambil keputusan yang sama seperti kami rancang iaitu menaiki keretapi ke Malaysia.

Pihak kedutaan Malaysia sedang berusaha mendapatkan tiket keretapi bagi perjalanan malam. Entah dapat atau tidak, kami tidak meletakkan harapan yang tinggi selepas melihat apa yang sedang berlaku di Bangkok kini.

Kota ini walaupun ada bahagian tertentu masih nampak tenang, tetapi sebenarnya sedang kucar-kacir dan huru hara secara keseluruhan.

Pihak keduataan beritahu, kalau keretapi malam gagal, maka kami semua terpaksa menunggu hingga Sabtu ini untuk naik keratapi di Pattaya. Satu lagi pilihan yang diberikan ialah untuk menaiki penerbangan tentera.

Ikhlas cakap, saya sendiri pun dah agak buntu sekarang hinggakan tidak pasti pernerbangan ihsan oleh tentera Malaysia atau tentera Thailand sendiri kalau jadi pun.

Penerbangan tentera itu pun sebenarnya adalah pilihan terakhir. Buat masa ini, kami semua masih lagi berada di Bangkok, menunggu arahan lanjut dari pihak kedutaan.

Nasib kami baik pegawai-pegawai dan kakitangan keduataan di sini begitu bersabar dan berusaha untuk membantu sebaik yang boleh.

Belum pun masalah terkandas di Bangkok selesai, kami mendapat berita bahawa Pahang sudah mula banjir pulak.

Setakat ini yang kami tahu Lipis dinaiki air. Saya bimbang jika selepas ini kawasan saya di Maran pun mula mengalami benda yang sama.

Kalau saya berada di Pahang pasti sekarang ini saya sudah boleh memulakan langkah-langkah untuk membantu orang ramai yang mungkin menjadi mangsa fenomena alam itu.

Saya berdoa agar dapat kembali segera ke tanah air. Keadaan di Bangkok semakin tidak menentu dan ini memang sudah masuk ke tahap merisaukan kami semua.

Harapan kami sekarang agar keadaan akan bertambah baik tidak lama lagi.

'Berkampung' di Bangkok

Hari ini sepatutnya saya bersama delegasi Kerajaan Negeri Pahang yang diketuai Datuk Shahkar Shamsuddin pulang dari Bangkok selepas menghadiri persidangan Bio Asia.

Memang sudah tidak sabar rasanya untuk kembali ke Malaysia selepas beberapa hari berada di negara gajah putih ini.

Namun itulah, kita hanya mampu merancang, tuhan sahaja yang menentukan.

Rancangan untuk balik segera bertemu keluarga dan rakan-rakan terbengkalai begitu sahaja kerana Lapangan Terbang Suvarnabhumi ditutup apabila penyokong Pakatan Rakyat bagi Demokrasi (PAD) mengambil alih dan memenuhi kawasan lapangan terbang itu.

Semua penerbangan antarabangsa terpaksa dibatalkan.

Ini memang kami tidak duga langsung. Pakaian yang dibawa pun boleh dikatakan cukup-cukup sahaja. Dah jadi macam ini, maka hari ini terpaksalah kami semua keluar membeli pakaian baru.

Kami itu maknanya selain dari saya dan Shahkar, adalah bersama lagi dua orang wakil rakyat, YB Pang Tsu Ming dan Yb Zaharuddin dan enam wakil syarikat Mentiga, Unit
Pembangunan Ekonomi dan LKPP.

Bila lapangan terbang Suvarnabhumi ditutup, kami rancang untuk naik penerbangan domestik Thailand yakni dari Bangkok ke Phuket dan kemudian menaiki kapal terbang dari sana untuk ke Malaysia.

Sekali lagi masalah baru datang melanda, tiba-tiba hari ini penerbangan domestik Thailand juga digantung. Entahla nak buat apa sekarang ni.

Ada yang mencadangkan naik keretapi sahaja dari Bangkok ke tanah air. Pihak Kedutaan Malaysia yang sepanjang hari bersama kami sedang berusaha memikirkan sesuatu yang
boleh membantu kami pulang. Harap-harap adalah penyelesaian.

Disebabkan bosan, saya pergilah ke siber cafe dekat dengan hotel Landmark, hotel penginapan kami di Bangkok untuk update blog saya ini. Walaupun berjauhan di mata dengan rakan-rakan, sekurang-kurangnya boleh la dekat di alam siber melalui cara ini.

Ini sebenarnya entry kedua saya dari Bangkok selepas entry semalam pasal cabaran menarik golongan muda menyokong BN.

Masa sekarang ni pun dah hampir tengah malam, mengantuk pun ada, penat pun ada, rindu keluarga terutama anak-anak pun ada, bosan melampau pun ada...senang cakap,
macam-macam perasaan sekarang ini.

Walaupun tempat penginapan kami nampak aman dan selamat, tetapi hati kami runsing juga kerana terdengar khabar-khabar kemungkinan akan berlaku rampasan kuasa oleh pihak tentera.

Jika ia terjadi, maka seluruh Bangkok berkemungkinan akan dikenakan perintah darurat. Sampai bila pun tidak boleh nak agak. Silap hari, lamalah kami semua berkampung di kota Siam ini.

Hari ini pun, berita melaporkan Ketua Tentera Thailand, Jeneral Anupong Paochinda meminta Perdana Menteri, Somchai Wongsawat membubarkan Parlimen Thailand bagi memberi laluan untuk mengadakan pilihan raya baru.

Saya ingat semalam, Somchai ada berkata beliau tidak merancang untuk berundur. Sekarang ini, tidak pasal-pasal saya kena pula mengambil tahu secara terperinci mengenai politik Thailand.

Politik kat Malaysia pun belum habis kemeriahannya, tambah pula dengan politik negara jiran. Namun keadaan menyebabkan saya tiada banyak pilihan.

Apa pun, saya berharap rakan-rakan di Malaysia akan mendoakan keselamatan kami semua di kota Bangkok ini.

Mudah-mudahan semuanya akan selamat. Amin.

25 November 2008

Cabaran menarik golongan muda kepada BN

Golongan muda semakin memainkan peranan penting dalam menentukan hasil sesuatu keputusan pilihan raya.

Walaupun jumlah mereka masih belum membentuk majoriti pengundi, tetapi sudah cukup bagi mencorak perjalanan politik negara.

Justeru, cabaran terbesar pasca pilihan raya umum ke-13 adalah untuk menarik golongan ini bersama dengan BN atau UMNO.

Bagaimanapun, dalam hal ini, perkara pertama yang kita harus faham dan berbincang dengan terbuka ialah golongan muda hari ini tidak ramai yang berminat dengan politik.

Minat mereka adalah kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan muzik, permainan video atau video games dan sukan seperti bolasepak atau EPL.

Mereka banyak mengikuti perkembangan berkaitan perkara ini melalui internet.

Internet umpama satu bentuk nadi hiburan yang baru bagi golongan muda.Cabaran terbesar sebelum kita hendak menarik mereka mengundi BN, kita perlu terlebih dahulu perlu menarik mereka kepada politik.

Bagaimanakah di celah-celah minat terhadap permainan video atau kandungan dalam internet boleh kita sematkan elemen politik sebagai satu lagi tarikan utama?

Perkara ini boleh dilakukan jika kita mengikut saluran yang tepat dan mengikut peredaran zaman. Internet merupakan gedung ilmu tanpa batasan yang memainkan peranan yang amat penting dalam jiwa muda hari ini.

Blog dan perkara seperti Facebook umpamanya juga semakin serasi dengan jiwa muda hari ini.

Saya pernah terbaca di sebuah akhbar, wujud 500,000 blog di negara ini yang menjadikan Malaysia antara negara yang terbanyak blog di dunia. Ini memperlihatkan betapa internet itu adalah satu teknologi yang bukan lagi asing kini dalam masyarkat kita.

Dalam kita ingin menarik golongan muda kepada politik dan BN, maka kita perlu juga mendekati saluran ini. Sebenarnya BN sudah agak terkebelakang sedikit dalam hal ini jika dibandingkan dengan pembangkang.

Pembangkang terlebih dahulu mengoptimumkan penggunaan internet bagi menyalurkan idea-idea perjuangan mereka. Beberapa tahun sebelum PRU ke-13 lagi mereka sudah menggunakan platform ini untuk mempengaruhi masyarakat.

Disebabkan itulah, jika ada golongan muda yang minat politik pun pada masa sekarang, minat dan sokongan mereka lebih terarah kepada pembangkang.

Mengapa, jawapannya terkandung dalam apa yang saya cakap tadi, golongan muda begitu rapat dengan internet dan pembangkang sudah lama menggunakan saluran ini dalam menyebarkan idea-idea mereka.

Justeru, golongan muda yang berminat dengan politik pun, mereka condong kepada pembangkang, mereka mengabiskan begitu banyak masa membaca blog atau portal-portal berita yang dimiliki oleh pembangkang.

Idea dan propaganda pembangkang sudah tersemat dalam fikiran dan jiwa mereka. Segala fitnah yang ditabur melalui internet diterima bulat-bulat sebagai benar oleh golongan ini.

BN sebaliknya banyak bergantung kepada medium media lama seperti suratkhabar dan gagal melihat kepentingan media baru sehinggalah selepas PRU ke -13.

Namun, masih belum terlambat sebenarnya jika BN mahu menarik golongan muda. Namun ia hendaklah mengikut rentak golongan muda. BN yang perlu ikut rentak golongan muda, bukannya golongan muda ikut rentak BN.

Bila hendak ikut rentak golongan muda, maka saya melihat internet adalah saluran yang perlu dikuasai bermula dari sekarang.

Para pemimpin UMNO perlu memiliki blog dan portal-portal berita bagi membolehkan penyebaran idea-idea BN secara meluas di alam maya.

Jika artis popular di barat boleh memiliki Facebook atau blog, mengapa tidak pemimpin kita juga melakukan perkara yang sama.

Bagi peluang kepada remaja untuk mendekati para pemimpin UMNO melalui saluran yang mereka minat. Jadikan politik sesuatu yang menarik, sesuatu yang mudah dan berada dalam jangkauan golongan muda. Maka ketika itu politik ada kemungkinan akan menjadi satu lagi elemen selain EPL atau permainan video.

Dalam senario hari ini, jika kita hanya membuat majlis di balairaya dan mengharapkan golongan muda untuk tampil memang ianya sukar. Kalau mereka hadir pun bukan atas keikhlasan. Hadir mungkin kerana terpaksa.

Bukan semua golongan muda menolak UMNO, tetapi bilangan mereka memang kurang jika dibandingkan dengan yang pro pembangkang. Ini kita perlu terima dengan hati yang terbuka. Penafian akan hanya melemahkan UMNO dan BN.

Mereka menolak UMNO seperti yang dinyatakan, mereka sudah dicuci pemikiran mereka melalui blog-blog dan portal-portal berita pembangkang. Mereka bukannya benci pada UMNO kerana yakin UMNO banyak salah.

Mereka benci UMNO kerana mereka salah diberikan maklumat, diajar benda yang bukan-bukan. Pembangkang berjaya membuat semua itu kerana mereka mengikut saluran yang tepat.

Apakah yang boleh menarik mereka kepada UMNO?

UMNO perlu mengikut rentak golongan muda. Jangan abaikan lagi media baru seperi blog. Cuba rampas kembali apa yang sudah dikuasai pembangkang.

Mungkin media baru belum menjadi sehebat media arus perdana, tetapi ia sedang berkembang. Kalau ditunggu lebih lama, kita akan lebih ketinggalan.
Bila ketinggalan, maka kita akan dilihat sebagai sebuah parti orang tua.

Dan apa yang berkaitan dengan imej orang tua akan ditolak dengan mudah oleh yang masih muda.

Maka jika UMNO berubah dengan kehendak zaman, kegemilangan dan kematangan yang ada di sebalik namanya itu akan menjadikan ia parti pilihan untuk disertai.

21 November 2008

Kenyataan Akhbar Rafidah Aziz

Berikut ialah transkripsi penuh kenyataan akhbar Ketua Pergerakan Wanita Umno Malaysia, Tan Sri Rafidah Aziz berhubung pendiriannya untuk mempertahankan jawatan tersebut pada pemilihan parti Mac depan.
KENYATAAN AKHBAR

Memandang bahawa Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat telah membuat kenyataan akhbar untuk bertanding jawatan Ketua Wanita Umno, maka saya dengan ini:



1) Akan mempertahankan jawatan ketua yang saya sandang sekarang, dan Insya-Allah, akan bertanding untuk jawatan tersebut untuk tempoh 2009-2011.

2) Saya menghargai dan menghormati pandangan yang telah saya terima dari 117 Bahagian itu.

3) Saya memulangkan kepada para perwakilan, yang mewakili akar umbi, untuk menentukan pemimpin yang mereka mahu untuk tempoh 2009-2011.

Saya kecewa kerana pelan Peralihan telah dipertikai, dan ditolak, lebih tiga bulan selepas saya mengumumkannya pada bulan Ogos (4 haribulan) 2008.

Semenjak tarikh itu TIADA sesiapa dalam Exco, atau di luar, yang telah mempertikaikannya. Bahkan Datuk Seri Shahrizat sendiri, sama ada antara empat mata, dalam Exco dan dalam sidang media, telah BERKALI-KALI menegaskan:

a) Beliau tidak akan bertanding jawatan ketua walaupun dicalonkan.

b) Beliau patuh kepada Pelan Peralihan.

c) Beliau patuh kepada nasihat pemimpin-pemimpin besar parti.

d) Bahkan beliau telah menyatakan bahawa "kata akan dikotakan" dan "my word is my honour." (semuanya telah disiar dalam media).

Saya tidak ada sebab untuk menyangka bahawa akan berlaku pelbagai pergolakan SELEPAS PROSES PENCALONAN SELESAI.

JIKA, dalam mana-mana perbincangan ADA MANA-MANA PIHAK yang TIDAK SETUJU, dengan PELAN PERALIHAN maka, sebagai pemimpin-pemimpin yang bertanggungjawab, WAJAR dibangkitkan dan dibantah.

Jika mereka berbuat demikian, SEBELUM proses pencalonan, maka pasti Exco akan membatalkan sahaja PELAN itu.

DAN, saya tidak ragu-ragu akan membiarkan Bahagian-bahagian mencalonkan sesiapa juga yang mereka mahukan untuk jawatan Ketua dan Naib Ketua.

Tetapi, ‘bantahan’ ditimbulkan SELEPAS mereka mendapat CUKUP pencalonan untuk bertanding, MAKA BARU membantah, dengan berbagai ‘alasan’ yang sebenarnya tidak berasas.

ADA pula pihak-pihak tertentu yang mahukan pelan peralihan ‘dipercepat’, dari Jun ke Mac 2009. Ini tidak logik.

JIKA ia dibuat bulan Mac ia bererti:

a) Tidak ada lagi ‘pelan peralihan’, yang pada asasnya, melibatkan satu jangka masa antara Perhimpunan Agong dengan tarikh penyerahan jawatan.

Semua mengetahui bahawa pada asalnya, jangka masa itu ialah antara Januari hingga June 2009, KERANA Perhimpunan Agong dijadual pada Disember 2008.

Ia telah dianjak kepada Mac - tetapi Pelan Peralihan TIDAK terjejas.

b) Jika ‘dipercepat’ kepada Mac, ia juga bererti bahawa saya dipaksa menyerah jawatan ketua secara bulat-bulat dengan Shahrizat menang tanpa bertanding.

INI menidakkan hak dan kemahuan 117 Bahagian yang telah mencalonkan saya untuk pegang jawatan hingga Jun 2009.

Sekarang, kerana PELAN PERALIHAN telah diingkari dan jawatan ketua akan ditandingi, maka saya akan mempertahankan JAWATAN yang saya sandang sekarang ini.

Saya ingin menyarankan supaya pertandingan semua jawatan-jawatan dalam PergerakanWanita Umno hendaklah dijalankan dengan TERTIB, BERADAB, IKHLAS dan jangan sekali-kali menjejaskan sesiapa, atau menjejaskan parti.

JANGAN sekali-kali mengada-adakan dan menabur FITNAH dan BOHONGAN, dan membawa pecah belah.

ALLAH SWT menentukan segala-galanya. TIDAK ada yang lebih besar dariapada KUASA ALLAH SWT.

Terima kasih.

21 November 2008.

19 November 2008

Banyak yang sudah dilupakan

RENUNGI KATA-KATA SIEW SIN DAN SAMBATHAN UNTUK ELAK PERTIKAI KEISTIMEWAAN MELAYU, KATA ADUN KERDAU

KUANTAN, 19 Nov (Bernama) — Bimbang mengenai cubaan sesetengah mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu, seorang penyokong kerajaan hari ini memetik kenyataan bekas Presiden MCA Tun Tan Siew Sin dan bekas Presiden MIC Tun V.T.Sambanthan mengenai isu itu agar keharmonian kaum dan kemakmuran negara dapat dikekalkan.

Zaharuddin Abu Kassim (BN-Kerdau) ketika membahaskan bajet kerajaan negeri Pahang bagi tahun 2009 pada persidangan Dewan Undangan Negeri, membacakan kenyataan yang pernah dibuat oleh bekas Presiden MCA Tun Tan Siew Sin dan bekas Presiden MIC Tun Sambanthan.

Menurut beliau, kata-kata Tan pada 30 April 1969 berbunyi : “Orang Melayu menerusi Umno bermurah hati melonggarkan syarat-syarat dalam undang-undang negara ini sehinggakan dalam masa 12 bulan selepas kemerdekaan, 90 peratus penduduk bukan Melayu menjadi warga negara.

Ini berbeza dengan keadaan sebelum merdeka di mana 90 peratus daripada mereka masih tidak diiktiraf sebagai rakyat Tanah Melayu walaupun hampir 100 tahun hidup di bawah pemerintahan penjajah.

“Sebagai membalas kemurahan hati orang Melayu, MCA dan MIC bersetuju meneruskan dasar memelihara dan menghormati kedudukan istimewa orang Melayu dan dalam masa yang sama mempertahankan kepentingan-kepentingan sah kaum lain”.

“Sebelum itu, Tun Sambanthan pada 1 Jun 1965 pernah berkata...pada tahun 1955, kita telah memenangi pilihan raya dengan majoriti yang tinggi, selanjutnya mendapat kemerdekaan dalam masa dua tahun kemudian.

Dalam jangka masa itu, kita terpaksa berbincang dan menangani pelbagai perkara termasuk soal kewarganegaraan.

Persoalannya di sini, apakah yang dilakukan oleh orang Melayu memandangkan kita bercakap menyentuh perkauman? Apakah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Melayu? Mereka mempunyai 88 peratus daripada pengundi menyokong mereka. Apakah yang mereka putuskan mengenai isu kewarganegaraan?.

“Jika kita lihat di serata negara Asia dan Asia Timur, kita akan mendapati kaum India tidak akan diterima di Ceylon (Sri Lanka) dan juga tidak diterima di Burma (Myanmar). Sama halnya dengan kaum Cina, mereka tidak diterima di Thailand, Vietnam, Kemboja dan di negara-negara lain.

Apakah bantuan berhubung kewarganegaraan yang mereka peroleh di semua wilayah tersebut?

“Di Burma, seperti yang kita semua sedia maklum, kaum India telah diusir keluar, di Ceylon mereka tidak diberikan taraf warga negara seperti juga di Burma.

Saya tahu dan anda juga tahu. Apa yang sedang berlaku di Malaya? Di sini kita mendapati pemimpin Melayu berkata...kita akan menerima mereka sebagai saudara, kita akan berikan mereka sepenuh peluang untuk meneruskan kehidupan di negara ini, kita akan beri mereka peluang untuk menjadi warga negara.


“Seterusnya pada tahun 1957, dengan tidak mengambil kira kebolehan berbahasa (Melayu) ribuan orang India, Cina dan Ceylon menjadi warga negara.
Seperti yang saya nyatakan, saya amat bernasib baik kerana dilahirkan di negara ini.

Di manakah anda boleh berjumpa bangsa yang lebih prihatin, bersopan santun dan tertib selain daripada bangsa Melayu. Di manakah anda boleh mendapat layanan politik yang baik untuk kaum pendatang? Di manakah dalam sejarah dunia? Saya bertanya kepada anda”.

Zaharuddin berkata jika hak keistimewaan orang Melayu itu terus dibangkitkan, tindakan itu umpama memasang “bom jangka” yang boleh memusnahkan negara ini.

Datuk Lau Lee (BN-Damak) kemudian mencelah: “Kita tidak perlu takut kepada
“time bomb”, kita mesti berani menghadapinya.”

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob turut bangun dengan berkata ianya bukan soal berani atau tidak berani tetapi “bom” itu susah dimatikan apabila ianya meledak.

Lau : “Kita tidak pernah pertikaikan hak keistimewaan orang Melayu, kita minta semua rakyat Malaysia diberi tempat...orang Cina dan India diberi peluang yang lebih tinggi lagi".

17 November 2008

Politik wang : Perlu Pendekatan Baru




Sejak kebelakangan ini, banyak sangat yang diperkatakan mengani politik wang dan sudah ramai yang diambil tindakan serta masih banyak kes yang perlu disiasat.

Lembaga Disiplin kata mereka sudah menerima lebih 900 aduan sehingga kini. Banyak sekali jumlah itu bukan.

Namun, tindakan demi tindakan nyata tidak meredakan perkara itu.

Oleh itu, saya merasakan Lembaga Disiplin UMNO perlu menjalankan lebih banyak usaha-usaha pencegahan pula mulai kini.

Usaha pencegahan itu termasuk tindakan seperti kempen kesedaran bagi mengelak politik wang dari terus berlaku.

Situasi dalaman UMNO kini memperlihatkan pendekatan untuk menghalang politik wang tidak hanya boleh terhad kepada melakukan siasatan dan menjatuhkan hukuman semata-mata.

Saya lihat pendekatan mencegah dari mengubati perlu dijadikan sebahagian daripada usaha menyeluruh menangani politik wang.

Dalam hal ini, MT dan Lembaga Disiplin perlu berkerjasama dengan membawa idea-idea dan pendekatan baru ke arah memastikan permasalahan itu dapat diatasi.

Saya yakin usaha seperti ini akan memperlihatkan kepada masyarakat akan kesungguhan UMNO untuk kembali releven di mata masyarakat.

Kesungguhan seperti itu juga mampu menarik lebih banyak minat terutama dari kalangan generasi muda untuk menyertai UMNO.

Tindakan menjatuhkan hukuman hendaklah bersifat sebagai perkara kedua sebaliknya kesedaran hendaklah menjadi elemen utama bagi memastikan poltik wang tidak berterusan.

Kalau hanya berdasarkan hukuman, dikhuatiri satu masa nanti Lembaga Disiplin umpama tidak cukup tangan untuk menyelesaikan semua aduan yang diterima.

Sudah terlalu lama politik wang dalam UMNO berlaku dan mungkin sudah tiba masanya pendekatan-pendekatan baru pula diamalkan.

Sebelum masyarakat menjadi terlalu muak dengan kita, maka langkah-langkah yang betul-betul padu dan tepat hendaklah dilaksanakan segera.

Parti UMNO parti Melayu, parti orang Islam, amat buruk jika ia dibelenggu perkara-perkara yang begitu nyata bertentangan dengan ajaran agama suci itu.

14 November 2008

dilema Shanum, wanita 'dua' suami



Shanum memulakan alam perkahwinan seawal usia 19 tahun dengan Amir Affandy dan setelah mereka dikurniakan enam orang anak, pasangan bercerai dua kali iaitu pada tahun 1996 dan 1997.

Bagaimanapun, selepas perceraian kedua mereka, Amir Affandy menganggap beliau telah merujuk kembali dengan Shanum berdasarkan surat rujuk bertarikh 27 Okt 1997 yang dikeluarkan oleh Pejabat Agama Baling.

Namun begitu, Shanum enggan menerima semula Amir Affandy kerana telah serik untuk hidup bersama suaminya itu. Beliau kemudian mengambil keputusan untuk pulang ke rumah ibu bapanya di Kampung Rawa di sini manakala keenamenam anaknya diambil oleh suaminya.

Setelah lapan tahun mereka tinggal berasingan, Shanum menganggap dirinya sebagai ibu tunggal dan berkahwin dengan lelaki lain.

Shanum berkata setelah berkalikali berulang alik ke Pejabat Agama Daerah Baling untuk mendapatkan surat cerai, akhirnya seorang pegawai di situ memberitahunya surat cerainya mungkin telah hilang akibat banjir.

Kerana menganggap dirinya sudah diceraikan, beliau kemudiannya mengambil keputusan untuk bernikah dengan Syarif di Thailand, dan hasil perkongsian hidup dengan suami barunya itu, mereka dikurniakan dua orang anak perempuan yang kini berusia dua tahun dan setahun.

Apabila Amir Affendy, yang juga telah berkahwin lain, mengetahui bahawa Shanum berkahwin lain, beliau mengambil tindakan undangundang untuk mengisytiharkan perkahiwanan Shanum sebagai tidak sah kerana wanita itu masih lagi isterinya yang sah.

Beliau kemudiannya membawa kes tuntutan untuk membatalkan perkahwinan Shanum dengan Syarif itu di Mahkamah Syariah Sungai Petani tetapi mahkamah itu menolak permohonan itu.

Amir Affandy kemudian membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi Syariah di Alor Star dengan mengemukakan surat rujuk oleh Mahkamah Syariah Baling. Mahkamah itu kemudiannya memutuskan bahawa daftar rujuk itu adalah sah.

Dimanakah silapnya Shanum?

Secara teknikalnya Shanum melakukan kesilapan kerana tidak membuat tuntutan fasakh terhadap Amir Affandy sebelum beliau berkahwin lain tetapi beliau mempunyai alasan tersendiri kenapa tidak berbuat demikian.

Shanum berkata, selama lapan tahun beliau tidak pernah mendapat sebarang surat atau keterangan mengatakan bahawa beliau telah dirujuk kali kedua.

"Saya kesal kerana Pejabat Agama Daerah Baling tidak memaklumkan kepada saya atau imam Masjid Sedim bahawa saya telah dirujuk kembali selepas bercerai kali kedua," katanya.

Shanum berkata beliau terkejut kerana, selepas bernikah dengan Syarif berwalikan abangnya sendiri, tiba-tiba keluar berita dalam akhbar kononnya beliau masih isteri orang.

Shanum berkata bahawa setelah meneliti surat rujuk yang dikeluarkan oleh Pejabat Agama Daerah Baling yang diberikan kepadanya barubaru ini, beliau mendapati ia tidak mempunyai tandatangannya.

Dalam keadaan sekarang, apakah yang harus dilakukan oleh Shanum?

Shanum berkata beliau kebingungan dan rasa bersalah terhadap Syarif dan dua anak mereka yang masih kecil.

"Buat masa ini, saya terpaksa akur dengan perintah Mahkamah, dan suami saya juga begitu tertekan dan sedih kerana terpaksa berpisah," katanya.

Shanum dan Syarif membuat keputusan untuk menggunakan khidmat peguam supaya perkahwinan mereka diiktiraf sah bagi membela masa depan anak-anak yang tidak bersalah.

"Saya juga bercadang mengambil tindakan undang undang terhadap Pejabat Agama Daerah Baling dan Majlis Agama Islam negeri Kedah yang menjadi punca saya didakwa bersuami dua," katanya.

Syarif berharap bahawa daripada apa yang berlaku kepada mereka, semua pihak dapat mengambil iktibar bahawa soal nikah dan cerai tidak boleh dipandang ringan oleh mana-mana pihak termasuk Pejabat Agama Islam sendiri. BERNAMA

nasib seorang wanita...



Hati saya sebenarnya tersentuh apabila terlihat keadaan pelakon terkenal Nora Danish dalam portal www.murai.com.my

saya bukanlah arif dan selalu mengikuti perkembangan dunia hiburan tanah air tetapi adakalanya hendak jugalah ambil tahu, bukan apa, dunia seni juga sebenarnya memainkan faktor penting dalam pembentukan generasi muda

apatah lagi mereka sering dijadikan 'role model' khususnya bagi anak-anak remaja kita

berbalik pada Nora Danish, semua orang tahu bahawa beliau telah pun berpisah dengan suaminya

tetapi seperti yang anda lihat gambar di atas, beliau kini sedang mengandung bayi lelaki...dah tujuh bulan pun

Kata Nora, biarpun sudah berpisah, dia tetap berbaik dengan bekas suaminya itu. Baguslah.

Cuma saya sedih bila mengenangkan perasaan Nora Danish, apatah lagi menjelang kelahiran sulungnya itu

Semua isteri kalau boleh mahukan hari bersejarah, hari penentu ajal dan maut mereka itu ditemani suami tersayang tetapi malangnya ia tidak mungkin berlaku dalam diri Nora

saya tidak kenal Nora secara peribadi, tetapi sebagai seorang wanita, saya cukup memahami apa yang dilaluinya ketika ini

dia mungkin tersenyum di depan lensa kamera, tetapi di dalam hatinya hanya Tuhan saja yang tahu

Saya berdoa agar adik Nora Danish selamat melahirkan bayinya, moga Allah memberikan beliau kekuatan untuk menjalani kehidupan yang sungguh mencabar ini

InsyaAllah.

10 November 2008

Jangan Pandang Rendah Pada Orang

Saya ingin hendak lari sedikit dari kesibukan pemilihan kali ini dengan mengajak anda untuk melihat video klip di bawah.

Lelaki ini hanyalah sebuah penjual telefon bimbit yang datang untuk uji bakat sebuah rancangan realiti paling terkenal di Britain

Ketika mula-mula berdiri di hadapan mikrofon, semua juri termasuk Simon Cowell (juri paling celupar dan sinikal dalam American Idol) itu memandang sinis terhadap kemampuannya

Apatah lagi dengan tubuhnya yang gempal dan gigi yang sumbing, Paul dilihat tidak ada beza dengan peserta-peserta lain.

Namun segalanya berubah apabila Paul menyanyi.

Semua terdiam. Semua terpaku. Akhirnya lelaki gempal dan bergigi 'terabur' ini muncul juara dalam pertandingan tersebut.

Pepatah Inggeris ada menyatakan: " Dont judge book by its cover"

Paul telah membuktikannya.

Mungkin ada pengajaran yang boleh kita ambil iktibar dari apa yang berlaku ini...fikir-fikirkanlah.

08 November 2008

Pemilihan Puteri UMNO Malaysia: Fasa Ke-2 Bermula

Sebentar tadi,lima bahagian terakhir telah selesai mengadakan Persidangan Puteri UMNO Bahagian masing-masing.Saya mendapat tiga lagi pencalonan iaitu dari Bahagian Larut,Pengkalan Chepa dan Seremban menjadikan jumlah keseluruhan 65.Itu pun tertakluk kepada pengesahan Persidangan-persidangan tersebut oleh Ibu Pejabat Puteri UMNO Malaysia. Yang penting,saya telah melepasi kelayakan untuk bertanding sebagai Ketua Puteri UMNO Malaysia. Secara tidak rasmi juga,6 calon lain turut melayakkan diri bertanding iaitu sahabat saya YB Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin,Datin Ismalina Ismail,Bibi Sharliza Mohd Khalid,Ida Rohayu dan Sarah ali Bashah.

Selain Ida Rahayu dan Sarah,calon-calon lain adalah rakan-rakan saya dalam barisan exco Puteri UMNO Malaysia dibawah pimpinan YB Datuk Noraini Ahmad. YB Datuk Rosnah dan Bibi pula saya kenali seawal usia Puteri ditubuhkan lagi.Sewaktu saya menjadi Ketua Puteri (penaja) Puteri UMNO Pahang,Datuk Rosnah menjadi Ketua Puteri penaja di Sabah dan Bibi pula di Negeri Sembilan. Datin Ismalina pula menang sebagai exco sewaktu pemilihan tahun 2004.Kami semua bersahabat dan saya yakin pertandingan kali ini akan berjalan dalam semangat setiakawan dan masing-masing akan bersikap profesional.Semuanya layak dan berkaliber,cuma kita mahu perwakilan kelak memilih yang terbaik dikalangan yang terbaik.

Adat pertandingan,lebih-lebih lagi dalam dunia politik,pelbagai cerita akan timbul.Saya menyeru semua pehak terutamanya penyokong saya untuk mengutamakan kepentingan parti.Elakkan perpecahan. Jangan membuat serangan peribadi. Jadilah seperti sebuah pohon yang lebat berbuah,orang baling dengan kayu tetapi digugurkan buah yang enak. Sebab itulah saya bila dikatakan seorang yang suka memburukkan peribadi orang lain,menggunakan duit untuk beli pencalonan,tidak pandai berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dan dikatakan tidak sesuai menjadi Ketua Puteri kerana seorang yang sangat politikal,saya hanya tersenyum mendengarnya.bagi saya,itu kerja orang yang dangkal pemikiran dan terdesak. Saya ikhlas,jika diberi kepercayaan kelak,jawatan itu wajib saya pikul dengan penuh amanah dan tanggungjawab.Jika tidak,saya wajib menerima dengan berjiwa besar dan berlapang dada serta menyokong sesiapa sahaja yang diberi mandat oleh para perwakilan kelak.

Sebab itulah tidak ada sebab bagi saya untuk berkecil hati dengan mana-mana Bahagian yang tidak mencalonkan saya. Saya memahami kadang-kadang mereka harus juga menghormati pandangan pehak-pehak tertentu.Namun,kita juga tidak boleh menafikan hak mereka untuk berpendirian tegas dalam soal menentukan calon pilihan mereka. Yang penting,kita sekarang membuat pemilihan bagi menentukan kepimpinan diperingkat nasional bukan negeri mahupun bahagian.Penilaian yang matang mesti dibuat kerana ianya akan menentukan bukan sahaja hala tuju Puteri UMNO,tetapi juga hala tuju Parti kita dan seterusnya nasib bangsa kita dimasa akan datang.

Selamat Maju Jaya kepada semua yang bertanding dan marilah kita sama-sama berdoa agar kita semua dilindungi dari segala malapetaka. Sekiranya dalam fasa kedua ini kita tersua dimana-mana,moga ada ruang untuk menikmati teh tarik bersama-sama....selamat berjuang!

OBAMA PRESIDEN KE 44 AMERIKA

Seorang rakan menghantar pesanan sms kepada saya malam tadi bertanya kenapa saya tidak mengulas kisah kemenangan bersejarah obama di blog ini.Sebenarnya,dalam keghairahan dunia meraikan kemenangan Obama,saya lebih senang untuk menjadi pemerhati terlebih dahulu.Maksud saya,saya ingin melihat serta mendengar sendiri malumbalas dari pelbagai kelompok masyarakat dan akar umbi.Apakah rasionalnya sebahagian dari kita begitu teruja dengan kemenangan Obama?Ya,mungkin kerana Amerika sebagai sebuah kuasa besar dunia,pemilihan Presiden Amerika juga dianggap seolah-olah seperti memilih pemimpin nombor satu dunia. Obama yang sejak awal membawa slogan yang membawa perubahan kepada Amerika telah menang bergaya dan sekaligus bukan sahaja mencatat sejarah dunia tetapi juga membawa harapan manusia sejagat kearah dunia yang lebih baik.

Obama berjaya mencuri perhatian rakyat negara kita.Obama membawa simbol bahawa jika kita ada keyakinan,kita boleh berjaya.Lagu "Yes We Can" memberi inspirasi kepada bukan sahaja Obama dan rakyat Amerika malah kini turut menjadi siulan masyarakat kita.Begitulah besarnya impak yang dibawa oleh Obama.Latarbelakang serta pembawakan yang dekat dihati rakyat saya kira antara penyumbang besar kepada kejayaan Obama selain dari kewibawaan berpidato dan karisma yang tinggi. Bangsa kulit putih kini mengakui kredibiliti seorang pemimpin keturunan hamba mereka dahulu dan perkara ini mungkin tidak pernah terjangkau difikiran sesetengah rakyat Amerika sendiri sebelum ini.

Saya sendiri mengikuti perjalanan politik Obama sejak beliau menawarkan diri sebagai calon Presiden.Membaca autubiograpy beliau "From People to Power" banyak memberi inspirasi serta semangat kepada saya sebagai seorang pemimpin kecil.Namun,seperti kata-kata John Wooden yang dikirimkan oleh seorang sahabat melalui sms kepada saya "Ability may get u to the top,but it takes character to keep u there"..kita tunggu dan lihat perubahan yang akan dibawa oleh Obama kepada dunia dan semoga kali ini lirik lagu We are the world dendangan Michael Jackson akan menjadi kenyataan...

Jangan lupa,rakyat negara kita ini juga sedang memerhati serta menanti keputusan Pemilihan UMNO Mac ini.Kebijaksanaan ahli-ahli UMNO akan diuji.Masa Depan UMNO ditangan para perwakilan yang terdiri dari 13 orang wakil dari setiap 191 Bahagian UMNO. Syabas kepada YAB Dato Seri Mohd Najib yang telah diumumkan sebagai calon tunggal Presiden UMNO.Fokus kepada Timbalan Presiden..pertimbangan yang sangat wajar perlu diberi perhatian yng sangat khusus kerana kita bukan setakat memilih seorang Timbalan Presiden UMNO tetapi juga menentukan Timbalan Presiden Barisan Nasional.

Bagi diri saya,perjuangan akan diteruskan..dan saya sentiasa berdoa agar perjuangan saya ini diredhai dan diberkati Allah swt.

07 November 2008

syabas Datuk JJ!


Melihat keberanian Ahli Parlimen Rompin, Datuk Jamaluddin Jarjis membidas pihak pembangkang mengenai isu 'double-standard' mereka terhadap media tempatan di Parlimen semalam sangat mengujakan.
Saya rasa penonton Buletin Utama TV3 semalam juga ramai yang bersetuju dengan hujah Datuk JJ yang tersiar dalam televisyen itu.
''Mereka kata pembangkang merupakan pejuang kebebasan akhbar tetapi apabila akhbar tidak selari dengan perjuangan mereka, nak hapuskan kebebasan akhbar.
''Kalau buat cerita yang tidak baik tentang ahli Parlimen pembangkang, saman akhbar tersebut, inilah yang dilakukan oleh mereka dengan menyaman Utusan Malaysia," katanya yang sempat saya lihat di kaca tv semalam.
Jamaluddin menegaskan, Barisan Nasional (BN) menghargai kebebasan akhbar dan demokrasi oleh itu pembangkang juga perlu terima perkara ini.
Syabas anak Pahang!

05 November 2008

Assalamualaikum..

(petikan daripada email yang diterima dari rakan)

DIINGATKAN SEMULA supaya tak lupa...

Protokol ke 10 Yahudi mengandungi 8 perkara....

1.. Song....
Lagu-lagu yang menghiburkan.. jika ada anak-anak yang tak tau mengucap.. tetapi boleh menghafal lagu Hindustan yang panjang berjela... Ada anak-anak yang tak hafal Fatihah.... tapi boleh mengingati lagu Siti Nurhaliza yang panjangnya berdepa depa..... berjaya sudah Yahudi.... Hingga kita terfikir..... bagaimana jadinya radio kalau tanpa lagu?

2. ..Sex.....
Lagi satu kegilaan remaja dan yang tua. Sex dimana-mana.. di kaca tv, dalam filem, dalam iklan... babak sex amat lumrah.. kekadang adegan sex tak diperlukan, tetapi diselitkan jua sehingga ada orang menonton filem hanya kerana ada adegan sex.. filem 18SX amat laris berbanding filem U... VCD lucah mudah didapati... dan harganya amat murah... Adakah filem yang tiada adegan sex? Lagi sekali berjaya sungguh Yahudi laknatullah......

3. ..Smoke....
Rokok.. menjadi kegilaan para remaja... sehingga dikatakan tidak moden jika tidak merokok... malah sekarang merokok menjadi budaya bagi mana-mana perempuan yang kononnya mau digelar "up to date".. Dulu yang merokok ini golongan pelacur saja.... ataupun penari kabaret.... (aku tengok dari filem P Ramlee).... Syabas yahudi... berjaya lagi kamu....

4. ....Sport...
Pelbagai jenis sukan ditonjolkan dan lelaki dengan perempuan sama-sama berlumba mencari nama dalam sukan... hinggakan sekarang bola sepak pun perempuan main juga.. Bila bersukan, tutup aurat mestilah jauh sekali, sembahyang pun banyak yang miss.. bukan yang bermain sahaja tak sembahyang... yang menonton pun tak sembahyang juga... Kalau menonton di rumah... akan lambat sembahyang sebab takut tak nampak macam mana masuk GOL.... Yahudi gol lagi.... sampai ada ulamak kata... kerana sukan.. sembahyang boleh tangguh... Masya-Allah..

5. .. Fun..
Hiburan...di mana-mana kita dapat hiburan yang melalaikan.... Kalau kita lihat dalam 100 majalah.. mungkin 99 adalah majalah hiburan.. termasuklah majalah mangga... yang menayangkan buah mangga artis perempuan.... Kalau ada konsert.... sanggup orang Islam bertandang hingga menghabiskan banyak wang dan bila ke konsert.... pelbagai maksiat akan diselit masuk.... Yahudi terhibur lagi....

6.... Female...
Perempuan...tawaran Yahudi yang amat mengasyikkan..terutama dalam iklan..yang kadang-kadang tidak ada kena mengena dengan perempuan... Kalau kita ke kedai bateri kereta... di hadapan bateri terpampang gadis sunti separuh bogel beraksi... apa kena mengena bateri kereta dengan perempuan?... kalau iklan Modess... perempuan ada patutlah... Yahudi bersorak lagi.....

7...Fashion....
Fesyen terutama perempuan yang bermacam- macam.. sehinggakan kalau pakai tudung pun mereka dah tak menutup aurat.... Macam mana dikatakan bertutup aurat jika bertudung tetapi berbaju ketat yang kekadang menampakkan pusat? Yang mewarnakan rambut lagi teruklah... Buat apa bertudung kalau rambut diwarnakan.... Bila warnakan rambut.. mestilah tidak bertudung sebab kalau bertudung.. bagaimana nak menayangkan warna rambut yang terkini itu... Kalau dah rambut diwarnakan... sembahyang pun tak sah... malah mandi hadas pun tak sah sebab kebanyakan pewarna adalah kalis air... itu tak kira yang cukur bulu kening lagi... Yahudi ketawa lagi....Umat islam sudah jadi macam Yahudi....

8. .. Food..
Makanan.. Lagi satu kegilaan Umat Islam terutama makanan dari Barat termasukalah McD, Kentucky , Pizza hut... dan seribu satu macam lagi... Buah kurma yang menjadi makanan Rasulullah dipandang hina.... masuk rumah pun setahun sekali bila bulan Ramadan... tapi makanan Barat menjadi kebanggaan... Bila makanan datang dari Barat.. adakah kita yakin tentang halalnya? Contohnya Kentucky .. rempahnya datang dari Amerika.... siapa nak pergi check... halal ke tidak? Bila makan benda haram, masakan iman menjadi mantap... Maka lahirlah Umat Islam yang bukan perangai saja macam yahudi... tetapi berfikiran pun macam yahudi... Nauzubillah.....Yahudi makan Islam lagi...

Itu baru protokol yang ke 10......yang lain-lain entah macam-macam lagi.... aku cinta Malaysia ...... tapi lebih cintakan ALLAH..... oleh itu, jika berlaku pertembungan antara kepentingan manusia dengan kepentingan Allah......

DAHULUKAN KEPENTINGAN ALLAH....

Ayat2 Al Quran yang boleh diamalkan :
Untuk elak suami/isteri dan anak2 bergaduh : Surah Al Baqarah - Ayat 102
Anak2 pandai belajar : Surah Al Anbiyaa'- Ayat 79
Anak2 lembut hati/ elak panas baran : Surah Al Anbiyaa - Ayat 69 dan Surah Al Hasyr - Ayat 22-24
Anak2 malas sekolah : Surah Toha ayat 1-5
Ayat pendinding : Ayat akhir surah At Taubah
Bagi anak2 yg suka keluar malam : Surah Ar Rum Ayat 31. Baca 33x
Untuk jadi pendinding rumah : Surah Al Baqarah dibaca & tiup pada air dan spray keliling rumah
1 minit untuk mengingat Allah Langkah 1:· Sebutlah dengan sepenuh hati dan lidah yang fasih:· SUBHANA'LLAH· ALHAMDULI'LLAH· LAA I LAAHA ILLA'LLAH· ALLAHU AKBAR· ASTAGHFIRU'LLAH · LAA ILAAHA ILLA'LLAH, MUHAMMADUR RASULU'LLAH· ALLAHUMMA SALLI WA SALLIM WABARIK ' ALA SAYYIDINA MUHAMMAD WA AALIHI· WA SAHBIHI AJMA'EEN