06 Disember 2008

TIGA TERKORBAN, TUJUH LAGI MASIH TERPERANGKAP DALAM TANAH RUNTUH DI BUKIT ANTARABANGSA

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) — Kejadian tanah runtuh di kawasan Bukit Antarabangsa, Hulu Klang dekat sini dilaporkan telah mengorbankan tiga orang sehingga 10.30 pagi ini serta menimbuskan 14 buah banglo di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama.

Jumlah korban itu disahkan oleh Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar.

Mangsa korban itu melibatkan seorang ibu dan anaknya dan seorang lelaki lagi.
Identiti mangsa masih belum dikenali.

Khalid berkata tujuh lagi mangsa dipercayai masihterperangkap dalam rumah yang tertimbus itu.

“Ada rumah yang roboh sepenuhnya dan ada hanya sebahagian roboh,” katanya yang berada ditempat kejadian.

Sebelum itu, beliau melaporkan 93 orang mangsa kejadian tanah runtuh itu telah berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian bermula 4 pagi tadi.

Khalid berkata polis telah menasihati antara 3,000 hingga 5,000 penduduk di situ agar meninggalkan rumah mereka, yang kebanyakannya berupa apartmen.

Pegawai Perhubungan Awam Hospital Kuala Lumpur (HKL) Zaiton Abu Bakar berkata 14 mangsa mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di hospital itu.

Mangsa yang mengalami kecederaan menerima rawatan awal di surau Addinniah di Bukit Antarabangsa sebelum dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan susulan dengan menggunakan tidak kurang daripada 12 ambulans.

Banglo yang tertimbus itu melibatkan lapan unit banglo di Taman Bukit Utama dan enam unit di Taman Bukit Mewah, demikian menurut jurucakap bomba dan penyelamat yang berada di tempat kejadian

Salah sebuah banglo terlibat ialah milik Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab.

Mohamed Thajudeen sekeluarga bagaimanapun dilaporkan berjaya menyelamatkan diri.

Menurut bomba dan penyelamat, tanah runtuh itu dipercayai berpunca daripada pergerakan air bawah tanah.

Pihak tentera, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Bomba dan Penyelamat dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) kini sedang giat menjalankan kerja menyelamat.

Kejadian tanah runtuh itu telah mengakibatkan jalan utama ke kawasan perumahan terbabit terputus dan beratus orang terperangkap di Bukit Antarabangsa.

Mereka yang terperangkap dan juga pasukan penyelamat terpaksa menggunakan Jalan Wangsa 9 sebagai jalan alternatif memandangkan jalan utama ke kawasan itu tidak dapat dilalui.

Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa, Azmin Ali yang melawat tempat kejadian berkata pergerakan tanah masih berlaku dan bekalan elektrik di beberapa kawasan perumahan di Bukit Antarabangsa terputus.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut melawat tempat kejadian.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Setiap kejadian yang berlaku pasti ada hikmah yang tersembunyi. Sebagai hambaNya kita mudah alpa dan lalai dengan apa yang pernah berlaku. Kejadian 15 tahun lalu, langsung tidak dijadikan iktibar dan panduan kepada kita semua. Kenapa perlu diletakkan kesalahan kepada orang lain sedangkan hakikatnya kita sendiri mudah lupa. Diharapkan kejadian itu mampu membuka lembaran baru kepada kita semua sempena tahun baru yang akan menjelang tidak lama lagi. Jangan ditangisi apa yang telah berlaku.