05 Disember 2008

Wanita dan cabarannya di Malaysia



Mencapai kesaksamaan gender dan memperkasa wanita adalah perlu untuk mencapai pembangunan sosial, ekonomi dan politik.

Hari ini, anak-anak gadis dan wanita masih terus menerima manfaat daripada perkhidmatan kesihatan dan pendidikan di mana wanita melepasi lelaki dari segi kemasukan dan juga pencapaian akademik di dalam pelbagai situasi.

Wanita-wanita di Malaysia juga kini terlibat dengan lebih aktif di dalam politik dan lain-lain inisiatif di peringkat kebangsaan.

Iltizam serta tekad yang telah diberikan oleh Malaysia terhadap kemajuan wanita-wanita dapat dilihat dengan jelas melalui program-program serta dasar-dasar yang telah dilaksanakan dalam masa dua dekad yang lepas.

Pada tahun 1985, Kerajaan Malaysia telah menyiapkan sebuah Dasar Kebangsaan untuk Wanita sebagai panduan bagi penglibatan para wanita di dalam proses pembangunan. Dasar tersebut boleh membantu meningkatkan taraf kehidupan wanita dengan menangani cabaran-cabaran melalui pendidikan dan penghapusan kemiskinan.

Status wanita telah menjadi objektif utama Rancangan Malaysia ke-6 (1991 – 1995), di mana sebuah dana khas disediakan untuk perkembangan wanita dan telah menjadi satu langkah yang penting di dalam menuju ke arah keperkasaan wanita-wanita di Malaysia.

Rancangan-rancangan Malaysia seterusnya masih memberi perhatian kepada keperluan-keperluan wanita dengan cadangan untuk memajukan status mereka di dalam masyarakat.

Dengan menyetujui pendapat-pendapat yang telah ditetapkan terlebih dahulu semasa Platform Beijing untuk Tindakan di Persidangan Sedunia PBB untuk Wanita yang Ke-Empat (1995), Kerajaan telah berjanji untuk

1) meningkatkan jentera kebangsaan untuk kemajuan wanita;

2) meningkatkan penglibatan para wanita dalam membuat keputusan;

3) mempertahan serta melindungi hak-hak wanita kepada kesihatan, pendidikan serta kesejahteraan sosial dan

4) mengatasi segala cabaran undang-undang serta amalan-amalan yang berunsur diskriminasi terhadap gender.

Pada tahun 1995, Kerajaan juga telah memperkenalkan Konvensyen PBB yang berkaitan dengan Penghapusan Sebarang Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW).

Pada tahun 2001, Kerajaan telah menubuhkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat dengan diberikan mandat untuk mengendalikan isu-isu berkaitan dengan wanita serta mengangkat martabat wanita di negara ini.

Perlembagaan Malaysia telah digubal semula pada Ogos 2001 yang melarang sebarang bentuk diskiriminasi yang berasaskan gender di dalam mana-mana undang-undang.

Pihak Kerajaan masih terus memainkan peranan yang penting di dalam menyokong untuk mencapai lebih kesaksamaan gender dalam negara ini, dengan menyediakan persekitaran yang sihat untuk memajukan wanita-wanita dalam arena kebangsaan dan juga antarabangsa.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang bertanggungjawab di dalam mengetengahkan isu-isu wanita di Malaysia telah diberikan peruntukan di mana ia telah ditingkatkan daripada RM 1.8 juta (US$ 0.5 juta) pada tahun 2001 kepada RM 30.5 juta (US$ 8.6 juta) pada tahun 2005, dan ia membuktikan bahawa negara ini amat serius di dalam komitmennya terhadap isu-isu wanita.

Cabaran-cabaran yang mungkin dihadapi pada masa hadapan yang patut diambil kira termasuklah:

mengetengahkan isu-isu seperti kemiskinan yang berterusan bagi rumahtangga di mana wanita merupakan ketua keluarga;

menentang keganasan terhadap wanita; meningkatkan keberkesanan strategi-strategi yang mengutamakan gender;

mengurangkan risiko daripada dijangkiti HIV; menghapuskan halangan-halangan yang disebabkan oleh sikap yang boleh membawa kesan kepada pembinaan kapasiti;

serta meningkatkan tahap penglibatan wanita di dalam pasaran buruh, perniagaan dan di dalam politik termasuklah kerajaan.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Pandangan yang baik....harap2 Pengerusi Pelancongan & Hal Ehwal Wanita, Dato Shafik baca blog YB Dato ni agar dapat memberi "door bell" kepada beliau tentang kealpaan beliau tentang porfolio belaiu yang satu lagi ni yek!...