27 November 2008

Tolong Doakan Kesejahteraan Kami

Masuk tengah hari ini,masih belum ada sebarang berita yang baik untuk kami semua.

Penerbangan pulang ke Malaysia yang sepatutnya semalam ditunda sehingga petang esok pula.

Itu pun kalau lapangan terbang Suvarnabhumi dibuka semula. Melihat keadaan semasa nampaknya peluang itu macam terlalu tipis. PAD masih terus mengepong airport berkenaan.

Rancangan hendak naik keratapi pun terpaksa dibatalkan kerana keratapi penuh. Ramai pelancong yang mengambil keputusan yang sama seperti kami rancang iaitu menaiki keretapi ke Malaysia.

Pihak kedutaan Malaysia sedang berusaha mendapatkan tiket keretapi bagi perjalanan malam. Entah dapat atau tidak, kami tidak meletakkan harapan yang tinggi selepas melihat apa yang sedang berlaku di Bangkok kini.

Kota ini walaupun ada bahagian tertentu masih nampak tenang, tetapi sebenarnya sedang kucar-kacir dan huru hara secara keseluruhan.

Pihak keduataan beritahu, kalau keretapi malam gagal, maka kami semua terpaksa menunggu hingga Sabtu ini untuk naik keratapi di Pattaya. Satu lagi pilihan yang diberikan ialah untuk menaiki penerbangan tentera.

Ikhlas cakap, saya sendiri pun dah agak buntu sekarang hinggakan tidak pasti pernerbangan ihsan oleh tentera Malaysia atau tentera Thailand sendiri kalau jadi pun.

Penerbangan tentera itu pun sebenarnya adalah pilihan terakhir. Buat masa ini, kami semua masih lagi berada di Bangkok, menunggu arahan lanjut dari pihak kedutaan.

Nasib kami baik pegawai-pegawai dan kakitangan keduataan di sini begitu bersabar dan berusaha untuk membantu sebaik yang boleh.

Belum pun masalah terkandas di Bangkok selesai, kami mendapat berita bahawa Pahang sudah mula banjir pulak.

Setakat ini yang kami tahu Lipis dinaiki air. Saya bimbang jika selepas ini kawasan saya di Maran pun mula mengalami benda yang sama.

Kalau saya berada di Pahang pasti sekarang ini saya sudah boleh memulakan langkah-langkah untuk membantu orang ramai yang mungkin menjadi mangsa fenomena alam itu.

Saya berdoa agar dapat kembali segera ke tanah air. Keadaan di Bangkok semakin tidak menentu dan ini memang sudah masuk ke tahap merisaukan kami semua.

Harapan kami sekarang agar keadaan akan bertambah baik tidak lama lagi.

'Berkampung' di Bangkok

Hari ini sepatutnya saya bersama delegasi Kerajaan Negeri Pahang yang diketuai Datuk Shahkar Shamsuddin pulang dari Bangkok selepas menghadiri persidangan Bio Asia.

Memang sudah tidak sabar rasanya untuk kembali ke Malaysia selepas beberapa hari berada di negara gajah putih ini.

Namun itulah, kita hanya mampu merancang, tuhan sahaja yang menentukan.

Rancangan untuk balik segera bertemu keluarga dan rakan-rakan terbengkalai begitu sahaja kerana Lapangan Terbang Suvarnabhumi ditutup apabila penyokong Pakatan Rakyat bagi Demokrasi (PAD) mengambil alih dan memenuhi kawasan lapangan terbang itu.

Semua penerbangan antarabangsa terpaksa dibatalkan.

Ini memang kami tidak duga langsung. Pakaian yang dibawa pun boleh dikatakan cukup-cukup sahaja. Dah jadi macam ini, maka hari ini terpaksalah kami semua keluar membeli pakaian baru.

Kami itu maknanya selain dari saya dan Shahkar, adalah bersama lagi dua orang wakil rakyat, YB Pang Tsu Ming dan Yb Zaharuddin dan enam wakil syarikat Mentiga, Unit
Pembangunan Ekonomi dan LKPP.

Bila lapangan terbang Suvarnabhumi ditutup, kami rancang untuk naik penerbangan domestik Thailand yakni dari Bangkok ke Phuket dan kemudian menaiki kapal terbang dari sana untuk ke Malaysia.

Sekali lagi masalah baru datang melanda, tiba-tiba hari ini penerbangan domestik Thailand juga digantung. Entahla nak buat apa sekarang ni.

Ada yang mencadangkan naik keretapi sahaja dari Bangkok ke tanah air. Pihak Kedutaan Malaysia yang sepanjang hari bersama kami sedang berusaha memikirkan sesuatu yang
boleh membantu kami pulang. Harap-harap adalah penyelesaian.

Disebabkan bosan, saya pergilah ke siber cafe dekat dengan hotel Landmark, hotel penginapan kami di Bangkok untuk update blog saya ini. Walaupun berjauhan di mata dengan rakan-rakan, sekurang-kurangnya boleh la dekat di alam siber melalui cara ini.

Ini sebenarnya entry kedua saya dari Bangkok selepas entry semalam pasal cabaran menarik golongan muda menyokong BN.

Masa sekarang ni pun dah hampir tengah malam, mengantuk pun ada, penat pun ada, rindu keluarga terutama anak-anak pun ada, bosan melampau pun ada...senang cakap,
macam-macam perasaan sekarang ini.

Walaupun tempat penginapan kami nampak aman dan selamat, tetapi hati kami runsing juga kerana terdengar khabar-khabar kemungkinan akan berlaku rampasan kuasa oleh pihak tentera.

Jika ia terjadi, maka seluruh Bangkok berkemungkinan akan dikenakan perintah darurat. Sampai bila pun tidak boleh nak agak. Silap hari, lamalah kami semua berkampung di kota Siam ini.

Hari ini pun, berita melaporkan Ketua Tentera Thailand, Jeneral Anupong Paochinda meminta Perdana Menteri, Somchai Wongsawat membubarkan Parlimen Thailand bagi memberi laluan untuk mengadakan pilihan raya baru.

Saya ingat semalam, Somchai ada berkata beliau tidak merancang untuk berundur. Sekarang ini, tidak pasal-pasal saya kena pula mengambil tahu secara terperinci mengenai politik Thailand.

Politik kat Malaysia pun belum habis kemeriahannya, tambah pula dengan politik negara jiran. Namun keadaan menyebabkan saya tiada banyak pilihan.

Apa pun, saya berharap rakan-rakan di Malaysia akan mendoakan keselamatan kami semua di kota Bangkok ini.

Mudah-mudahan semuanya akan selamat. Amin.

25 November 2008

Cabaran menarik golongan muda kepada BN

Golongan muda semakin memainkan peranan penting dalam menentukan hasil sesuatu keputusan pilihan raya.

Walaupun jumlah mereka masih belum membentuk majoriti pengundi, tetapi sudah cukup bagi mencorak perjalanan politik negara.

Justeru, cabaran terbesar pasca pilihan raya umum ke-13 adalah untuk menarik golongan ini bersama dengan BN atau UMNO.

Bagaimanapun, dalam hal ini, perkara pertama yang kita harus faham dan berbincang dengan terbuka ialah golongan muda hari ini tidak ramai yang berminat dengan politik.

Minat mereka adalah kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan muzik, permainan video atau video games dan sukan seperti bolasepak atau EPL.

Mereka banyak mengikuti perkembangan berkaitan perkara ini melalui internet.

Internet umpama satu bentuk nadi hiburan yang baru bagi golongan muda.Cabaran terbesar sebelum kita hendak menarik mereka mengundi BN, kita perlu terlebih dahulu perlu menarik mereka kepada politik.

Bagaimanakah di celah-celah minat terhadap permainan video atau kandungan dalam internet boleh kita sematkan elemen politik sebagai satu lagi tarikan utama?

Perkara ini boleh dilakukan jika kita mengikut saluran yang tepat dan mengikut peredaran zaman. Internet merupakan gedung ilmu tanpa batasan yang memainkan peranan yang amat penting dalam jiwa muda hari ini.

Blog dan perkara seperti Facebook umpamanya juga semakin serasi dengan jiwa muda hari ini.

Saya pernah terbaca di sebuah akhbar, wujud 500,000 blog di negara ini yang menjadikan Malaysia antara negara yang terbanyak blog di dunia. Ini memperlihatkan betapa internet itu adalah satu teknologi yang bukan lagi asing kini dalam masyarkat kita.

Dalam kita ingin menarik golongan muda kepada politik dan BN, maka kita perlu juga mendekati saluran ini. Sebenarnya BN sudah agak terkebelakang sedikit dalam hal ini jika dibandingkan dengan pembangkang.

Pembangkang terlebih dahulu mengoptimumkan penggunaan internet bagi menyalurkan idea-idea perjuangan mereka. Beberapa tahun sebelum PRU ke-13 lagi mereka sudah menggunakan platform ini untuk mempengaruhi masyarakat.

Disebabkan itulah, jika ada golongan muda yang minat politik pun pada masa sekarang, minat dan sokongan mereka lebih terarah kepada pembangkang.

Mengapa, jawapannya terkandung dalam apa yang saya cakap tadi, golongan muda begitu rapat dengan internet dan pembangkang sudah lama menggunakan saluran ini dalam menyebarkan idea-idea mereka.

Justeru, golongan muda yang berminat dengan politik pun, mereka condong kepada pembangkang, mereka mengabiskan begitu banyak masa membaca blog atau portal-portal berita yang dimiliki oleh pembangkang.

Idea dan propaganda pembangkang sudah tersemat dalam fikiran dan jiwa mereka. Segala fitnah yang ditabur melalui internet diterima bulat-bulat sebagai benar oleh golongan ini.

BN sebaliknya banyak bergantung kepada medium media lama seperti suratkhabar dan gagal melihat kepentingan media baru sehinggalah selepas PRU ke -13.

Namun, masih belum terlambat sebenarnya jika BN mahu menarik golongan muda. Namun ia hendaklah mengikut rentak golongan muda. BN yang perlu ikut rentak golongan muda, bukannya golongan muda ikut rentak BN.

Bila hendak ikut rentak golongan muda, maka saya melihat internet adalah saluran yang perlu dikuasai bermula dari sekarang.

Para pemimpin UMNO perlu memiliki blog dan portal-portal berita bagi membolehkan penyebaran idea-idea BN secara meluas di alam maya.

Jika artis popular di barat boleh memiliki Facebook atau blog, mengapa tidak pemimpin kita juga melakukan perkara yang sama.

Bagi peluang kepada remaja untuk mendekati para pemimpin UMNO melalui saluran yang mereka minat. Jadikan politik sesuatu yang menarik, sesuatu yang mudah dan berada dalam jangkauan golongan muda. Maka ketika itu politik ada kemungkinan akan menjadi satu lagi elemen selain EPL atau permainan video.

Dalam senario hari ini, jika kita hanya membuat majlis di balairaya dan mengharapkan golongan muda untuk tampil memang ianya sukar. Kalau mereka hadir pun bukan atas keikhlasan. Hadir mungkin kerana terpaksa.

Bukan semua golongan muda menolak UMNO, tetapi bilangan mereka memang kurang jika dibandingkan dengan yang pro pembangkang. Ini kita perlu terima dengan hati yang terbuka. Penafian akan hanya melemahkan UMNO dan BN.

Mereka menolak UMNO seperti yang dinyatakan, mereka sudah dicuci pemikiran mereka melalui blog-blog dan portal-portal berita pembangkang. Mereka bukannya benci pada UMNO kerana yakin UMNO banyak salah.

Mereka benci UMNO kerana mereka salah diberikan maklumat, diajar benda yang bukan-bukan. Pembangkang berjaya membuat semua itu kerana mereka mengikut saluran yang tepat.

Apakah yang boleh menarik mereka kepada UMNO?

UMNO perlu mengikut rentak golongan muda. Jangan abaikan lagi media baru seperi blog. Cuba rampas kembali apa yang sudah dikuasai pembangkang.

Mungkin media baru belum menjadi sehebat media arus perdana, tetapi ia sedang berkembang. Kalau ditunggu lebih lama, kita akan lebih ketinggalan.
Bila ketinggalan, maka kita akan dilihat sebagai sebuah parti orang tua.

Dan apa yang berkaitan dengan imej orang tua akan ditolak dengan mudah oleh yang masih muda.

Maka jika UMNO berubah dengan kehendak zaman, kegemilangan dan kematangan yang ada di sebalik namanya itu akan menjadikan ia parti pilihan untuk disertai.

21 November 2008

Kenyataan Akhbar Rafidah Aziz

Berikut ialah transkripsi penuh kenyataan akhbar Ketua Pergerakan Wanita Umno Malaysia, Tan Sri Rafidah Aziz berhubung pendiriannya untuk mempertahankan jawatan tersebut pada pemilihan parti Mac depan.
KENYATAAN AKHBAR

Memandang bahawa Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat telah membuat kenyataan akhbar untuk bertanding jawatan Ketua Wanita Umno, maka saya dengan ini:



1) Akan mempertahankan jawatan ketua yang saya sandang sekarang, dan Insya-Allah, akan bertanding untuk jawatan tersebut untuk tempoh 2009-2011.

2) Saya menghargai dan menghormati pandangan yang telah saya terima dari 117 Bahagian itu.

3) Saya memulangkan kepada para perwakilan, yang mewakili akar umbi, untuk menentukan pemimpin yang mereka mahu untuk tempoh 2009-2011.

Saya kecewa kerana pelan Peralihan telah dipertikai, dan ditolak, lebih tiga bulan selepas saya mengumumkannya pada bulan Ogos (4 haribulan) 2008.

Semenjak tarikh itu TIADA sesiapa dalam Exco, atau di luar, yang telah mempertikaikannya. Bahkan Datuk Seri Shahrizat sendiri, sama ada antara empat mata, dalam Exco dan dalam sidang media, telah BERKALI-KALI menegaskan:

a) Beliau tidak akan bertanding jawatan ketua walaupun dicalonkan.

b) Beliau patuh kepada Pelan Peralihan.

c) Beliau patuh kepada nasihat pemimpin-pemimpin besar parti.

d) Bahkan beliau telah menyatakan bahawa "kata akan dikotakan" dan "my word is my honour." (semuanya telah disiar dalam media).

Saya tidak ada sebab untuk menyangka bahawa akan berlaku pelbagai pergolakan SELEPAS PROSES PENCALONAN SELESAI.

JIKA, dalam mana-mana perbincangan ADA MANA-MANA PIHAK yang TIDAK SETUJU, dengan PELAN PERALIHAN maka, sebagai pemimpin-pemimpin yang bertanggungjawab, WAJAR dibangkitkan dan dibantah.

Jika mereka berbuat demikian, SEBELUM proses pencalonan, maka pasti Exco akan membatalkan sahaja PELAN itu.

DAN, saya tidak ragu-ragu akan membiarkan Bahagian-bahagian mencalonkan sesiapa juga yang mereka mahukan untuk jawatan Ketua dan Naib Ketua.

Tetapi, ‘bantahan’ ditimbulkan SELEPAS mereka mendapat CUKUP pencalonan untuk bertanding, MAKA BARU membantah, dengan berbagai ‘alasan’ yang sebenarnya tidak berasas.

ADA pula pihak-pihak tertentu yang mahukan pelan peralihan ‘dipercepat’, dari Jun ke Mac 2009. Ini tidak logik.

JIKA ia dibuat bulan Mac ia bererti:

a) Tidak ada lagi ‘pelan peralihan’, yang pada asasnya, melibatkan satu jangka masa antara Perhimpunan Agong dengan tarikh penyerahan jawatan.

Semua mengetahui bahawa pada asalnya, jangka masa itu ialah antara Januari hingga June 2009, KERANA Perhimpunan Agong dijadual pada Disember 2008.

Ia telah dianjak kepada Mac - tetapi Pelan Peralihan TIDAK terjejas.

b) Jika ‘dipercepat’ kepada Mac, ia juga bererti bahawa saya dipaksa menyerah jawatan ketua secara bulat-bulat dengan Shahrizat menang tanpa bertanding.

INI menidakkan hak dan kemahuan 117 Bahagian yang telah mencalonkan saya untuk pegang jawatan hingga Jun 2009.

Sekarang, kerana PELAN PERALIHAN telah diingkari dan jawatan ketua akan ditandingi, maka saya akan mempertahankan JAWATAN yang saya sandang sekarang ini.

Saya ingin menyarankan supaya pertandingan semua jawatan-jawatan dalam PergerakanWanita Umno hendaklah dijalankan dengan TERTIB, BERADAB, IKHLAS dan jangan sekali-kali menjejaskan sesiapa, atau menjejaskan parti.

JANGAN sekali-kali mengada-adakan dan menabur FITNAH dan BOHONGAN, dan membawa pecah belah.

ALLAH SWT menentukan segala-galanya. TIDAK ada yang lebih besar dariapada KUASA ALLAH SWT.

Terima kasih.

21 November 2008.

19 November 2008

Banyak yang sudah dilupakan

RENUNGI KATA-KATA SIEW SIN DAN SAMBATHAN UNTUK ELAK PERTIKAI KEISTIMEWAAN MELAYU, KATA ADUN KERDAU

KUANTAN, 19 Nov (Bernama) — Bimbang mengenai cubaan sesetengah mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu, seorang penyokong kerajaan hari ini memetik kenyataan bekas Presiden MCA Tun Tan Siew Sin dan bekas Presiden MIC Tun V.T.Sambanthan mengenai isu itu agar keharmonian kaum dan kemakmuran negara dapat dikekalkan.

Zaharuddin Abu Kassim (BN-Kerdau) ketika membahaskan bajet kerajaan negeri Pahang bagi tahun 2009 pada persidangan Dewan Undangan Negeri, membacakan kenyataan yang pernah dibuat oleh bekas Presiden MCA Tun Tan Siew Sin dan bekas Presiden MIC Tun Sambanthan.

Menurut beliau, kata-kata Tan pada 30 April 1969 berbunyi : “Orang Melayu menerusi Umno bermurah hati melonggarkan syarat-syarat dalam undang-undang negara ini sehinggakan dalam masa 12 bulan selepas kemerdekaan, 90 peratus penduduk bukan Melayu menjadi warga negara.

Ini berbeza dengan keadaan sebelum merdeka di mana 90 peratus daripada mereka masih tidak diiktiraf sebagai rakyat Tanah Melayu walaupun hampir 100 tahun hidup di bawah pemerintahan penjajah.

“Sebagai membalas kemurahan hati orang Melayu, MCA dan MIC bersetuju meneruskan dasar memelihara dan menghormati kedudukan istimewa orang Melayu dan dalam masa yang sama mempertahankan kepentingan-kepentingan sah kaum lain”.

“Sebelum itu, Tun Sambanthan pada 1 Jun 1965 pernah berkata...pada tahun 1955, kita telah memenangi pilihan raya dengan majoriti yang tinggi, selanjutnya mendapat kemerdekaan dalam masa dua tahun kemudian.

Dalam jangka masa itu, kita terpaksa berbincang dan menangani pelbagai perkara termasuk soal kewarganegaraan.

Persoalannya di sini, apakah yang dilakukan oleh orang Melayu memandangkan kita bercakap menyentuh perkauman? Apakah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Melayu? Mereka mempunyai 88 peratus daripada pengundi menyokong mereka. Apakah yang mereka putuskan mengenai isu kewarganegaraan?.

“Jika kita lihat di serata negara Asia dan Asia Timur, kita akan mendapati kaum India tidak akan diterima di Ceylon (Sri Lanka) dan juga tidak diterima di Burma (Myanmar). Sama halnya dengan kaum Cina, mereka tidak diterima di Thailand, Vietnam, Kemboja dan di negara-negara lain.

Apakah bantuan berhubung kewarganegaraan yang mereka peroleh di semua wilayah tersebut?

“Di Burma, seperti yang kita semua sedia maklum, kaum India telah diusir keluar, di Ceylon mereka tidak diberikan taraf warga negara seperti juga di Burma.

Saya tahu dan anda juga tahu. Apa yang sedang berlaku di Malaya? Di sini kita mendapati pemimpin Melayu berkata...kita akan menerima mereka sebagai saudara, kita akan berikan mereka sepenuh peluang untuk meneruskan kehidupan di negara ini, kita akan beri mereka peluang untuk menjadi warga negara.


“Seterusnya pada tahun 1957, dengan tidak mengambil kira kebolehan berbahasa (Melayu) ribuan orang India, Cina dan Ceylon menjadi warga negara.
Seperti yang saya nyatakan, saya amat bernasib baik kerana dilahirkan di negara ini.

Di manakah anda boleh berjumpa bangsa yang lebih prihatin, bersopan santun dan tertib selain daripada bangsa Melayu. Di manakah anda boleh mendapat layanan politik yang baik untuk kaum pendatang? Di manakah dalam sejarah dunia? Saya bertanya kepada anda”.

Zaharuddin berkata jika hak keistimewaan orang Melayu itu terus dibangkitkan, tindakan itu umpama memasang “bom jangka” yang boleh memusnahkan negara ini.

Datuk Lau Lee (BN-Damak) kemudian mencelah: “Kita tidak perlu takut kepada
“time bomb”, kita mesti berani menghadapinya.”

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob turut bangun dengan berkata ianya bukan soal berani atau tidak berani tetapi “bom” itu susah dimatikan apabila ianya meledak.

Lau : “Kita tidak pernah pertikaikan hak keistimewaan orang Melayu, kita minta semua rakyat Malaysia diberi tempat...orang Cina dan India diberi peluang yang lebih tinggi lagi".