19 November 2008

Banyak yang sudah dilupakan

RENUNGI KATA-KATA SIEW SIN DAN SAMBATHAN UNTUK ELAK PERTIKAI KEISTIMEWAAN MELAYU, KATA ADUN KERDAU

KUANTAN, 19 Nov (Bernama) — Bimbang mengenai cubaan sesetengah mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu, seorang penyokong kerajaan hari ini memetik kenyataan bekas Presiden MCA Tun Tan Siew Sin dan bekas Presiden MIC Tun V.T.Sambanthan mengenai isu itu agar keharmonian kaum dan kemakmuran negara dapat dikekalkan.

Zaharuddin Abu Kassim (BN-Kerdau) ketika membahaskan bajet kerajaan negeri Pahang bagi tahun 2009 pada persidangan Dewan Undangan Negeri, membacakan kenyataan yang pernah dibuat oleh bekas Presiden MCA Tun Tan Siew Sin dan bekas Presiden MIC Tun Sambanthan.

Menurut beliau, kata-kata Tan pada 30 April 1969 berbunyi : “Orang Melayu menerusi Umno bermurah hati melonggarkan syarat-syarat dalam undang-undang negara ini sehinggakan dalam masa 12 bulan selepas kemerdekaan, 90 peratus penduduk bukan Melayu menjadi warga negara.

Ini berbeza dengan keadaan sebelum merdeka di mana 90 peratus daripada mereka masih tidak diiktiraf sebagai rakyat Tanah Melayu walaupun hampir 100 tahun hidup di bawah pemerintahan penjajah.

“Sebagai membalas kemurahan hati orang Melayu, MCA dan MIC bersetuju meneruskan dasar memelihara dan menghormati kedudukan istimewa orang Melayu dan dalam masa yang sama mempertahankan kepentingan-kepentingan sah kaum lain”.

“Sebelum itu, Tun Sambanthan pada 1 Jun 1965 pernah berkata...pada tahun 1955, kita telah memenangi pilihan raya dengan majoriti yang tinggi, selanjutnya mendapat kemerdekaan dalam masa dua tahun kemudian.

Dalam jangka masa itu, kita terpaksa berbincang dan menangani pelbagai perkara termasuk soal kewarganegaraan.

Persoalannya di sini, apakah yang dilakukan oleh orang Melayu memandangkan kita bercakap menyentuh perkauman? Apakah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Melayu? Mereka mempunyai 88 peratus daripada pengundi menyokong mereka. Apakah yang mereka putuskan mengenai isu kewarganegaraan?.

“Jika kita lihat di serata negara Asia dan Asia Timur, kita akan mendapati kaum India tidak akan diterima di Ceylon (Sri Lanka) dan juga tidak diterima di Burma (Myanmar). Sama halnya dengan kaum Cina, mereka tidak diterima di Thailand, Vietnam, Kemboja dan di negara-negara lain.

Apakah bantuan berhubung kewarganegaraan yang mereka peroleh di semua wilayah tersebut?

“Di Burma, seperti yang kita semua sedia maklum, kaum India telah diusir keluar, di Ceylon mereka tidak diberikan taraf warga negara seperti juga di Burma.

Saya tahu dan anda juga tahu. Apa yang sedang berlaku di Malaya? Di sini kita mendapati pemimpin Melayu berkata...kita akan menerima mereka sebagai saudara, kita akan berikan mereka sepenuh peluang untuk meneruskan kehidupan di negara ini, kita akan beri mereka peluang untuk menjadi warga negara.


“Seterusnya pada tahun 1957, dengan tidak mengambil kira kebolehan berbahasa (Melayu) ribuan orang India, Cina dan Ceylon menjadi warga negara.
Seperti yang saya nyatakan, saya amat bernasib baik kerana dilahirkan di negara ini.

Di manakah anda boleh berjumpa bangsa yang lebih prihatin, bersopan santun dan tertib selain daripada bangsa Melayu. Di manakah anda boleh mendapat layanan politik yang baik untuk kaum pendatang? Di manakah dalam sejarah dunia? Saya bertanya kepada anda”.

Zaharuddin berkata jika hak keistimewaan orang Melayu itu terus dibangkitkan, tindakan itu umpama memasang “bom jangka” yang boleh memusnahkan negara ini.

Datuk Lau Lee (BN-Damak) kemudian mencelah: “Kita tidak perlu takut kepada
“time bomb”, kita mesti berani menghadapinya.”

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob turut bangun dengan berkata ianya bukan soal berani atau tidak berani tetapi “bom” itu susah dimatikan apabila ianya meledak.

Lau : “Kita tidak pernah pertikaikan hak keistimewaan orang Melayu, kita minta semua rakyat Malaysia diberi tempat...orang Cina dan India diberi peluang yang lebih tinggi lagi".

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

So..Melayu mudah lupa atau orang lain yang mudah lupa sekarang?