02 Mac 2009

Hormati Pendirian Pak Lah Yang Tetap Mahu Lepaskan Kuasa Kepada Najib

Perdana Menteri mengulangi pendiriannya akan menyerahkan jawatan kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Mac ini.

Kenyataan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada sidang akhbar hari terakhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-14 di Hua Hin, Thailand semalam menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa akan berlaku perubahan dalam pelan peralihan kuasa pada Mac ini.

Dengan kenyataan yang buat sekian kalinya itu, bermakna semua perkara yang dipersetujui antara Abdullah dan Najib sebelum ini tidak akan berubah. Abdullah tetap berpegang pada pelan berkenaan.

Ketika tempoh peralihan semakin hampir tiba, sudah tentu akan ada sahaja pihak yang cuba menabur fitnah semata-mata mahu mengkucar-kacirkan pentadbiran negara.

Dalam mengharungi cabaran politik masa kini dan krisis ekonomi global, kestabilan negara jangan dipermain-mainkan. Ketika ini, bukan sahaja ahli-ahli UMNO malah rakyat juga was-was sama ada peralihan kuasa itu akan diteruskan seperti dirancang atau ditangguhkan.

Malah desas-desus kononnya Abdullah akan hanya menyerahkan jawatan Presiden UMNO kepada Najib dan bukan jawatan Perdana Menteri pada Mac ini bertiup kencang dengan pelbagai teori.

Melihat pendirian Perdana Menteri itu, kita minta kepada semua pihak supaya tidak lagi menimbulkan sebarang persoalan atau khabar angin berhubung mengenai pelan peralihan kuasa itu.

Segala khabar angin dan spekulasi berhubung peralihan kuasa elok dihentikan menjelang Perhimpunan Agung UMNO yang ditetapkan pada 24 hingga 28 Mac ini.

Tidak perlu lagi kita bermain-main dengan teori-teori kenapa Abdullah perlu kekal menjadi Perdana Menteri.

Jangan lagi disebarkan cerita mengenai 'kenapa Abdullah mesti dipertahankan' sehingga tamat tempoh mandat Pilihan Raya Umum 2008.

Perlu diingatkan, rancangan untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri adalah rancangan Abdullah sendiri. Malah beliau sanggup berkorban mempercepatkan peralihan itu daripada Jun 2010 kepada Mac ini.

Sebagai pemimpin yang bermaruah, setiap keputusan yang dibuat oleh beliau tentunya berdasarkan kepada pertimbangan yang rasional dan bijaksana. Beliau tidak sekali-kali akan mengkhianati janji yang dibuatnya.

Dalam titah ucapan merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-12 di Dewan Rakyat, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin merakamkan penghargaan kepada Abdullah dan berharap peralihan kuasa itu akan berjalan lancar.

Oleh itu, kita mohon kepada semua rakyat Malaysia supaya menolak sebarang berita atau khabar angin yang cuba memperlekehkan imej Perdana Menteri. Hormati pendirian beliau.

Kepada golongan penyebar khabar angin, kita minta hentikan tindakan mereka yang hanya akan mengocakkan keadaan politik semasa dan menimbulkan senario yang tidak menentu.

Negara kita sudah 'letih' dengan pergolakan politik. Kita perlukan lebih banyak masa untuk menghadapi kemelut ekonomi dunia kerana kesannya sedang kita rasai sekarang.

3 ulasan:

BERANIKAN HATI berkata...

Jika Pak Lah mungkiri janjinya, rakyat akan berontak kerana tidak percaya dengan pimpinan flip-flop. Saya juga akan sertai pembangkang dan menentang kerajaan habis-habisan.

Jai berkata...

Biasala kita orang umno ni... Kita akan puji melangit pemimpin masa kini dan akan melupakan pemimpin yang telah pergi. Tengok jer contoh TDM, masa dia jadi PM para pemimpin jilat tangan TDM tapi lepas letak jawatan di salaknya TDM. Apa nak buat nasib pemimpin melayu kita.

Sama macam Paklah, nanti tengok kalau tak percaya. Cara selamat Paklah selepas ini ialah jangan cakap terus tentang politik dan kepimpinan atau kalau nak lepas gian jugak puji melangit kerajaan pimpinan baru. Baru ada ummph.Ada klas kata orang...kLau tidak sejarah umno terus berulang.. Kalau silap cakap sama macam TDM, sama macam THO, sama macam TAR. Sama-sama kena penendang dek pimpinan baru. Hehehe itulah realiti.... Kita tungguuuu.

Pink Ants berkata...

Sebenarnya,mengikut pemerhatian saya secara peribadi,bab suka puji melangit ni,bukanlah budaya orang umno tetapi orang melayu secara umumnya..orang melayu ni,umumnya memang suka dipuji dan memuji.Tidak ramai yang sanggup menelan kritikan yang dilemparkan apatah lagi meuhasabah diri membetulkan kesilapan.Sebab itulah ada juga yang menasehatkan saya supaya hanya membuat laman web,supaya tidak ada yang akan komen tentang saya sebaliknya hanya dipaparkan dengan perkara yang baik sahaja tentang saya.Namun saya tegaskan bahawa,saya bukan bertujuan untuk mempromosi diri disini tetapi mahu menyelami serta mengetahui pandangan orang lain terhadap pemikiran saya.Jika saya tidak boleh berlapang dada mendengar kritikan atau pandangan orang lain,maka saya tidak selayaknya menjadi seorang pemimpin.Asam garam politik memang penuh dengan cabaran,namun hanya yang cekal dan tabah sahaja yang akan beroleh kejayaan..dan ukuran kejayaan itu,bukanlah dari sudut pencapaian peribadi tetapi dari sejauh mana matlamat perjuangan kita itu dapat dicapai.