Golongan muda semakin memainkan peranan penting dalam menentukan hasil sesuatu keputusan pilihan raya.
Walaupun jumlah mereka masih belum membentuk majoriti pengundi, tetapi sudah cukup bagi mencorak perjalanan politik negara.
Justeru, cabaran terbesar pasca pilihan raya umum ke-13 adalah untuk menarik golongan ini bersama dengan BN atau UMNO.
Bagaimanapun, dalam hal ini, perkara pertama yang kita harus faham dan berbincang dengan terbuka ialah golongan muda hari ini tidak ramai yang berminat dengan politik.
Minat mereka adalah kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan muzik, permainan video atau video games dan sukan seperti bolasepak atau EPL.
Mereka banyak mengikuti perkembangan berkaitan perkara ini melalui internet.
Internet umpama satu bentuk nadi hiburan yang baru bagi golongan muda.Cabaran terbesar sebelum kita hendak menarik mereka mengundi BN, kita perlu terlebih dahulu perlu menarik mereka kepada politik.
Bagaimanakah di celah-celah minat terhadap permainan video atau kandungan dalam internet boleh kita sematkan elemen politik sebagai satu lagi tarikan utama?
Perkara ini boleh dilakukan jika kita mengikut saluran yang tepat dan mengikut peredaran zaman. Internet merupakan gedung ilmu tanpa batasan yang memainkan peranan yang amat penting dalam jiwa muda hari ini.
Blog dan perkara seperti Facebook umpamanya juga semakin serasi dengan jiwa muda hari ini.
Saya pernah terbaca di sebuah akhbar, wujud 500,000 blog di negara ini yang menjadikan Malaysia antara negara yang terbanyak blog di dunia. Ini memperlihatkan betapa internet itu adalah satu teknologi yang bukan lagi asing kini dalam masyarkat kita.
Dalam kita ingin menarik golongan muda kepada politik dan BN, maka kita perlu juga mendekati saluran ini. Sebenarnya BN sudah agak terkebelakang sedikit dalam hal ini jika dibandingkan dengan pembangkang.
Pembangkang terlebih dahulu mengoptimumkan penggunaan internet bagi menyalurkan idea-idea perjuangan mereka. Beberapa tahun sebelum PRU ke-13 lagi mereka sudah menggunakan platform ini untuk mempengaruhi masyarakat.
Disebabkan itulah, jika ada golongan muda yang minat politik pun pada masa sekarang, minat dan sokongan mereka lebih terarah kepada pembangkang.
Mengapa, jawapannya terkandung dalam apa yang saya cakap tadi, golongan muda begitu rapat dengan internet dan pembangkang sudah lama menggunakan saluran ini dalam menyebarkan idea-idea mereka.
Justeru, golongan muda yang berminat dengan politik pun, mereka condong kepada pembangkang, mereka mengabiskan begitu banyak masa membaca blog atau portal-portal berita yang dimiliki oleh pembangkang.
Idea dan propaganda pembangkang sudah tersemat dalam fikiran dan jiwa mereka. Segala fitnah yang ditabur melalui internet diterima bulat-bulat sebagai benar oleh golongan ini.
BN sebaliknya banyak bergantung kepada medium media lama seperti suratkhabar dan gagal melihat kepentingan media baru sehinggalah selepas PRU ke -13.
Namun, masih belum terlambat sebenarnya jika BN mahu menarik golongan muda. Namun ia hendaklah mengikut rentak golongan muda. BN yang perlu ikut rentak golongan muda, bukannya golongan muda ikut rentak BN.
Bila hendak ikut rentak golongan muda, maka saya melihat internet adalah saluran yang perlu dikuasai bermula dari sekarang.
Para pemimpin UMNO perlu memiliki blog dan portal-portal berita bagi membolehkan penyebaran idea-idea BN secara meluas di alam maya.
Jika artis popular di barat boleh memiliki Facebook atau blog, mengapa tidak pemimpin kita juga melakukan perkara yang sama.
Bagi peluang kepada remaja untuk mendekati para pemimpin UMNO melalui saluran yang mereka minat. Jadikan politik sesuatu yang menarik, sesuatu yang mudah dan berada dalam jangkauan golongan muda. Maka ketika itu politik ada kemungkinan akan menjadi satu lagi elemen selain EPL atau permainan video.
Dalam senario hari ini, jika kita hanya membuat majlis di balairaya dan mengharapkan golongan muda untuk tampil memang ianya sukar. Kalau mereka hadir pun bukan atas keikhlasan. Hadir mungkin kerana terpaksa.
Bukan semua golongan muda menolak UMNO, tetapi bilangan mereka memang kurang jika dibandingkan dengan yang pro pembangkang. Ini kita perlu terima dengan hati yang terbuka. Penafian akan hanya melemahkan UMNO dan BN.
Mereka menolak UMNO seperti yang dinyatakan, mereka sudah dicuci pemikiran mereka melalui blog-blog dan portal-portal berita pembangkang. Mereka bukannya benci pada UMNO kerana yakin UMNO banyak salah.
Mereka benci UMNO kerana mereka salah diberikan maklumat, diajar benda yang bukan-bukan. Pembangkang berjaya membuat semua itu kerana mereka mengikut saluran yang tepat.
Apakah yang boleh menarik mereka kepada UMNO?
UMNO perlu mengikut rentak golongan muda. Jangan abaikan lagi media baru seperi blog. Cuba rampas kembali apa yang sudah dikuasai pembangkang.
Mungkin media baru belum menjadi sehebat media arus perdana, tetapi ia sedang berkembang. Kalau ditunggu lebih lama, kita akan lebih ketinggalan.
Bila ketinggalan, maka kita akan dilihat sebagai sebuah parti orang tua.
Dan apa yang berkaitan dengan imej orang tua akan ditolak dengan mudah oleh yang masih muda.
Maka jika UMNO berubah dengan kehendak zaman, kegemilangan dan kematangan yang ada di sebalik namanya itu akan menjadikan ia parti pilihan untuk disertai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan