22 Januari 2011

Mirror on the wall

Salam ceria buat teman-teman semua..

Sudah beberapa hari saya tidak menulis diruangan ini. Banyak sekali sebenarnya yang ingin saya perkatakan dan kongsi bersama dengan anda semua... tetapi bukan kerana sekadar kekangan waktu tetapi dek kerana minda yang kepenatan memikirkan pelbagai masalah rakyat.

Setiap kali menatap wajah sendiri di cermin, saya sering teringat cerita dongeng kanak-kanak, Snow White. Ibu tiri Snow White yang kejam sering bertanya kepada cermin ajaibnya tentang siapakah yang paling cantik didunia. Tetapi lain halnya dengan saya. Saya tidak bertanya soalan yang sama. Lagipun cermin saya bukanlah cermin ajaib. Hanya sebuah cermin biasa yang kadangkala saya rasa seolah-olah mengejek saya. Setiap kali menatap wajah di cermin, hati saya akan berdetik dengan pertanyaan.. "mirror, mirror on the wall.. will I be able to put on a smile today?"

Ya, seorang wakil rakyat mesti sentiasa senyum tatkala bertemu rakyat. Tiada istilah sedih, marah, kecewa atau indikasi emosi selain ceria dan tersenyum sentiasa. Wakil rakyat semestinya seorang yang dikira boleh menyelesaikan setiap perkara, isu dan masalah hingga kadang-kadang ramai yang terlupa bahawa mereka juga insan biasa.

Setiap perkara yang dilakukan, adalah untuk rakyat. Rakyat mesti didahulukan dan keluarga sendiri perlu berkorban untuk rakyat. Sayu hati kadang-kadang bila anak-anak terpaksa saya tinggalkan demi tugas. Sampaikan si Aeen yang baru berusia 5 tahun sudah tahu komplen tentang uminya yang asyik sebuk pagi dan petang. Saya cuma berdoa agar Allah taala membalas keikhlasan saya dengan memelihara dan mengasihani anak-anak saya. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Ada saja yang tidak kena dimata sesetengah pihak walaupun kita telah cuba melakukan yang terbaik. Ramai yang mahukan kita mendengar kata mereka dan mengambil hati mereka tanpa memperduli dan mengambil kira keadaan kita. Kadang-kadang serba salah juga dibuatnya. Namun, saya cekalkan hati dalam terus menggalas amanah yang dipikul ini.

"Mirror.. mirror on the wall... please remind me to always be patient with them all... to be always love them with all my heart, my soul and my life."

Salam sayang untuk anda semua dimana saja anda berada...


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

17 Januari 2011

Tempat Jatuh Lagi Dikenang...

... Inikan pula tempat belajar, bermain dan bercinta... dan pastinya apabila kita kembali menjejakkan kaki ke mana-mana tempat yang menyimpan seribu satu memori silam, kita semua akan terkenang pelbagai kisah suka dan duka.

Semalam (16/01/2011), sekali lagi saya dijemput oleh Majlis Perwakilan Pelajar Kolej Keris Mas, UKM. Kali ini untuk menutup program Karnival Siswi tahun 2011. Seperti biasa, saya jarang menolak jemputan untuk menghadiri program di UKM.. masuk kali ini, saya telah tiga kali ke Kolej Keris Mas, dua kali ke Kolej Aminudin Baki (tempat tinggal saya dari tahun 1989-1993) dan sekali ke Kolej Tun Syed Nasir. Setiap kali bersama para pelajar di sana, tiap kali itulah juga pelbagai kenangan silam menjelma.

Sememangnya zaman di kampus adalah zaman yang paling indah dalam hidup saya. Di sinilah segalanya bermula (bertemu jodoh juga...hehehe) dan saya kira adalah wajar bagi saya untuk 'memberi' semula kepada universiti yang saya cintai ini.

17 tahun telah berlalu sejak saya meninggalkan kampus. Siswi dulu dan kini agak ketara perbezaannya. Mereka kini lebih terbuka dari segi pandangan dan juga corak pergaulannya. Mereka lebih berani ke depan jika nak dibandingkan dengan masa saya dahulu. Sepetang bersama mereka semalam memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. Mereka sentiasa teruja untuk mendengar ucapan saya yang dianggap sebagai salah seorang alumni yang berjaya dan saya pula sentiasa teruja untuk kembali menjejak kenangan semalam.

Program yang di penuhi dengan pelbagai persembahan menarik para pelajar termasuk cat walk busana muslimah dan nyanyian dari seorang pelajar yang berasal dari Jerantut tamat lebih kurang jam 6 petang.

Sebelum bertolak balik ke Pahang sempat pula saya pekena secawan kopi dengan seorang kawan sekampung. Kali ini saya menjejak memori zaman anak-anak lebih 30 tahun yang lalu. Dan betullah kata orang... jauh-jauh terbangnya bangau, akhirnya hinggap di belakang kerbau. Bertemu teman sepermainan zaman anak-anak, perasaannya sama seperti pulang ke kampung laman.

Akhir kata, ingatlah kata pujangga... berkawan biar seribu, berkasih biarlah satu... salam ukhwah dan salam sayang buat anda di mana jua anda berada...


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

16 Januari 2011

Dapat ilmu baru

Salam teman-teman, malam ini saya berpeluang belajar satu lagi ilmu untuk menambahbaik kan kemahiran saya dalam berblog. Pertemuan saya dengan seorang anak muda bernama Amir telah mengajar saya bagaimana menulis blog melalui Blackberry. Selepas ini pengetahuan yang baru saya perolehi ini pasti akan memudahkan saya untuk membuat posting setiap hari.

Begitulah, setiap hari memang sepatutnya kita belajar sesuatu yang baru. Tak rugi belajar dan terus belajar kerana hanya orang yang berilmu akan dipandang mulia. Itupun jika ilmu itu digunakan untuk perkara yang bermanfaat.

Akhirnya, renungan untuk kita semua: confucius pernah berkata : "The gentleman is learned in right; the small man is learned in gain"

Salam ukhwah dan salam sayang untuk anda semua di mana saja anda berada.

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

14 Januari 2011

Ngeteh sana ngeteh sini.....

Salam buat teman-teman semua...

Hari ni saya berkesempatan mendengar pelbagai keluhan rakyat sewaktu sesi mengeteh. Bersembang dengan mereka secara santai rasa lebih dekat saya dengan mereka dan dapat menghilangkan rasa segan mereka untuk bercerita dengan saya. Sebenarnya program mengeteh ni memang sudah jadi amalan saya. Di Restoran, gerai dan warung lah pelbagai maklumat dapat saya perolehi secara spontan. Lagipun ramai kaki sembang di kedai kopi ni jarang yang mahu bersama-sama dalam program rasmi yang di adakan.

Pagi tadi saya bersarapan di Felda Jengka 5..lokasi saya hari ini di sebuah restoran yang terletak di Simpang masuk ke Jengka 5... setelah memaklumkan kepada Pengurus dan Tok Empat, saya dan Ja terus bergerak dari Bandar Pusat ke Jengka 5. Sampai saya disana,saya disambut oleh seorang gadis manis bernama Wani yang menjaga Restoran tersebut.. hmmm dalam hati saya berkata,patut lah kedai ni selalu ramai orang...ramai juga yang bersarapan disitu termasuk beberapa anak muda dan pakcik2 yang bersantai sambil membaca surat khabar. Dua jam bersama mereka, sambil menikmati milo panas dan dua keping roti canai (alamak?) banyak juga yang saya dapat sembangkan bersama mereka. Dari kisah belia nak buka kolam memancing, nak buat pertandingan video game PS2 hinggalah kepada masalah lembu berkeliaran yang pernah juga melanggar kereta saya sendiri dua tahun lalu... Kalau sebut pasal kemalangan tu,saya memang rasa ngeri dan lutut kiri saya masih lagi terasa akibat dari kemalangan maut yang telah meragut nyawa lembu terbabit ( hehehe).

Pokoknya,sesi ngeteh di Jengka 5 banyak juga merungkaikan beberapa isu sebelum ini. Wak Kasmungi juga nampaknya puashati apabila saya menalipon sendiri Pegawai TNB Jengka tentang masalah bekalan letrik ke kedainya yang low voltage. Sebelum saya balik, mereka sekali lagi meminta agar diadakan Dewan Orang Ramai Jengka 5. Saya minta mereka berdoa agar permohonan melalui surat kepada YAB PM dua hari lepas mendapat kelulusan.

Allah Maha Berkuasa, mungkin hari Jumaat yang berkah, saya menerima panggilan telefon dari Pejabat PM beberapa minit setelah saya sampai di rumah menyatakan bahawa permohonan membina dewan jengka 5 telah pun diluluskan. Terus pula saya menghubungi Pengurus minta diumumkan kepada orang ramai sewaktu solat jumaat nanti dan agar mereka semua dapat bersujud syukur atas hajat yang bakal direalisasi tidak lama lagi. Saya tersenyum puas...tak boleh saya gambarkan dengan kata-kata kepuasan yang dirasai apabila dapat memenuhi kehendak rakyat. kebetulan pula hari ini juga sama tarikh dengan hari pemergian Allahyarham Tun Razak kerahmatullah... saya bacakan Alfatihah kepada beliau dan bersyukur kerana beliau diberi ilham oleh Allah untuk mewujudkan Felda.

Di sebelah petang, saya memilih Felda Ulu Jempol pula untuk menjadi destinasi mengeteh. Warung abang Raja jadi pilihan saya. Bukan apa,selama ini saya belum pernah singgah ke warung abang Raja.. selalu hanya angkat tangan sahaja bila lalu. Saya lihat ramai betul anak muda di warung tersebut. Geng Motorcross rupanya. Mereka pernah bertemu saya sedikit masa lalu mohon sokongan untuk buat trek motorcross. Sedih juga saya kerana tuan punya tanah masih lagi belum memberi kebenaran. InsyaAllah Isnin nanti saya akan hubungi pihak pengurusan berkenaan perkara ini. Pakcik-pakcik yang bersantai disitu saya sapa. Semuanya senyum ceria seronok bercerita tentang harga sawit yang agak lumayan sekarang. Takda komplen, semuanya gembira. saya pun dek kerana gembira tak sedar habis sepinggan Bistik Ayam yang dimasak oleh anak teruna abang Raja.

Jam 7 petang saya meninggalkan Felda Ulu Jempol balik ke Bandar Jengka. Selepas maghrib, saya dapat khabar bahawa imam masjid Felda Jengka 1 pula meninggal dunia. Selepas Isyak, saya terus ke sana... insaf saya melihat jenazah beliau yang wajahnya sungguh bercahaya dan tidak sedikit pun menunjukkan wajah pucat atau pudar. Subhanallah... khabarnya Arwah sewaktu hayatnya sentiasa berada dalamkeadaan wuduk. Moga kita semua juga nanti mendapat husnul khatimah sewaktu meninggalkan alam fana ini.

Akhirnya alfatihah buat Arwah Pak Hj Wan dan juga kepada Allahyarham Tun Abdul Razak yang telah banyak berjasa kepada kita semua...

Salam ukhwah dan salam sayang untuk anda semua dimana saja anda berada...