28 Februari 2009

Cari penyelesaian muktamad isu tol



Alhamdullilah, kadar tol tidak dinaikkan. Ini satu berita yang mengembirakan semua pihak.

Memang tidak wajar sama sekali kadar tol dinaikkan terutama ketika keadaan ekonomi semasa yang memerlukan rakyat berbelanja dengan lebih berhemah.

Namun, saya ingin menulis lebih sedikit mengenai isu tol ini.

Saya lihat apa yang diumumkan semalam bukan satu penyelesaian yang menyeluruh terhadap isu bayaran tol menggunakan lebuh raya di negara ini.

Apa yang diumumkan semalam hanyalah satu penyelesaian jangka pendek.

Yang lebih penting sekarang sebenarnya ialah perlu ada penyelesaian jangka panjang terhadap isu ini.

Satu penyelesaian yang menguntungkan semua pihak terutama sekali rakyat. Bukan yang dilihat menyebelahi syarikat konsesi.

Untuk berlaku adil, satu perbincangan secara terbuka dan ikhlas perlu diadakan melihat apakah yang boleh dijadikan sebagai penyelesaian terhadap isu tol.

Justeru, saya ingin mencadangkan agar kerajaan bersama pemegang konsesi laluan lebuh raya mewujudkan satu kaedah yang akan menguntungkan rakyat untuk jangka masa panjang.

Selain kesenangan untuk rakyat, penyelesaian isu tol juga bermakna satu lagi tekanan kepaa BN akan dapat dikurangkan. Sudah diketahui umum bahawa tol kini adalah satu isu yang kerap digunakan oleh pembangkang untuk menyerang BN.

Saya lihat kekuatan isu ini semakin menjadi-jadi dan pembangkang meraih faedah yang sepenuhnya daripada perkara itu.

Saya juga akan berusaha menyampaikan mesej ini kepada rakan-rakan pemimpin yang lain agar kita mencari satu penyelesaian muktamad dengan segera terhadap isu tol.

27 Februari 2009

Tol tidak dinaikkan.

(Petikan http://malaysia-instinct.com/english).


Cadangan Naikkan Kadar Tol Dibatalkan
Friday, 27 February 2009 16:03

Kabinet hari ini membatalkan cadangan menaikkan kadar tol di lima lebuh raya mulai 1 Mac ini seperti yang diumumkan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed semalam.

Serentak dengan itu, kerajaan dijangka akan membayar pampasan berjumlah ratusan juta ringgit kepada syarikat pemegang konsesi tol berkenaan.

Bagaimanapun maklumat lanjut dijangka akan diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan mengadakan sidang akhbar di Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.

** Pada masa saya memasukkan entry, belum ada sebarang kenyataan yang dibuat. Jika apa yang terpapar di atas benar, saya amat berharap agar ia menjadi realiti. Demi rakyat, kerajaan perlu memastikan tol tidak dinaikkan.

23 Februari 2009

Baru tahu ketinggian langit

Kurang sebulan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang meraikan ulang tahun pertamanya, Ketua Menteri, Lim Guan Eng terpaksa mengakui gagal menunaikan janji menghapuskan miskin tegar di negeri ini.

Selepas mengambil alih Pulau Pinang pada pilihan raya umum Mac tahun lalu, kerajaan negeri sering meuar-uarkan mampu membasmi kemiskinan tegar dalam tempoh setahun.

Bagaimanapun, hanya tinggal kurang tiga minggu lagi, Guan Eng mengumumkan kerajaan negeri gagal menunaikan janji berikutan masalah kesukaran membuka akaun amanah.

Beliau tidak menjelaskan dengan lanjut masalah teknikal membuka akaun berkenaan, sebaliknya menyatakan terpaksa melalui prosedur yang panjang.

"Kita menghadapi kesukaran membuka akaun amanah. Akaun ini akan digunakan untuk memasukkan dana yang disumbangkan penderma supaya turut mendapat faedah," katanya selepas merasmikan klinik kesihatan percuma sempena kempen kesihatan di Padang Lucky Garden, di sini semalam.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, beliau tetap menaruh harapan kerajaan negeri mampu membasmi kemiskinan tegar pada hujung tahun ini jika akaun amanah berjaya dibuka Mac ini.

"Walaupun ada halangan melaksanakan hasrat dalam tempoh ditetapkan, usaha itu tidak akan terhenti, malah akan terus menjayakannya," katanya.

Sehubungan itu, Guan Eng berkata, kerajaan negeri tetap akan mencari penyelesaian terhadap masalah sepanjang program membasmi kemiskinan tegar dan memastikan ia menjadi kenyataan.

"Kami tetap berusaha menjayakan hasrat menjadikan Pulau Pinang negeri pertama berjaya menghapuskan miskin tegar," katanya.


SS: Mengkritik memang mudah, melaksanakan pula lain halnya. Itulah yang terbaik untuk menerangkan kegagalan Guan Eng memenuhi janji untuk menamatkan kemiskinan tegar di negeri itu.

Masa di luar kerajaan dahulu, Guan Eng ingat kerja mentadbir dan memenuhi kehendak rakyat adalah sesuatu yang mudah kot. Sebab itu aysik main lepas cakap aje.

Apa dia ingat BN tidak pernah berusaha buat apa yang dia nak buat itu....BN lagi awal dan lagi berjaya daripada dirinya dalam hal-hal seperti itu.

Cuma bezanya, BN meletakkan satu tempoh waktu yang realistik dan tidak terburu-buru dalam berbuat demikian. Bolehlah kalau hendak jadi juara segera maka letaklah satu tempoh waktu yang tidak masuk akal untuk menamatkan sesuatu yang sukar.

Kalau saya jadi Guan Eng, saya akan rasa malu yang amat kerana gagal memenuhi janji yang saya laungkan berulang-ulang kali sebelum ini. Cakap Guan Eng selama ini macam BN sengaja tidak mahu membantu menghapuskan kemiskinan tegar di negeri itu.

Alasan kegagalan dia pula pulak setakat kata sukar nak bukak akaun....itu aje ke alasan terbaik yand dapat difikirkan?

Lain kali faham la satu perkara, mengkritik memang mudah tetapi bila tiba masa nak buat baru tahu langit itu tinggi ke rendah.

Terima Kasih

Terima Kasih ingin saya ucapkan kepada rakan-rakan termasuk penulis blog yang memberikan sokongan untuk saya bertanding jawatan Ketua Puteri UMNO.

Sokongan anda semua besar maknanya kepada saya.

Tanpa sokongan yang ditunjukkan itu, mungkin saya akan merasa diri saya keseorangan dalam perjuangan ini.

Apa pun, saya memasuki pertandingan merebut jawatan Ketua Puteri dengan penuh merendah diri dan tahu, simpati rakan-rakan terhadap perjuangan saya adalah perkara terpenting jika saya ingin berjaya.

Tanpa simpati dan sokongan rakan-rakan, maka perjuangan saya pun tidak akan sampai ke mana.

Terima Kasih sekali lagi.

21 Februari 2009

Pemilihan PAU 2008 - Senarai Calon Yang Sah Bertanding

Ibu Pejabat UMNO mengesahkan telah menerima senarai calon-calon yang layak bertanding bagi jawatan pusat pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2008 nanti.

Bagi jawatan Presiden, Datuk Sri Mohd Najib Tun Razak merupakan calon tunggal.

Manakala lima jawatan dipertandingkan iaitu Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan ahli Majis Tertinggi (MT) UMNO.

Sehubungan itu, pada 24 Februari 2009 (Selasa), jam 2.30 petang, diadakan satu majlis cabutan nombor calon bagi pemilihan jawatan pusat untuk semua peringkat di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur di mana melibatkan wakil-wakil calon sahaja.

Pada 29 Januari lalu, Ibu Pejabat telah mengeluarkan surat kepada calon-calon yang layak bertanding untuk mengisi jawatan MT UMNO dan sayap pergerakan bagi mengisi borang pengesahan penerimaan dan penolakan pencalonan jawatan untuk tempoh tiga tahun (2008 – 2011).

Semalam merupakan tarikh akhir untuk mengembalikan surat tersebut termasuk borang pelantikan wakil calon.

Berikut senarai calon yang sah bertanding bagi jawatan Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia:

PENGERUSI TETAP PUTERI

1. Roslinda Binti Abd Rahman – Rasah
2. Azlieza Binti Azizan – Tangga Batu

TIMBALAN PENGERUSI TETAP PUTERI

1. Hasspalela Binti Mohammed Hassan – Kulai
2. Zakiah Binti Kalipunya – Semporna
3. Rosmarynda Binti Mohamad Rasidi – Bandar Tun Razak

KETUA PUTERI

1. Shahaniza Binti Shamsuddin – Maran
2. Rosnah Binti Hj Abd Rashid Shirlin – Papar
3. Ismalina Binti Ismail – Wangsa Maju
4. Bibi Sharliza Binti Mohd Khalid – Rembau
5. Ida Rahayu Binti Md Noor – Petaling Jaya Utara
6. Saarah Binti Ali Bashah - Seputeh

NAIB KETUA PUTERI

1. Nolee Ashilin Binti Mohammed Radzi – Lembah Pantai
2. Shahanim Binti Mohamad Yusoff – Sungai Petani
3. Wan Norashikin Binti Wan Noordin – Pasir Salak
4. Nordiana Binti Shafie – Kuala Terengganu
5. Haslinda Binti Mohd Zerain - Ampang

AHLI JAWATANKUASA PUTERI

1. Mas Ermieyati Binti Samsudin – Masjid Tanah
2. Idamoerni Binti Zakaria – Bukit Gelugor
3. Fahariyah Binti Md Nordin – Ledang
4. Nor Azita Binti Abdul Rahman – Pekan
5. Norhamizah Binti Mat Tahir – Selayang
6. Norashikin Binti Abdul Rahman – Rasah
7. Azlinda Binti Zubir @ Zubin – Bukit Katil
8. Rina Binti Mohd Harun – Sepang
9. Inahwyati Binti Jaini – Tenom
10. Huzry Fionnawatty Binti Hussein - Segambut
11. Wan Salwati Binti Abdullah - Seremban
12. Isfarina Binti Mohd Bali – Ipoh Barat
13. Anita Binti Murad – Tenggara
14. Dg Maimunah Binti Sidek – Sipitang
15. Roselinda Binti Abd Jamil – Klang
16. Faraha Binti Ismail – Mersing
17. Nordiana Binti Shafie – Kuala Terengganu
18. Azliza Binti Ahmad – Seputeh
19. Rohaiza Binti Yang Yussof – Kuala Kangsar
20. Fatimah @ Nik Fatimah Binti Haji Nik Salleh – Tumpat
21. Azana Rita Binti Abdul Aziz – Tambun
22. Nik Nora Hiryani Binti Nik Mohamed Yusoff – Gua Musang
23. Jamilah Hanim Binti Othman – Petaling Jaya Selatan
24. Azifah Binti Abdul Rahman – Pokok Sena
25. Shahanim Binti Mohamad Yusoff – Sungai Petani
26. Wan Noor Dizamdila Binti Wan Mustapa – Arau
27. Wan Norashikin Binti Wan Noordin – Pasir Salak
28. Hamizah Binti Abdollah Zawawi - Putrajaya
29. Hartini Binti Abdul Rahman – Jerantut
30. Zauyah Binti Zainuddin – Bandar Tun Razak
31. Zurina Binti Abd Rahman – Hulu Terengganu
32. Muszaina Binti Md Mustaffa – Tanjong
33. Ellyana Binti Mohd Muslim Tan – Padang Besar
34. Nashua Binti Fauzun – Segambut
35. Norsabrina Binti Mohd Noor – Kulim-Bandar Baharu
36. Zahida Binti Zarik Khan - Pandan
37. Asmaiza Binti Ahmad – Padang Besar
38. Hamidah Binti Mohd. Jaffar – Putatan
39. Emm Roosehaziram Binti Mohd Rahim – Pengkalan Chepa
40. Noor Marry Binti Abdul Karim – Jelebu
41. Herni Azura Binti Ghafar – Subang
42. Jamilah Binti Awang – Nibong Tebal
43. Hasrunizah Binti Hassan – Pontian
44. Siti Fatimah Binti Amir - Setiawangsa
44. Seriwani Binti Sabtu - Setiawangsa
45. Rita Syarinda Binti Manaf Najid – Dungun
46. Noor Hayati Fitrah Binti Shahril – Bayan Baru
47. Wan Zawiyah Binti Wan Halim – Kubang Pasu
48. Rosmarynda Binti Mohamad Rasidi – Bandar Tun Razak
49. Azlinda Binti Alis – Kubang Kerian
50. Nur Fazlim Binti M Mohamed Kunju – Kemaman
51. Norhasmimi Binti Abdul Ghani – Kuala Krau
52. Julie Binti Sabran – Beluran
53. Masmira Binti Mohd Salleh – Bukit Bintang


**Saya hanya masukan untuk yang Puteri sahaja. Untuk MT, Wanita dan Pemuda boleh dilihat di http://www.umno-online.com/

19 Februari 2009

Anwar sedang gelabah kuda?

Najib Cabar Kemukakan Bukti BN Sebar Gambar Bogel Elizabeth Wong

Datuk Seri Najib Razak hari ini mencabar pihak pembangkang supaya mengemukakan bukti terhadap dakwaan mereka bahawa Barisan Nasional (BN) terbabit dalam penyebaran gambar bogel Ketua Penerangan Wanita Parti Keadilan Rakyat, Elizabeth Wong, baru-baru ini.

Sambil menegaskan BN tidak terlibat sama sekali dalam insiden itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, pembangkang sewajarnya tidak menuduh sembarangan jika tidak mempunyai bukti.

"Tuduh apa... bukti siapa yang buat, saya tidak tahu menahu tentang hal ini tiba-tiba meletus dalam surat khabar.

"Kalau hendak menuduh kena keluarkan bukti, jangan cakap macam itu sahaja, jangan tuduh sewenang-wenangnya," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet untuk Meliberalisasi Sektor Perkhidmatan di Bangunan Parlimen hari ini.

Sebelum ini beberapa anggota PKR, termasuk Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendakwa BN menjadi dalang dalam penyebaran gambar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan itu.

Berikutan penyebaran gambar itu, Wong, 37, menawarkan diri untuk meletak jawatan sebagai Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Hal Ehwal Pengguna Selangor serta Adun Bukit Lanjan.



SS: Nyata Anwar umpama orang mati akal. Paling senang nak tutup malu dan meraih simpati maka cakaplah BN yang buat.

Sebenarnya Anwar sedang gelabah. Tahun ini menyaksikan PR banyak berhadapan dengan pelbagai masalah.

Imej Anwar yang kononnya seorang pemimpin yang hebat nampaknya banyak sekali teruji dalam beberapa bulan pertama tahun ini.

Ingatkan BN sudah terlalu lemah, rupanya beliau tersilap.

Seperkara lagi, sampai bila nak salahkan BN sahaja? Memanjang salah BN tetapi takda bukti, main belasah cakap aje.

Kenalah gentleman dan kemukakan bukti yang kukuh sikit. Barulah nampak hebat dan bijak.

17 Februari 2009

Maaf...silap info

Saya ingin memohon maaf kepada pembaca blog saya. Ini kerana entry saya sebelum ini pasal Elizabeth Wong akan meletak jawatan kurang tepat.

Saya mengambil maklumat itu daripada sebuah laman berita. Sebenarnya beliau setakat ini hanya menawarkan untuk meletak jawatan.

Jika hanya tawaran, maka saya rasa beliau sedang cuba mempertahankan kedudukannya.

Beliau sedang menongkah arus. Namun saya yakin ia tidak akan sampai mana. Beliau hampir pasti terpaksa tunduk pada desakan masyarakat agar berundur.

Selain meletak jawatan, saya tidak nampak pun pilihan lain.

Ahli politik bila terjebak dalam isu yang berbau seks, memang tidak ada banyak pilihan sebenarnya.

Apa pun, saya yakin beliau akan tetap meletak jawatan tidak lama lagi dan kemungkinan besar pilihan raya kecil di satu lagi bukit iaitu Bukit Lanjan selepas Bukit Selambau dan Bukit Gantang.

Elizabeth letak jawatan

Anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor, Elizabeth Wong yang dilanda kontroversi ekoran gambar bogelnya yang tersebar luas di internet dan Khidmat pesanan Multimedia (MMS) ketika ini seperti yang diharapkan telah mengumumkan peletakan jawatan sebagai anggota exco dan ADUN Bukit Lanjan berkuatkuasa serta-merta.

Pengumuman itu dibuat pada sidang akhbar di ibu pejabat PKR, di Tropicana Damansara, pukul 11 pagi ini.

Maka dengan ini, kita bakal menyaksikan pilihan raya kecil kawasan dewan undangan yang diwakili beliau dalam tempoh 60 hari dari tarikh notis dikeluarkan DUN Selangor.

Dalam hal ini, tindakan Elizabeth adalah tepat. Kalau dileretkan pun isu itu akan menghancurkan maruah dirinya dengan lebih buruk lagi.

Beliau juga perlu menerima hakikat karier politiknya yang melonjak tiba-tiba, jatuh merundum dan berakhir pun secara tiba-tiba.

Memang agak memalukan untuk dirinya. Namun itulah hakikat politik, tiada kawan, tiada lawan, tiada naik dan tiada jatuh yang boleh diramal secara tepat.

Hari ini di puncak, esok di dasar...itulah yang harus diterima setiap yang memilih politik sebagai karier masing-masing.

16 Februari 2009

Isu dan Gambar Panas Elizabeth Wong

Hari ini, tersiar di Malay Mail berita bahawa gambar bogel exco dari PKR di Selangor, Elizabeth Wong sedang tersebar di internet.

Elizabeth sendiri telah mengesahkan kesahihan gambar-gambar itu dan mendakwa ia adalah pencerobohan terhadap privasi hidupnya.

Nampaknya kelangsungan PKR banyak diwarnai dengan isu-isu seks sejak kebelakangan ini kan.

Apa pun, bila Elizabeth sudah mengakui kewujudan gambar-gambar tersebut, maka rasanya secara otomatik dia perlu meletak jawatan sebagai ADUN.

Tidak perlu ada persoalan-persoalan lain. Kalau gambar-gambar itu peribadi, mengapa ia terlepas ke alam siber.

Bila sudah mengaku, maka beliau kena ikut jejak langkah Datuk Seri Chua Soi Lek.

Soi Lek telah meninggalkan jawatan sebagai menteri apabila isu melibatkan beliau terbongkar.

Ketika itu, puak-puak pembangkang ini antara yang banyak bersuara pasal isu moral.

Jadi dalam keadaan sekarang, apa yang membezakan Elizabeth dengan Soi Lek?

15 Februari 2009

Hentikan budaya derhaka.



Orang berkata, biarlah mencegah daripada berubat, kerana mencegah itu lebih baik.

Sebenarnya, dalam konteks kata-kata ini, mencegah bukan sahaja terhad kepada penyakit. Ia juga perlu dalam mencegah sikap dan tindak-tanduk dalam masyarakat.

Apabila sesuatu sikap atau tindak tanduk yang buruk tidak dicegah sejak dari mula, seperti juga penyakit, ia boleh berubah menjadi lebih parah atau menjadi barah.

Apabila sudah menjadi barah, maka peluang untuk menyembuhkan penyakit itu akan menjadi lebih sukar atau mungkin tidak boleh dilakukan lagi.

Ia akan mula menghancurkan nilai-nilai murni yang wujud dalam sesuatu masyarakat itu selama ini.

Saya hendak mengaitkan analogi ini dengan apa yang berlaku sekarang dalam institusi beraja di Perak secara khusus yang perlu juga dilihat secara umum.

Dalam sejarah ratusan tahun ketamadunan bangsa Melayu, institusi beraja kita kini berhadapan dengan kemungkinan disaman di mahkamah oleh rakyat biasa.

Tindakan menyaman ini pula bukan atas asas yang kukuh tetapi lebih bermotifkan keuntungan politik satu pihak.

Perbuatan menyaman seorang raja nyata menentang budaya dan kelaziman dalam tamadun bangsa kita.

Persoalannya, adakah perkara seperti ini wajar dibiarkan berlaku?

Andai ia tidak disekat dari sekarang, atau dalam erti yang lebih tepat dicegah dari sekarang, tidakkah ia boleh berubah menjadi sesuatu yang lebih buruk di masa hadapan.

Saya sangat bimbang jika perbuatan menyaman ini tidak dicegah hari ini, maka ia menjadi satu isyarat kononnya raja Melayu boleh dibawa ke mahkamah sesuka hati oleh sesiapa sahaja.

Takut nanti pasal benda-benda kecil pun hendak libatkan seorang raja atau sultan ke mahkamah. Ini sangat tidak elok.

Kuasa raja sudah pun terhad kini, dan jika mereka hendak diheret naik turun mahkamah, maka apa peranan raja-raja Melayu ini yang salah silah keturunan mereka menjadi nadi serta tonggak sejarah umat Melayu di atas muka bumi ini.

Apakah suatu hari nanti, selepas menyaman sultan dan raja menjadi perkara biasa, maka ada pula pihak yang akan berjuang untuk memastikan raja-raja Melayu tidak lagi wujud?

Kemungkinan seperti ini tidak boleh ditolak.

Jika mencegah lebih baik dari berubat, maka tindakan pertama untuk menyaman seorang raja itu perlu dihentikan segera.

Itu sahaja jawapannya pada pandangan saya. Jangan biarkan benih-benih derhaka berkembang di negara ini.

12 Februari 2009

Bagilah Tempoh Masa Sedikit

Sebelum bermula, elok kita menyedekahkan al-Fatihah kepada Allahyarham Roslan Shaharum, Ahli Parlimen Bukit Gantang yang meninggal dunia baru-baru akibat sakit jantung.

Walaupun berlainan parti, tetapi itu tidak penting, yang penting kita selaku orang Islam, perlu mendoakan antara satu sama lain.

Untuk entry kali ini, cuma satu perkara yang ingin saya tekankan, dan benda ini bukan hanya berlaku dalam kes arwah Roslan sahaja, tetapi kerap juga melibatkan Ahli Parlimen atau ADUN BN juga.

Perkara itu ialah adakalanya kita terlalu awal melonjak menyebut isu pilihan raya kecil dan siapa layak menjadi calon apabila penyandang sesuatu kerusi itu meninggal dunia.

Kadang-kala, meninggal pagi, belum pun tengah hari dah mula berbunyi perkara-perkara berhubung siapa layak menjadi penganti.

Ketika itu arwah mungkin baru hendak dikafankan dan belum pun sampai ke tanah perkuburan.

Tidak salah jika perkara itu kita hendak bincangkan, tetapi berilah sedikit ruang waktu sebelum ia mula dibangkitkan.

Janganlah kita terlalu terburu-buru mengungkit isu seperti itu apabila penyandang sesuatu jawatan meninggal dunia.

Saya ingin mencadangkan supaya kita semua mewujudkan satu bentuk persefahaman sendiri agar soal-soal berkaitan siapa ganti siapa atau pilihan raya kecil mula dibincangkan dua atau tiga hari selepas berlaku sesuatu kematian.

Berilah 'cooling-off period' sebelum ia hendak di bawa ke tengah.

Bukan apa, tidak manislah dan tidak eloklah kepada keluarga yang baru kehilangan seseorang untuk mendengar ada pihak yang seolah-olah tidak sabar-sabar mahu menggantikan saudara mereka yang telah meninggal dunia itu.

Atas dasar inilah maka mulai hari ini barulah saya mahu menyentuh sedikit mengenai Bukit Gantang.

Penulisan ini atas dasar keikhlasan dan ditujukan kepada semua pihak. Tidak berniat untuk menyindir sesiapa pun. Lagipun, suatu hari nanti kita semua akan pergi menghadapnya...Bayangkan jika orang memperlihatkan sikap yang sama kepada kita.....hanya bayangkan sahaja.

10 Februari 2009

YA ALLAH PANJANGKAN UMUR ANAKKU AMMAR

Alhamdulillah..hari ini nak kedua saya Ammarul Mubsyir (Ammar) genap usianya 11 tahun.Pagi tadi,sewaktu bangun tidur,saya terus mencari Ammar dikamarnya untuk mengucapkan selamat hari lahir.Tidak putus saya panjatkan kesyukuran kehadrat Allah Taala kerana masih memungkin Ammar terus menikmati kehidupan di dunia ini..setelah berjuang melawan penyakit leukimea yang dihidapinya sewaktu berusia 4 tahun.Tidak dapat saya lupakan bagaimana pedihnya saya sekeluarga menghadapi dugaan yang amat hebat ketika itu.Sementelah pula ketika itu Pilihanraya kecil Ketari..saya terpaksa berulang alik dari Bentong ke Kuantan setiap hari dalam melaksanakan tanggungjawab saya sebagai ibu dan juga sebagai Ketua Puteri UMNO Pahang.Tidak dapat juga saya lupakan bagaimana seminggu selepas Pilihanraya Ketari itu,Ammar dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi HUKM dan disahkan mengidap luekimia tahap dua.Malam sebelum rawatan chemotherapy dimulakan,perasaan keibuan yang sangat bersimpati dengan rengekan Ammar yang mahu bebas dari wayar yang menyelirati tubuhnya membuatkan saya melarikan Ammar kerumah abang di Cheras bagi memujuknya walaupun saya tahu tindakan saya itu sangat membahayakan nyawanya..namun saya tawakal dan pohon Allah merestui tindakan saya.Esoknya,saya dilecture doktor Hamidah pakar kanak-kanak yang merawat Ammar.Saya meraung apabila doktor meramalkan Ammar hanya akan hidup hingga usianya 17tahun itupun jika beliau sembuh setelah dichemo nanti.Saya pasrah.Mujur saya dan suami diberi ketabahan mengharungi dugaan.3 tahun berulangalik ke HUKM..Ammar disahkan sembuh pada usia 7 tahun.Memenuhi hajat Ammar sendiri,kami bawa Ammar menunaikan umrah pada tahun 2004.Tatkala menjejak kami diHijr Ismail untuk menunaikan solat sunat dihadapan Kaabah,hujan turn selebat-lebatnya...abang saya Ustaz Najmi yang mengiringi pemergian kami menyatakan itu pengalamannya yang pertama bertemu hujan di Kaabah walaupun telah 16kali mengerjakan umrah.Airmata syukur saya selebat hujan yang turun.Ammar saya peluk erat penuh keinsafan.kekuatan Ammar berjuang menentang sakit,terus menjadi inspirasi saya..sesungguhnya ketabahan Ammar memberi kekuatan kepada saya..Ya Allah,panjangkanlah umur anakku Ammar.dan moga Ammar jadi anak yang soleh dan insan yang berguna dan berjaya didunia dan akhirat..Amin.

09 Februari 2009

Karpal terus diabaikan

KUALA LUMPUR 9 Feb. - DAP akan terus menyokong pemimpin umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang, kata setiausaha agungnya Lim Guan Eng.

Beliau berkata Anwar akan kekal sebagai ketua Pakatan Rakyat (PR) seperti yang dipersetujui barisan kepimpinan pakatan itu.

“Beliau akan kekal demikian kerana tiada mana-mana pemimpin yang pernah mempersoalkan perkara ini pada mesyuarat dalaman, sama ada di peringkat tertinggi atau sebaliknya,” kata Lim dalam kenyataan di sini hari ini.


Nampaknya memang benarlah kata Karpal Singh bahawa pemimpin-pemimpin dalam DAP sendiri tidak mahu mendengar cakap beliau dan taksub dengan Anwar Ibrahim.

Sepatutnya Karpal memanggil para pemimpin di bawah beliau dan berbincang mengenai isu ini. Kalau semuanya gagal maka Karpal sepatutnya berundur atau bersara terus daripada DAP. Ini kerana, namapak sangat memalukan kerana beliau telah meluahkan perasaan secara terbuka tetapi luahan itu umpama tidak dipedulikan.

08 Februari 2009

Anwar diminta tidak lagi pimpim PR.

Apakah krisis yang lebih besar bakal menimpa PR apabila Karpal Singh hari ini (8/2/09) meminta Anwar Ibrahim tidak lagi memimpin pakatan itu?

Sepatutnya Anwar faham sendirilah dengan apa yang berlaku ini dan jangan bagi alasan yang bukan-bukan seperti beliau selalu buat.



(Malaysia-instinct.com)

Perkembangan terkini pasca-Perak menjadi semakin menarik apabila Pengerusi DAP, Karpal Singh telah meminta Anwar Ibrahim agar berhenti dari memimpin Pakatan Rakyat (PR).

Menurut Karpal, Anwar telah mewujudkan satu budaya yang tidak sihat iaitu melompat parti yang telah menjejaskan keharmonian PR.

Kenyataan beliau itu jelas mempunyai kaitan dengan insiden jatuhnya Perak kepada Barisan Nasional (BN) apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) keluar daripada kerajaan PR.

Selama ini Anwar begitu hebat mempertahankan prinsip pembentukan kerajaan melalui kaedah lompat parti dan apabila Perak jatuh akibat taktik yang sama, keadaan itu telah memalukan kepimpinan PR dan ditafsir ramai sebagai situasi senjata makan tuan.

Menurut laporan M-star Online, kenyataan Karpal itu merupakan kenyataan pertama seumpamanya sejak PR ditubuhkan April lalu.

"Beliau (Anwar) telah menyebabkan cukup masalah dan sudah tiba masa bagi Anwar bertaubat.

"Kini masa untuk Pakatan Rakyat memerlukan seorang lagi pemimpin," kata Karpal.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor menyatakan demikian pada satu sidang akhbar di Georgetown, Pulau Pinang sebentar tadi.

Karpal tidak menyatakan siapa pemimpin baru yang dimaksudkan itu.

Karpal menambah, anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP telah terperangkap dengan retorik Anwar yang menyokong perbuatan wakil rakyat melompat parti.

Kenyataan itu dikeluarkan dua hari selepas Barisan Nasional (BN) mengambil alih kepimpinan kerajaan negeri Perak yang sebelum ini diterajui Pakatan.

Pakatan kehilangan Perak selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka bertindak keluar.

Tiga daripada mereka kini bertindak sebagai wakil rakyat Bebas manakala seorang lagi iaitu ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang menyertai PKR, kembali ke Umno dalam tempoh tidak sampai 10 hari.

Pakatan Rakyat ditubuhkan April lalu selepas pilihan raya umum ke-12 Mac lalu dengan dianggotai DAP, PAS dan PKR dan Anwar telah dilantik sebagai Ketua Umum.

Kenyataan Karpal hari ini secara jelas memperlihatkan Anwar sudah semakin hilang kreadibiliti untuk memimpin PR. Kejatuhan imej Anwar sebenarnya bermula apabila beliau gagal membentuk kerajaan Persekutuan pada tarikh 16 September tahun lalu.

Kejatuhan mendadak Perak kepada BN menambahkan lagi kemusnahan ke atas imej lemah beliau.

Kegagalan Anwar mengawal keadaan atau melakukan damage control yang berkesan di Perak selapas ia jatuh ke tangan BN menyebabkan PR terumbang-ambing dan mula mengambil tindakan ekstremis termasuk mahu menyaman Sultan Perak.

Situasi itu menyebabkan rasa benci rakyat terutama masyarakat Melayu semakin menebal ke atas PR. Ramai penyokong PR sendiri walaupun marah dengan apa yang terjadi di Perak, tetapi nyata kurang senang jika nama mulia sultan dicemarkan.

PR juga tidak ada modal langsung untuk menjatuhkan imej BN di Perak kerana segala tindakan yang diambil BN adalah berdasarkan modus operandi dan kaedah yang diperjuangkan PR terutama sekali Anwar selama ini termasuk kaedah pembetukan kerajaan menggunakan kaedah lompat parti.

Kenyataan Karpal itu memperlihatkan usaha PR untuk menjaga kredibiliti mereka di mata raktyat tidak ranap sepenuhnya akibat mengikut telunjuk Anwar.

Anwar pula dalam keadaan ini sepatutnya merasa malu dengan apa yang sedang berlaku.

07 Februari 2009

Di mana saya tanpa rakyat

Bukan hendak membangga diri, apatah lagi hendak sombong atau meriak, tetapi saya sebenarnya sangat-sangat terharu dan gembira membaca komen dalam entry Datuk Nasaruddin..wira atau sebaliknya? oleh seorang penulis blog yang mengelar dirinya Rentaka.

Inilah sebahagian komen beliau...

YB Dato,

Terima kasih atas respon YB Dato' terhadap ulasan saya sebelum ini. YB Dato' memang seorang yang cepat respon terhadap sesuatu isu.

Melalui perbualan seharian dengan rakyat DUN Kuala Sentul, YB Dato' memang dikenali sebagai YB yang mudah didekati, mesra dan cepat respon. Malah ada ahli PR juga yang menyenangi sikap YB Dato'. Kami di akar umbi amat berharap sikap sebegini diteruskan terutamanya apabila YB Dato', jika diizin Allah, menjadi Ketua Puteri Malaysia.


Alhamdulillah... saya rasa komen penulis blog ini ikhlas. Terima Kasih.

Apa yang saya buat sebagai ADUN adalah kerana pengundi di kawasan saya memberikan saya amanah penting untuk dilaksanakan melalui pilihan raya umum yang lalu. Sebagaimana jika saudara melihat saya mudah untuk didekati, maka yakinlah saya juga seorang yang mudah untuk menerima teguran yang negatif juga selagi mana ia disampaikan menggunakan bahasa yang elok dan tepat. Saya tidak akan marah dan akan cuba bersikap terbuka serta berusaha memperbaiki apa yang kurang. Komen positif seperti di atas ini menambahkan lagi azam saya untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat. Sekali lagi, terima kasih.

Datuk Nasaruddin..wira atau sebaliknya?

Ada yang bertanya saya apakah pendirian saya berhubung Adun Bota, Datuk Nasaruddin.

Melihat kepada entry saya sebelum ini yang saya copy dari sebuah portal berita, mencerminkan pendirian saya ketika itu iaitu rasa benci dengan apa yang beliau lakukan.

Namun, tidakkah semua yang sayangkan UMNO memperlihatkan sikap yang sama seperti ketika itu? Bukankah kita semua marah dengan Datuk Nasaruddin semasa beliau melompat parti?

Namun, adakah hari ini kita masih boleh menyimpan perasaan yang sama terhadap beliau?

Siapa diantara yang ada di sini, yakni pembaca sekalian yang boleh memberitahu atau menyatakan dengan penuh keyakinan bahawa tindakan Nasruddin ketika itu adalah kerana beliau memang sudah membenci UMNO.

Melihat senario hari ini, mungkinkah tindakan Nasaruddin itu satu strategi BN atau mungkin satu kebetulan. Dengan ikhlas saya katakan saya pun tidak tahu mana yang benar.

Namun, kejayaan BN mengambil kembali Perak sedikit-sebanyak memang dibantu Datuk Nasaruddin apabila beliau sudi kembali ke UMNO. Dan tindakan beliau ketika mula melompat ke Pakatan Rakyat (PR) yang disambut hebat pemimpin pembangkang, menjadi satu kelebihan kepada BN akhirnya.

Apabila ada di kalangan pemimpin PR yang melompat keluar dan menjadi calon bebas serta menyatakan sokongan kepada BN, para pemimpin tertinggi PR yang lain seolah-oleh terkunci mulut mereka.

Kalau masa Datuk Nasaruddin mula-mula menyertai PR, tindakan lompat parti disifatkan perbuatan demokrasi oleh pemimpin pembangkang.

Jadi bila ada yang lain buat perkara yang sama, maka tidak ada salahnya kan?

Kedudukan Datuk Nasaruddin kini sukar untuk dinilai. Jika tindakan beliau itu sememangnya satu taktik politik, maka beliau sebenarnya telah menjadi wira UMNO. Jika ada motivasi lain pun, kita terpaksa menelannya dan melihat itu sebagai langkah taktikal yang perlu untuk BN mendapatkan kembali kuasa di Perak.

Politik adakalanya satu permainan akal yang memerlukan kita menelan sesuatu yang pahit dan mengambil kesempatan dari sesuatu situasi agar dapat terus berkembang.

Ia umpama permainan catur, ada buah perlu dikorbankan, ada buah yang perlu dipertahankan tetapi objektif akhir adalah kemenangan keseluruhan yang mesti dicapai.

04 Februari 2009

Ini Punca Pembangkang Takutkan Najib...

(Malaysia-instinct.com)

"Datuk Seri Najib telah membuktikan kemampuannya...." menurut Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang diterima penulis.

Sukar untuk menafikan kenyataan itu, kerana hakikatnya selepas enam hari dilantik sebagai pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, sekaligus Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Timbalan Perdana Menteri berupaya menawan semula Perak yang terlepas kepada pakatan DAP, PAS dan Parti keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya umum 8 Mac 2008.

Dan inilah yang ditakuti pembangkang, anak sulung Tun Abdul Razak itu yang bakal mengambil alih kepimpinan negara daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam tempoh kurang dua bulan sahaja lagi, membuktikan beliau mampu menawan semula hati rakyat selepas negara dilanda 'tsunami politik'.

Kemampuan dan keupayaan najib menambat hati rakyat, menyebabkan pembangkang tanpa berselindung dan segan silu menyuarakan harapan agar Pak Lah terus menerajui negara dan tidak melepaskan kepada Najib.

Tidak pernah ada dalam sejarah pembangkang menyokong Perdana Menteri, tetapi inilah yang berlaku pada hari ini.

Sudah menjadi 'rahsia terbuka' yang diketahui semua orang, pembangkang menyaksikan bagaimana UMNO dan BN mampu ditawan ketika di zaman Pak Lah.

Mungkin mereka menganggap peluang 'keemasan' untuk memastikan pakatan pembangkang memperoleh kemenangan terbuka luas pada pilihan raya umum ke-13 sekiranya UMNO dan BN terus diketuai Pak Lah.

Oleh itu, tidak hairan pembangkang dengan dibantu portal-portal berita dan penulis blog yang sehaluan dengan mereka, secara terbuka melepaskan 'peluru' ke arah Najib.

Namun hari ini Najib berjaya membuktikannya, sebuah negeri berjaya ditawan, meninggalkan Anwar Ibrahim dengan mimpi 16 September yang tidak pernah padam.

Mungkin kalau tidak empat negeri, memadai dua atau tiga sahaja bakal 'digenggam' Najib selepas mengambil alih tampuk pemerintahan nefara Mac ini? Hanya takdir menentukan.

Hari ini BN memperoleh majoriti mudah untuk mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri Perak ekoran tindakan empat Anggota Dewan Undangan Negeri daripada Pakatan Rakyat meninggalkan parti masing-masing untuk menyokong BN.

Empat wakil rakyat itu terdiri ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan ADUN Changkat Jering, Mohd Osman Jailu, kedua-dua daripada Parti Keadilan Rakyat, ADUN Jelapang, Hee Yit Foong daripada DAP, dan ADUN Bota Datuk Nasaruddin Hashim yang baru-baru ini menyertai PKR tetapi kembali semula kepada UMNO.

"ADUN Behrang, Changkat Jering dan Jelapang telah maklumkan melalui surat kepada Sultan Perak mengenai tindakan mereka keluar dari parti masing-masing semalam manakala ADUN Bota kembali kepada UMNO hari ini.

"Mereka telah beri mandat kepada saya untuk mencalonkan Menteri Besar dan memberi akujanji untuk menyokong Menteri Besar yang dicalonkan oleh BN," kata Najib, yang juga Pengerusi BN Perak, pada sidang akhbar hari ini.

Berikutan perkembangan terkini, BN kini mempunyai 28 kerusi, Pakatan Rakyat juga 28 kerusi dan Bebas tiga kerusi, dan menurut Najib, walaupun BN mempunyai bilangan kerusi DUN sama banyak dengan Pakatan Rakyat tetapi BN boleh menubuhkan kerajaan negeri kerana ketiga-tiga wakil raktyat Bebas itu telah menyatakan sokongan kepada BN termasuk dalam soal pelantikan Menteri Besar daripada kalangan anggota BN.

"Sejajar dengan perkembangan ini, saya akan menghadap ke bawah Duli Paduka Seri Sultan Perak untuk memaklumkan secara rasmi bahawa Barisan Nasional Perak mempunyai sokongan yang diperlukan bagi menubuhkan kerajaan baru di Perak," katanya.

Najib akan menghadap Sultan Azlan Shah secepat mungkin dan nama calon Menteri Besar akan diumumkan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, Fasal 16 Undang-undang Tubuh Negeri Perak memperuntukkan jika Menteri Besar hilang keyakinan atau majoriti, beliau hendaklah meletak jawatan bersama anggota exconya.

Najib berkata keempat-empat wakil rakyat itu telah memaklumkan kepada Speaker DUN Perak selain Presiden PKR dan Setiausaha Agung DAP hari ini bahawa mereka tidak lagi menjadi ahli parti berkenaan.

Pada sidang akhbar yang turut dihadiri keempat-empat wakil rakyat berkenaan, Najib berkata ketiga-tiga ADUN Bebas itu akan menjadi "anggota Bebas sahabat BN".

Mengenai tindakan Mohd. Nizar mengumumkan pembubaran DUN hari ini tanpa terlebih dahulu mendapat perkenan Sultan Azlan Shah, Najib berkata, hanya Sultan Perak yang boleh memperkenankan pembubaran DUN.

Najib menyifatkan perkembangan terkini sebagai bermulanya era baru di Perak.

Bagi Najib, keempat-empat wakil rakyat itu membuat keputusan berdasarkan kerelaan masing-masing tanpa habuan atau sogokan manakala kes rasuah membabitkan ADUN Behrang dan Changkat Jering, merupakan isu yang berbeza.

Apa pun, biarlah tempoh hampir 11 bulan Perak berada di bawah kerajaan campuran pakatan ketiga-tiga negeri itu menjadi lipatan sejarah.

Sebaliknya UMNO dan BN Perak perlu berusaha memastikan hati rakyat tidak lagi beralih arah tetapi terpikat dengan kesungguhan mentadbir kerajaan.

Selama 11 bulan pakatan ketiga-tiga parti mentadbir dengan Menteri Besar, Datuk Seri Mohd. Nizar Jamaluddin yang hanya layak diistilahkan sebagai 'kuda tunggangan' kepada DAP, terlalu banyak permasalah yang menyinggung dan menyakiti hati orang Melayu di Perak.

BN Berkuasa Semula Di Perak, Kerajaan Pakatan Tumbang

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berkata Barisan Nasional(BN) Perak kini mempunyai majoriti untuk menubuhkan kerajaan apabila tiga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan seorang Adun dari DAP mengumumkan keluar parti.

Hampir Pasti Kerajaan Baru Perak Petang Ini

Kerajaan baru Perak hampir pasti... Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak sah telah meninggalkan parti masing-masing, meletakkan kerajaan campuran negeri Perak kini ibarat telur di hujung tanduk.

ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi; ADUN Changkat Jering, Osman Jailu dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan ADUN Jelapang Hee Yit Foong yang juga Timbalan Speaker DUN Perak hari ini telah menyerahkan surat kepada parti masing-masing memaklumkan keputusan keluar parti.

Agendadaily yang mendapat salinan surat ketiga-tiga ADUN berkenaan daripada sumber dalaman PKR dan DAP, mengesahkan surat berkenaan telah diterima oleh parti masing-masing berdasarkan cop tanda terima PKR dan DAP pada surat berkenaan.

Dalam surat tersebut ketiga-tiga mereka menjelaskan telah hilang kepercayaan kepada parti masing-masing dan keluar dari parti yang diwakili. Namun surat itu menegaskan, perisytiharan keluar parti itu tidak bermakna mereka meletakkan jawatan sebagai ADUN.

“Sila ambil maklum bahawa perisytiharan saya keluar parti/tidak lagi menjadi ahli DAP tidak bermaksud saya meletakan jawatan selaku Ahli Dewan Undangan Negeri dan apa jua notis perletakan jawatan sebagai Ahli Dewan Negeri yang ditandatangani secara “undated” dan tidak cop rasmi saya adalah dengan ini terbatal secara ab initio,” demikian tegas Yit Foong dalam suratnya yang dialamatkan kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guang Eng.

Begitu juga kandungan surat Jamaluddin dan Osman yang ditujukan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Difahamkan surat tersebut telah sampai kepada pengetahuan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

Ekoran itu Nizar dijadual membuat sidang media jam 1 petang yang dikatakan akan membuat pengumuman pembubuaran DUN Perak tetapi telah ditangguhkan.

Difahamkan pihak Istana Perak telah dimaklumkan mengenai perkembangan yang berlaku dan ketiga-tiga ADUN berkenaan telah mengutuskan surat kepada pihak Istana menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan yang baru.

Perkembangan lanjut mengenai kemelut politik Perak akan dilaporkan dari semasa ke semasa. - Agendadaliy

Datuk Nasarudin Hashim kembali?

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasarudin Hashim disebut-sebut akan kembali menyertai UMNO semula setelah meninggalkan parti itu, Isnin minggu lepas.

Menurut sumber, pengumuman rasmi mengenai kemasukkan Nasarudin itu akan dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi sidang akhbar khas di Pejabat Timbalan Perdana Menteri, pukul 4 petang ini.

Sidang akhbar itu juga dipercayai ada kaitan dengan perkembangan terbaru pergolakan politik di Perak.

Nasarudin yang juga bekas Ahli Parlimen Parit dan bekas Pengerusi Felcra, mengumumkan meninggalkan UMNO dan menyertai Parti Keadilan Rakyat, 10 hari lalu.

Isu Tabika Kemas, Zionis Melayu Malaysia

Mengapa bangsa Melayu dalam kerasukan berpolitik, sanggup berjudi dengan masa depan anak-anak? Tidak kiralah politik UMNO atau pembangkang, saya dengan setegas-tegasnya menolak jika ada mana-mana pihak yang memperjudikan masa depan anak-anak kita dalam pendidikan.

Kalau pembangkang buat perkara seperti ini, saya harap tidak ada di pihak kerajaan yang mahu membalas dendam untuk mengenakan kembali pembangkang dalam aspek pendidikan.

Kita tinggalkanlah pendidikan itu diam-diam. Sepatutnya kita berusaha untuk membantu menambah baikkan lagi pendidikan anak-anak kita. Kalau kita juara berpolitik sekarang, tetapi pada masa hadapan anak bangsa kita ketinggalan, tidak bijak, tidak ada profesional Melayu di negara ini, maka ketika itu apa gunanya kita berpolitik?

Dan saya sangat sayu melihat gambar anak-anak yang sakit di Pulau Pinang kerana belajar di bawah terik matahari dalam sebuah akhbar hari ini. Udah lah tu, kita carilah cara lain untuk perang politik, jangan libatkan anak-anak kita dalam hal ini ok. Menang kalah dalam politik kita kira kemudian hari, namun yang penting untuk hari ini dan akan datang ialah, biarlah anak-anak kita belajar mengenal A, B, C dulu.


Bacalah juga rencana di bawah ini.

Oleh Zaini Hassan

SEORANG pembaca menghantar SMS kepada saya dengan bunyinya: ''Tabika dirantai, dimangga bukti kekejaman Zionis…" Yang ini bukan Zionis Israel, tapi Zionis Melayu Malaysia.

Hanya mereka yang mempunyai pemikiran yang cetek, secetek-ceteknya sahaja yang sanggup melakukannya. Setakat ini, mengikut rekod, hanya orang Melayu sahaja 'sanggup' berbuat begitu. Sebelum ini, semasa Pas memerintah Terengganu, kisah-kisah ini bukan asing lagi. Tabika-tabika milik Kemas ditutup di sana-sini. Kanak-kanak yang tidak mengenali erti 'kehidupan' terpinga-pinga. Semangat wajah-wajah kecil itu yang bangun pagi untuk menimba ilmu ABC, Alif, Ba, Ta - luntur. Tidak perlulah bercakap mengenai politik, kanak-kanak itu tidak mengerti apa-apa pun mengenainya.

Kini, kisah itu kedengaran di Pulau Pinang pula, negeri yang dikuasai DAP dan PKR.

Persoalannya mengapa sampai begitu sekali tahap tindakan mereka? Mengunci dan memangga tabika itu tanpa ada perasaan langsung. Jangan diganggulah institusi pengajaran dan pembelajaran sebegitu. Tiada dalam rekod (sepanjang yang kita tahu) tabika-tabika milik parti Pas (dikenali sebagai Pasti) yang ditutup oleh kerajaan memerintah ataupun oleh JKKK di kampung-kampung.

Kita tidak pasti dan kurang faham mengapa orang yang 'tergamak' menutup tabika-tabika itu mempunyai perasaan sebegitu. Apakah mereka merasakan kanak-kanak itu mahu diindoktrinasi atau dicuci pemikiran mereka oleh kerajaan? Ataupun, pihak-pihak yang tergamak menutup tabika itu hanya mahukan premis-premis bangunan itu untuk aktiviti mereka? Atau, mereka hanya mahu menunjuk kuasa? Seboleh-bolehnya kita mahu bersangka baik dengan tindakan itu, tapi malangnya kita masih kurang faham.

Kes seperti ini tidak boleh sama sekali dianggap sebagai kes terpencil. Ia bukan kes terpencil, tapi kes yang terlalu besar untuk difikirkan. Mengapa hanya orang Melayu sahaja yang 'tergamak' melakukan tindakan bodoh seperti itu?

Masyarakat Cina, waima apa sekalipun fahaman politik, soal pendidikan ialah perkara nombor satu mereka. Tiada kompromi dalam soal itu. Mereka kini, tanpa memilih bulu, sedang melancarkan kempen mengutip dana RM2 juta bagi membiayai pendidikan Cina di seluruh negara. Kain-kain rentang, poster-poster kempen, The Dragon Mission 2009 diletakkan merata-rata tempat, dengan ditaja oleh sebuah syarikat arak.

Masyarakat mereka sanggup bersatu untuk satu tujuan iaitu: Pendidikan dan Pelajaran, selain soal Budaya, Perniagaan dan Bahasa mereka.

Kita juga hairan, apabila timbulnya isu-isu penutupan tabika seperti ini misalnya, NGO-NGO yang sering bercakap mengenai soal hak asasi manusia senyap sunyi. Persatuan mahasiswa, persatuan mahasiswa Islam yang kononnya, berhaluan kiri di universiti-universiti juga senyap sunyi. Tiada kutukan yang dilemparkan oleh mereka terhadap perbuatan 'tidak bertamadun' seperti itu.

Persoalannya, ramai daripada mahasiswa ini yang kadang-kadang tanpa berselindung menyokong parti pembangkang tidak pula pernah diberi tekanan oleh kerajaan memerintah. Malah mereka menikmati PTPTN lagi dan berupaya menamatkan pengajian dengan ijazah.

Wahai Melayu yang menutup tabika-tabika seperti itu. Bukalah minda anda. Ingatlah apakah perbuatan anda itu bermanfaat untuk bangsa anda yang miskin ini.

Kes di Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau itu lebih klasik kerana rata-rata orang Melayu di situ ialah nelayan yang miskin-miskin belaka. Hanya tabika itulah yang termampu oleh mereka untuk menghantar anak-anak memperoleh pendidikan asas. Untuk rekod lagi, perbuatan mengunci dan memangga tabika itu bukan pertama kali dilakukan. Hanya kali ini ia dihebahkan kepada media.

Di masa kaum-kaum lain sedang merebut pelbagai peluang untuk memajukan diri mereka - bangsa mereka, orang Melayu berfikiran kebelakang. Sering kali, kita terlalu taksub dengan sesuatu perkara sehingga menyebabkan perasaan menguasai kewarasan.

Ingatlah, orang Melayu bukanlah satu bangsa yang kuat (lagi) di negara ini. Bila-bila masa mereka boleh ditundukkan. Apabila kuasa (yang sedikit ini) sudah tiada lagi di tangan mereka, maka pada hari itu sudah tidak berguna lagi. Kita akan melukut di tepi gantang. - Utusan Malaysia

02 Februari 2009

Perak semakin menarik

Saya melihat perkembangan terbaru di Perak ini sangat menarik. Mungkin perkembangan politik paling menarik untuk tahun 2009 setakat ini.

Perkara yang menjadi persoalan kini ialah apakah kedudukan sebenar Kapten (B) Mohd. Osman Jailu (ADUN Changkat) dan Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang).

PKR mendakwa mereka telah gugur sebagai ADUN di kawasan masing-masing berdasarkan surat akujanji parti yang ditandatangani Mac lalu. Kedua ADUN itu pula menolak kesahihan surat itu.

Setakat ini jika mengikut akta di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya, melompat parti dibenarkan. Dan sudah tentu akta SPR lebih kuat dan melebihi surat akujanji PKR.

Jika kedua calon itu sah memasuki BN, maka kerusi BN akan menjadi 29 dan Pakatan Rakyat 30. Benar-benar telur dihujung tanduk untuk PR di Perak.

Ada kemungkinan pula Timbalan Speaker Perak, Hee Yit Fong juga akan melompat ke BN. Tidak boleh ditolak kemungkinan ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim pun akan kembali.

Senario ini memperlihatkan BN akan kembali berkuasa di negeri itu.

Namun, saya rasa ada kemungkinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin akan mengambil tindakan membubarkan DUN di Perak bagi membolehkan pilihan raya kecil seluruh negeri itu diadakan.

Mungkin mereka tidak akan memberikan kembali Perak kepada BN dengan mudah.

PR Perak pasti mahukan rakyat negeri itu memilih kembali kerajaan pilihan mereka.

Apa pun, perkembangan di Perak memang amat seronok untuk diikuti dan saya berdoa BN akan kembali berkuasa. Insya-Allah.