Mengapa bangsa Melayu dalam kerasukan berpolitik, sanggup berjudi dengan masa depan anak-anak? Tidak kiralah politik UMNO atau pembangkang, saya dengan setegas-tegasnya menolak jika ada mana-mana pihak yang memperjudikan masa depan anak-anak kita dalam pendidikan.
Kalau pembangkang buat perkara seperti ini, saya harap tidak ada di pihak kerajaan yang mahu membalas dendam untuk mengenakan kembali pembangkang dalam aspek pendidikan.
Kita tinggalkanlah pendidikan itu diam-diam. Sepatutnya kita berusaha untuk membantu menambah baikkan lagi pendidikan anak-anak kita. Kalau kita juara berpolitik sekarang, tetapi pada masa hadapan anak bangsa kita ketinggalan, tidak bijak, tidak ada profesional Melayu di negara ini, maka ketika itu apa gunanya kita berpolitik?
Dan saya sangat sayu melihat gambar anak-anak yang sakit di Pulau Pinang kerana belajar di bawah terik matahari dalam sebuah akhbar hari ini. Udah lah tu, kita carilah cara lain untuk perang politik, jangan libatkan anak-anak kita dalam hal ini ok. Menang kalah dalam politik kita kira kemudian hari, namun yang penting untuk hari ini dan akan datang ialah, biarlah anak-anak kita belajar mengenal A, B, C dulu.
Bacalah juga rencana di bawah ini.
Oleh Zaini Hassan
SEORANG pembaca menghantar SMS kepada saya dengan bunyinya: ''Tabika dirantai, dimangga bukti kekejaman Zionis…" Yang ini bukan Zionis Israel, tapi Zionis Melayu Malaysia.
Hanya mereka yang mempunyai pemikiran yang cetek, secetek-ceteknya sahaja yang sanggup melakukannya. Setakat ini, mengikut rekod, hanya orang Melayu sahaja 'sanggup' berbuat begitu. Sebelum ini, semasa Pas memerintah Terengganu, kisah-kisah ini bukan asing lagi. Tabika-tabika milik Kemas ditutup di sana-sini. Kanak-kanak yang tidak mengenali erti 'kehidupan' terpinga-pinga. Semangat wajah-wajah kecil itu yang bangun pagi untuk menimba ilmu ABC, Alif, Ba, Ta - luntur. Tidak perlulah bercakap mengenai politik, kanak-kanak itu tidak mengerti apa-apa pun mengenainya.
Kini, kisah itu kedengaran di Pulau Pinang pula, negeri yang dikuasai DAP dan PKR.
Persoalannya mengapa sampai begitu sekali tahap tindakan mereka? Mengunci dan memangga tabika itu tanpa ada perasaan langsung. Jangan diganggulah institusi pengajaran dan pembelajaran sebegitu. Tiada dalam rekod (sepanjang yang kita tahu) tabika-tabika milik parti Pas (dikenali sebagai Pasti) yang ditutup oleh kerajaan memerintah ataupun oleh JKKK di kampung-kampung.
Kita tidak pasti dan kurang faham mengapa orang yang 'tergamak' menutup tabika-tabika itu mempunyai perasaan sebegitu. Apakah mereka merasakan kanak-kanak itu mahu diindoktrinasi atau dicuci pemikiran mereka oleh kerajaan? Ataupun, pihak-pihak yang tergamak menutup tabika itu hanya mahukan premis-premis bangunan itu untuk aktiviti mereka? Atau, mereka hanya mahu menunjuk kuasa? Seboleh-bolehnya kita mahu bersangka baik dengan tindakan itu, tapi malangnya kita masih kurang faham.
Kes seperti ini tidak boleh sama sekali dianggap sebagai kes terpencil. Ia bukan kes terpencil, tapi kes yang terlalu besar untuk difikirkan. Mengapa hanya orang Melayu sahaja yang 'tergamak' melakukan tindakan bodoh seperti itu?
Masyarakat Cina, waima apa sekalipun fahaman politik, soal pendidikan ialah perkara nombor satu mereka. Tiada kompromi dalam soal itu. Mereka kini, tanpa memilih bulu, sedang melancarkan kempen mengutip dana RM2 juta bagi membiayai pendidikan Cina di seluruh negara. Kain-kain rentang, poster-poster kempen, The Dragon Mission 2009 diletakkan merata-rata tempat, dengan ditaja oleh sebuah syarikat arak.
Masyarakat mereka sanggup bersatu untuk satu tujuan iaitu: Pendidikan dan Pelajaran, selain soal Budaya, Perniagaan dan Bahasa mereka.
Kita juga hairan, apabila timbulnya isu-isu penutupan tabika seperti ini misalnya, NGO-NGO yang sering bercakap mengenai soal hak asasi manusia senyap sunyi. Persatuan mahasiswa, persatuan mahasiswa Islam yang kononnya, berhaluan kiri di universiti-universiti juga senyap sunyi. Tiada kutukan yang dilemparkan oleh mereka terhadap perbuatan 'tidak bertamadun' seperti itu.
Persoalannya, ramai daripada mahasiswa ini yang kadang-kadang tanpa berselindung menyokong parti pembangkang tidak pula pernah diberi tekanan oleh kerajaan memerintah. Malah mereka menikmati PTPTN lagi dan berupaya menamatkan pengajian dengan ijazah.
Wahai Melayu yang menutup tabika-tabika seperti itu. Bukalah minda anda. Ingatlah apakah perbuatan anda itu bermanfaat untuk bangsa anda yang miskin ini.
Kes di Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau itu lebih klasik kerana rata-rata orang Melayu di situ ialah nelayan yang miskin-miskin belaka. Hanya tabika itulah yang termampu oleh mereka untuk menghantar anak-anak memperoleh pendidikan asas. Untuk rekod lagi, perbuatan mengunci dan memangga tabika itu bukan pertama kali dilakukan. Hanya kali ini ia dihebahkan kepada media.
Di masa kaum-kaum lain sedang merebut pelbagai peluang untuk memajukan diri mereka - bangsa mereka, orang Melayu berfikiran kebelakang. Sering kali, kita terlalu taksub dengan sesuatu perkara sehingga menyebabkan perasaan menguasai kewarasan.
Ingatlah, orang Melayu bukanlah satu bangsa yang kuat (lagi) di negara ini. Bila-bila masa mereka boleh ditundukkan. Apabila kuasa (yang sedikit ini) sudah tiada lagi di tangan mereka, maka pada hari itu sudah tidak berguna lagi. Kita akan melukut di tepi gantang. - Utusan Malaysia
1 ulasan:
Itulah bagusnya bangsa Melayu kita ni,, kalau bergaduh sama sendiri cukup pandai..Tak kisahlah walaupun apa terjadi waima kanak-kanak jadi mangsa.. Memang melayu ni tak pernah belajar dari sejarah... Tepat sekali, Melayu mudah lupa kata TDM
Catat Ulasan