Hari ini sepatutnya saya bersama delegasi Kerajaan Negeri Pahang yang diketuai Datuk Shahkar Shamsuddin pulang dari Bangkok selepas menghadiri persidangan Bio Asia.
Memang sudah tidak sabar rasanya untuk kembali ke Malaysia selepas beberapa hari berada di negara gajah putih ini.
Namun itulah, kita hanya mampu merancang, tuhan sahaja yang menentukan.
Rancangan untuk balik segera bertemu keluarga dan rakan-rakan terbengkalai begitu sahaja kerana Lapangan Terbang Suvarnabhumi ditutup apabila penyokong Pakatan Rakyat bagi Demokrasi (PAD) mengambil alih dan memenuhi kawasan lapangan terbang itu.
Semua penerbangan antarabangsa terpaksa dibatalkan.
Ini memang kami tidak duga langsung. Pakaian yang dibawa pun boleh dikatakan cukup-cukup sahaja. Dah jadi macam ini, maka hari ini terpaksalah kami semua keluar membeli pakaian baru.
Kami itu maknanya selain dari saya dan Shahkar, adalah bersama lagi dua orang wakil rakyat, YB Pang Tsu Ming dan Yb Zaharuddin dan enam wakil syarikat Mentiga, Unit
Pembangunan Ekonomi dan LKPP.
Bila lapangan terbang Suvarnabhumi ditutup, kami rancang untuk naik penerbangan domestik Thailand yakni dari Bangkok ke Phuket dan kemudian menaiki kapal terbang dari sana untuk ke Malaysia.
Sekali lagi masalah baru datang melanda, tiba-tiba hari ini penerbangan domestik Thailand juga digantung. Entahla nak buat apa sekarang ni.
Ada yang mencadangkan naik keretapi sahaja dari Bangkok ke tanah air. Pihak Kedutaan Malaysia yang sepanjang hari bersama kami sedang berusaha memikirkan sesuatu yang
boleh membantu kami pulang. Harap-harap adalah penyelesaian.
Disebabkan bosan, saya pergilah ke siber cafe dekat dengan hotel Landmark, hotel penginapan kami di Bangkok untuk update blog saya ini. Walaupun berjauhan di mata dengan rakan-rakan, sekurang-kurangnya boleh la dekat di alam siber melalui cara ini.
Ini sebenarnya entry kedua saya dari Bangkok selepas entry semalam pasal cabaran menarik golongan muda menyokong BN.
Masa sekarang ni pun dah hampir tengah malam, mengantuk pun ada, penat pun ada, rindu keluarga terutama anak-anak pun ada, bosan melampau pun ada...senang cakap,
macam-macam perasaan sekarang ini.
Walaupun tempat penginapan kami nampak aman dan selamat, tetapi hati kami runsing juga kerana terdengar khabar-khabar kemungkinan akan berlaku rampasan kuasa oleh pihak tentera.
Jika ia terjadi, maka seluruh Bangkok berkemungkinan akan dikenakan perintah darurat. Sampai bila pun tidak boleh nak agak. Silap hari, lamalah kami semua berkampung di kota Siam ini.
Hari ini pun, berita melaporkan Ketua Tentera Thailand, Jeneral Anupong Paochinda meminta Perdana Menteri, Somchai Wongsawat membubarkan Parlimen Thailand bagi memberi laluan untuk mengadakan pilihan raya baru.
Saya ingat semalam, Somchai ada berkata beliau tidak merancang untuk berundur. Sekarang ini, tidak pasal-pasal saya kena pula mengambil tahu secara terperinci mengenai politik Thailand.
Politik kat Malaysia pun belum habis kemeriahannya, tambah pula dengan politik negara jiran. Namun keadaan menyebabkan saya tiada banyak pilihan.
Apa pun, saya berharap rakan-rakan di Malaysia akan mendoakan keselamatan kami semua di kota Bangkok ini.
Mudah-mudahan semuanya akan selamat. Amin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan