29 Januari 2009

Mengapa saya tidak bersetuju Puteri UMNO dibubarkan?



Tidak ada angin, tidak ada pokok bergoyang, tiba-tiba timbul cadangan agar Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO serta Biro Putera dimansuhkan kerana membawa kepada permasalahan politik wang?

Bagaimana dalam Putera yang tidak ada sebarang proses pemilihan boleh berlaku politik wang?Apakah pula rasional untuk Puteri UMNO dimansuhkan?
Dan bagaimana kewujudan Puteri menyumbang kepada politik wang?

Adakah ahli-ahli Puteri terlalu muda dan mereka tidak sepatutnya berpolitik dan sebaliknya hanya menumpukan kepada pelajaran semata-mata?

Atau politik hanya untuk golongan yang sudah berumur? Tidakkah ini merendahkan tahap pemikiran dan kemampuan ahli-ahli Puteri.

Ramai ahli poltik dan ahli Puteri hari ini adalah golongan muda profesional, i.e. mempunyai kelulusan akademik yang tinggi.

Mereka mula meminati politik mungkin sejak zaman persekolahan lagi. Jadi tidak timbul la persoalan hanya perlu menumpukan perhatian kepada pelajaran semata-mata dan harus berada jauh dari politik.

Ramai yang berjaya dalam pelajaran walaupun bergelumang dengan politik.Berpolitik bukan sesuatu yang bersifat mandatori, ia adalah pilihan. Ramai yang memilih untuk berpolitik dan meneruskan pelajaran dan akhirnya berjaya.

Pada hemat saya, jika seseorang itu terkandas dalam pelajaran kerana terlalu aktif berpolitk, maka individu itu adalah seorang yang memang tidak pandai merancang hala tuju hidupnya dan mungkin akan tetap gagal dalam pelajaran walaupun tidak aktif berpolitik.

Soal politik wang pula, rasanya Puteri paling sedikit dikatakan terbabit dalam isu politik wang. Selama ini isu itu banyak dilihat berkaitan dengan pemilihan di peringkat bahagian atau Majlis Tertinggi.

Bila wujud persoalan Puteri perlu dibubarkan kerana politik wang, ia memberikan gambaran seolah-olah akar umbi segala permasalahan politik wang dalam UMNO adalah oleh Pergerakan Puteri.

Tidakkan ini boleh ditafsir sebagai cuba melarikan diri daripada isu yang sebenar? Memindahkan kesalahan ke bahu orang lain?

Selama ini juga kita diajar bahawa pengkhususan adalah satu kaedah terbaik untuk memajukan perniagaan atau menyelesaikan sesuatu masalah.

Melalui kaedah pengkhususan, maka sesuatu aspek atau perkara itu boleh diberikan penumpuan yang sepenuhnya. Ia memahirkan dan memperkayakan pengalaman dalam sesuatu perkara itu.

Justeru, tidakkah kita melihat kewujudan Puteri dan Putera atau Wanita dan Pemuda adalah satu bentuk pengkhususan.

Tidakah ini menjadikan UMNO secara tidak langsung peka dan mewujudkan satu bentuk mekanisme yang membolehkannya memberikan penumpuan kepada semua lapisan dan segmen ahli dalam parti.

UMNO mewujudkan pengkhususan bagi memastikkan semua lapisan ahli diwakili secara saksama. Tidak ada mana-mana kelompok yang tertinggal.

Melalui pengkhususan ini, program-program atau pendekatan yang bersesuaian dengan usia dan kehendak jiwa setiap kelompok ahli dapat dilakukan dengan lebih menyeluruh serta lebih kerap.

Mana yang lebih baik, bergerak dan memberikan perhatian dengan kaedah pengkhususan atau secara longgok.

Dan tidakkah kewujudan Putera dan Puteri juga secara tidak langsung memberikan penghormatan dan mewujudkan platform yang kukuh kepada golongan belia di negara ini.

Bukankah ini antara kaedah terbaik untuk mengetengahkan kedudukan serta bakat-bakat belia. Jika ini pun dirampas, semakin kecil platform belia di negara ini.

Apa pun, Puteri UMNO hari ini mewakili golongan muda yang benar-benar yakin dengan perjuangan UMNO.Puteri UMNO bukan budak hingusan yang tidak matang dalam berpolitik.

Aspirasi dan suara orang muda yang diwakili Puteri telah memberi impak serta satu fenomena baru kepada politik tanah air.

Membubarkan Puteri UMNO bukanlah cara untuk membanteras politik wang malah ia akan menjauhkan lagi golongan muda dari bersama-sama dalam perjuangan UMNO.

Puteri harus terus diberi semangat dan kepercayaan oleh pucuk pimpinan dan bukannya dimansuhkan setelah kami membuktikan komitmen kami kepada parti sejak dari awal penubuhan lagi.

Kami mahu bertindak selaku pelapis kepimpinan kepada parti UMNO ini.

Mungkin Pengerusi Lembaga Disiplin serius mahu melihat pembubaran ini, mungkin juga beliau hanya mahu mengingatkan para generasi muda agar menjauhkan diri daripada politik wang.

26 Januari 2009

Kong Hee Fat Choy:Moga Perpaduan Terus Menjadi Teras Keamanan Malaysia

Hari ini rakan-rakan berbangsa Cina menyambut Tahun Baru Cina.Tahun ini tahun Lembu yang menurut seorang rakan saya,tahun Ong. Harap-harapnya begitulah.Saya tidak melepaskan peluang berkunjung ke rumah pemimpin masyarakat Cina dalam kawasan saya.Rumah pertama yang saya kunjungi ialah rumah Ketua Kg Sungai Jerik.Seluruh anggota keluarga Tok Empat Lim berpakaian serba merah.Sungguh meriah sekali tetapi saya lihat mereka lebih besederhana dalam persiapan menyambut Tahun Baru. Yang menarik perhatian saya ialah frame-frame gambar yang memenuhi dinding. Beberapa keratan akhbar berbahasa cina yang saya fahami adalah ucapan tahniah kepada Mr Lim kerana dianugerahkan PJK beberapa tahun lalu.Begitu sekali beliau menghargai pingat yang pada sesetengah orang hanya pingat kecil yang tidak perlu diwar-warkan penerimaannya.

Sewaktu saya mula-mula jadi wakil rakyat,Tok Empat Lim pada saya seorang yang agak sukar difahami.Saya selalu bertengkar kecil dengan beliau tentang pembangunan di kg Sg Jerik.Tetapi sekarang,kami saling memahami dan menghormati.Bagi saya yang paling penting ialah perpaduan antara kaum yang tinggal di Sg Jerik.Kalau dulu,saya geram kerana kemudahan untuk orang Melayu yang merupakan minoriti sangat kurang,tetapi alhamdulillah kini hasil dari kerjasama tok empat dan saya,surau kg sg jerik sedang dalam proses pembesaran.

Rumah Ketua Wanita dan Ketua Pemuda MCA juga saya kunjungi..tiada menjadi masalah kepada saya kerana mereka juga sudah agak terikut dengan budaya kita orang Melayu.Kueh-mueh yang dihidang ada diantaranya di tempah dari jiran-jiran berbangsa melayu.Kami turut berbincang tentang majlis sambutan Tahun Baru Cina yang akan diadakan 3hb Februari nanti.46 warga emas berusia atas 70 tahun telahpun dikenal pasti untuk menerima angpau.Persembahan kebudayaan dari semua kaum juga dirancang.Saya harap semuanya akan berjalan dengan lancar dan perpaduan antara kaum di Sg Jerik akan terus dapat dikekalkan.

Kepada semua rakan berbangsa Cina,saya ucapkan Selamat Tahun Baru dan Marilah kita bersama-sama mengekalkan keamanan dan kemakmuran negara sepertimana semangat yang terkandung didalam Kontrak Sosial yang telah dipersetujui dan diperakui oleh nenek moyang kita dahulu.

25 Januari 2009

Pengkhianat Yang Bernama Nasarudin Hashim

(Petikan : http://malaysia-instinct.com/english)

Oleh SHARIFAH ANAMARHAEN

Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasarudin Hashim menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini adalah satu bentuk penipuan dan pengkhianatan yang tidak boleh dimaafkan

Ia memperlihatkan kepada rakyat tentang keikhlasan sesetengah orang yang mendakwa mereka adalah pemimpin.

Keyakinan kepada perjuangan parti sebenarnya tidak ada pada diri pemimpin jenis ini.

Yang wujud cuma kecenderungan untuk melihat politik tidak lebih sebagai alat bagi menjayakan kepentingan peribadi.

Nasaruddin baru-baru ini tidak disambung kontrak sebagai Pengerusi FELCRA serta tewas dan pemilihan Ketua UMNO Bahagian Parit

Dalam pilihanraya umum Mac 2008 beliau diturunkan bertanding kawasan Dewan Undangan Negeri Bota.

Tindakan Nasarudin yang mengkhianati UMNO dam BN perlu dijadikan satu keazaman untuk membuktikan bahawa UMNO dan BN adalah institusi politik yang tidak memberi tempat kepada golongan yang tidak setia.

Penulis percaya rakyat akan menolak pemimpin yang bergiat semata-mata untuk keuntungan sendiri.

Pemimpin seperti itu bukan sahaja tidak dapat diterima tetapi tanda tanya kini timbul mengenai matlamat sebenar penglibatan mereka dalam politik selama ini.

Rakyat harus memahami bahawa pucuk pimpinan BN tidak dapat memuaskan hati semua orang. Ini adalah lumrah.

Namun, mana-mana wakil rakyat yang bertanding dengan menggunakan tiket BN dan kemudian melompat ke parti lain, itu perbuatan yang mengkhianati BN

Nasarudin perlu sedar bahawa faktor kemenangannya dalam pilihan raya lalu kerana bertanding dengan menggunakan tiket BN.

Disebabkan itu, tindakan 'melompat' ke parti lawan itu bukan sahaja mengecewakan BN, malah rakyat yang memilih dirinya.

Lompat parti adalah satu perbuatan berpaling tadah - mulanya menyokong sesebuah parti politik dan kemudian sokongan tersebut bertukar arah dan lebih parah lagi, menentang parti asal.

Sekiranya ramai ahli parti bertukar arah, maka dibimbangi jumlah majoriti mengecil atau langsung hilang.

Akibatnya ialah, sesebuah parti politik itu akan hilang jumlah majoriti, yang seterusnya akan mengakibatkan kehilangan mandat atau kepercayaan di dalam Parlimen atau di Dewan Undangan Negeri

Tindakan melompat parti setelah memenangi pilihan raya bukan sesuatu yang sihat dan patut disokong.

Ini kerana seseorang yang telah dipilih oleh rakyat bukan semuanya atas kapasiti individu tersebut, tetapi sebahagian besar memenangi kerusi tersebut atas kepercayaan atau mandat rakyat terhadap parti politik yang diwakilinya.

Tiket yang diberikan oleh rakyat untuk mewakili mereka tidak harus dipindah milik secara sewenang-wenangnya tanpa persetujuan rakyat.

Walaupun mungkin Parlimen tidak dapat menghalang perbuatan lompat parti, ia merupakan satu pengkhianatan atau pembelotan terhadap rakyat dan satu perbuatan tidak bermaruah.

Yang pasti, Nasarudin perlu jawab di atas segala bentuk pengkhinatan ini!

24 Januari 2009

SiKudung Mendapat Cincin

Antara yang menjadi perhatian dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini ialah PKR membidas Lim Guan Eng yang tidak berunding terlebih dahulu dengan rakan-rakan pembangkang sebelum mengisi jawatan penting dalam anak syarikat Kerajaan Negeri dan pengakuan Khalid Ibrahim MB Selangor yang menggunakan wang Kerajaan Negeri Selangor untuk membeli 46 ekor lembu korban bagi kawasan parlimennya Bandar Tun Razak yang terletak di Wilayah Persekutuan.

Nampak sangat DAP tidak hormat lansung kepada rakan-rakannya sendiri.kalau kita benarkan mereka ini memerintah Negara,pelbagai kecelaruan akan timbul.Itu belum lagi dengan Karpal Singh yang akan bermatian menentang hasrat PAS untuk laksanakan hukum hudud.Saya percaya PR di Selangor pasti bengang kerana duit Kerajaan Negeri digunakan untuk kawasan Parlimen di Negeri lain.Nampak gayanya mereka ini umpama sikudung mendapat cincin.

Apa yang Kerajaan BN buat,semuanya dianggap tidak betul.Di Felda,adalagi segelintir yang tidak puashati dengan Felda.Sedangkan Felda telah terbukti berjaya membawa keluar beribu-ribu keluarga Melayu dari paras kemiskinan.Bukan nak mengungkit,tetapi sebagai cucu kepada peneroka felda,saya melihat sendiri usaha felda membantu dengan tidak pernah jemu.Kini,sebagai wakil rakyat kepada lebih 5000 keluarga peneroka,saya terlibat secara lansung dengan pehak pengurusan felda untuk mempastikan para peneroka berjaya.Tetapi masih ada juga lagi yang menganggap felda umpama Israel yang menzalimi mereka.Kalau Felda sudah diumpamakan sebagai Israel,bermakna sudah tiada lagi perasaan syukur dalam diri mereka.Eloknya mereka keluar dari tanah rancangan Felda dan beri peluang kepada lebih ramai generasi muda menjadi peneroka.Mereka yang tidak bersyukur ini juga bolehla disamakan umpama kudung mendapat cincin juga.Tidak tahu menghargai apa yang mereka ada.

Sememangnyalah adat dunia,kita hanya akan menyedari sesuatu itu amat berharga apabila kita telah kehilangannya.

21 Januari 2009

UMNO Perlu Berubah



Banyak pihak kini bercerita mengenai UMNO perlu berubah.

Baiklah, kita terima hakikat bahawa UMNO perlu berubah.

Tetapi, mula sekali, saya ingin meminta kepada pembaca atau pihak yang berkata UMNO perlu berubah, tolonglah juga gariskan beberapa jawapan akan apakah perubahan yang diperlukan itu.

Setakat ini, perubahan yang telah pasti adalah perubahan kepimpinan tertinggi UMNO. Usaha-usaha menangani politik wang juga sedang dilakukan.

Namun, usaha itu agak perlahan, saya akui. Lembaga Disiplin perlu dimantapkan lagi.

UMNO sombong, ini memang perlu sekali diperbaiki. Namun, bukan semua ahli atau pemimpin UMNO bersikap demikian, itu juga harus diakui.

Ramai juga kata UMNO tidak releven di jiwa pengundi muda. Adakah ini benar? Jika benar, UMNO perlu mengorak langkah untuk menarik golongan muda kepada dirinya.

Banyak lagi rasanya kelemahan yang wujud dalam parti ini dan perlu diperbincangkan.

Namun, yang pertama sekali kini ialah kita ini perlu mengakui kewujudan semua masalah-masalah ini dan masalah lain.

Penafian tidak akan membawa ke mana. Umpama kita memegang seekor kucing kurab, tetapi bila orang menegur, kita marah, kita menafikan dengan berkata kucing itu cantik, bulunya lebat, comel, manja dan sebagainya.

Maka, dengan sikap itu tidak akan ada penyelesaian. Kita perlu mengakui kucing itu kucing kurap, selepas itu kita bawa ia bertemu doktor haiwan untuk berubat dan kita jaga ia sehingga ia pulih. Barulah masalah kita akan selesai.

Saya tidak menyaman parti UMNO keramat ini dengan kucing kurap, harus diingat. Apa yang saya berikan itu adalah contoh untuk memahami situasi yang kita berada kini.

Kita harus akui UMNO ada kelemahannya yang mungkin benar atau mungkin persepsi sahaja diwujudkan oleh pembangkang. Ia perlu dikaji secara mendalam

Berbalik kepada apa yang saya kata awal tadi, pihak yang bercakap mengenai keperluaan berubah juga mesti memberikan penyelesaian, jangan hanya bercakap dan mengkritik sahaja.

Ini juga tidak akan memberikan sebarang penyelesaian.