12 Februari 2009

Bagilah Tempoh Masa Sedikit

Sebelum bermula, elok kita menyedekahkan al-Fatihah kepada Allahyarham Roslan Shaharum, Ahli Parlimen Bukit Gantang yang meninggal dunia baru-baru akibat sakit jantung.

Walaupun berlainan parti, tetapi itu tidak penting, yang penting kita selaku orang Islam, perlu mendoakan antara satu sama lain.

Untuk entry kali ini, cuma satu perkara yang ingin saya tekankan, dan benda ini bukan hanya berlaku dalam kes arwah Roslan sahaja, tetapi kerap juga melibatkan Ahli Parlimen atau ADUN BN juga.

Perkara itu ialah adakalanya kita terlalu awal melonjak menyebut isu pilihan raya kecil dan siapa layak menjadi calon apabila penyandang sesuatu kerusi itu meninggal dunia.

Kadang-kala, meninggal pagi, belum pun tengah hari dah mula berbunyi perkara-perkara berhubung siapa layak menjadi penganti.

Ketika itu arwah mungkin baru hendak dikafankan dan belum pun sampai ke tanah perkuburan.

Tidak salah jika perkara itu kita hendak bincangkan, tetapi berilah sedikit ruang waktu sebelum ia mula dibangkitkan.

Janganlah kita terlalu terburu-buru mengungkit isu seperti itu apabila penyandang sesuatu jawatan meninggal dunia.

Saya ingin mencadangkan supaya kita semua mewujudkan satu bentuk persefahaman sendiri agar soal-soal berkaitan siapa ganti siapa atau pilihan raya kecil mula dibincangkan dua atau tiga hari selepas berlaku sesuatu kematian.

Berilah 'cooling-off period' sebelum ia hendak di bawa ke tengah.

Bukan apa, tidak manislah dan tidak eloklah kepada keluarga yang baru kehilangan seseorang untuk mendengar ada pihak yang seolah-olah tidak sabar-sabar mahu menggantikan saudara mereka yang telah meninggal dunia itu.

Atas dasar inilah maka mulai hari ini barulah saya mahu menyentuh sedikit mengenai Bukit Gantang.

Penulisan ini atas dasar keikhlasan dan ditujukan kepada semua pihak. Tidak berniat untuk menyindir sesiapa pun. Lagipun, suatu hari nanti kita semua akan pergi menghadapnya...Bayangkan jika orang memperlihatkan sikap yang sama kepada kita.....hanya bayangkan sahaja.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam Yb Dato...

umpama...

isteri mati pagi...kubur masih merah....petang dah dapat ganti..

Tanpa Nama berkata...

YB Dato'.
Sooner or later pengganti perlu juga disebut, lagipun hidup ni perlu diteruskan juga... Begitu lah kehidupan kita ini... Cuma pandai-pandailah bawa diri jangan sampai mengguriskan hati orang lain, kan.kan...

Dunia yang diciptakan Tuhan cukup sempurna, YB Dato' sebagai orang perempuan memang lembut dan cukup berhati-hati dan banyak fikirnya tapi kami orang lelaki ni memang gelojoh dan terburu-buru.. hehehe..