29 September 2008

Tenanglah di sisinya adik Farah Najihah




Selamat tinggal adik Farah Najihah Zulkifli. Doa kami adik tenang di sisi pencipta. Walapun takdir Ilahi menentukan hayatmu singkat, tetapi hati-hati yang kamu sentuh di dunia ini tidak terbilang banyaknya. Al-Fatihah.

Kanak-kanak hidap komplikasi hati meninggal
Oleh ZULKIFLI MANZOR
KUANTAN 27 Sept. – Hasrat seorang kanak-kanak berusia 11 tahun yang menghidapi komplikasi hati untuk berpuasa penuh pada bulan Ramadan tahun ini tidak kesampaian apabila dia disahkan meninggal dunia di Hospital Lipis pukul 5.30 petang ini.
Kanak-kanak malang itu, Farah Najihah Zulkifli yang penderitaannya pernah dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada 16 Oktober 2005 hanya sempat berpuasa selama 26 hari.
Penderitaan yang terpaksa dilalui oleh Farah Najihah bermula setelah dia disahkan menghidap bengkak hati oleh doktor pakar Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak berusia enam bulan lagi.
Lebih memilukan, ibu kanak-kanak tersebut, Mazidah Ibrahim, 43, memberitahu, Farah Najihah sanggup menahan sakit sepanjang bulan Ramadan ini kerana ingin berpuasa penuh walaupun ditegah berulang kali olehnya.
Menceritakan detik-detik terakhir Farah Najihah bersamanya, Mazidah berkata, anaknya itu terpaksa dikejarkan ke Hospital Lipis kelmarin apabila dia mengadu sakit perut selepas berbuka puasa.
“Ketika di hospital, kaki, tangan serta muka Farah Najihah menjadi bengkak dan tidak sedarkan diri selama 12 jam sebelum disahkan meninggal dunia hari ini,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Kehidupan Farah Najihah anak keempat daripada enam adik-beradik itu dilaporkan tidak seriang kanak-kanak lain kerana bahagian perutnya membuncit, tidak boleh berdiri, pucat dan kerap menangis kerana penyakit yang ditanggungnya.
Menurutnya, niat anaknya itu untuk berpuasa penuh dalam bulan Ramadan ini akan kekal menjadi kenangan sepanjang hidupnya terutama sewaktu menjaga Farah Najihah selepas dia disahkan menghidap penyakit komplikasi hati ketika berusia enam bulan.
“Saya beberapa kali memujuk dia supaya berbuka puasa lebih awal kerana bimbang dengan tahap kesihatannya.
“Tetapi dia tetap nak puasa, tak pernah dan tak mahu tinggal puasa walaupun saya selalu pujuk dia supaya berbuka lebih awal,’’ katanya pilu.
Mazidah memberitahu, Farah Najihah tetap ingin berpuasa walaupun keadaan kesihatannya tidak mengizinkan, ditambah pula struktur tulangnya menjadi semakin rapuh dan mudah patah.
Namun, katanya, sepanjang didesak supaya berbuka lebih awal, Farah Najihah pasti akan merayu kepada ahli keluarga supaya membenarkan dia terus berpuasa kerana ingin beraya bersama-sama keluarga.
“Dia akan kata pada saya... Mak, Yah nak puasa penuh sebulan, Yah nak raya sama-sama dengan mak.
“Hati ibu mana yang mampu menahan rayuan dan rintihan seperti itu,” katanya sambil menahan sebak.
Menurut ibunya, Farah Najihah juga tidak pernah meminta dibelikan baju raya ataupun juadah yang ingin dijamah semasa waktu berbuka selain hanya mahu menjalani ibadah berpuasa sebagaimana orang yang sihat hingga menjelang Syawal.
Difahamkan, jenazah Farah Najihah dibawa pulang dari Hospital Lipis pada pukul 6.45 petang selepas dirawat selama tiga hari dan akan dikebumikan di kampungnya di Kampung Medang dekat Kuala Lipis pagi esok.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Ibu reda pemergian Farah Najihah
KUALA LIPIS 28 Sept. - Jenazah Farah Najihah Zulkifli, 11, kanak-kanak yang meninggal dunia kerana menghidapi komplikasi hati, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Medang, dekat sini, kira-kira pukul 11 pagi ini.
Ibu kanak-kanak itu, Mazidah Ibrahim, 43, berkata, jenazah anaknya dibawa dari Hospital Lipis ke rumah mereka di Kuala Medang pada pukul 7 malam tadi.
Hadir sama menziarahi jenazah Farah Najihah ialah Pengerusi Tetap Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Abdullah Fattah Abdullah dan Pengerusi Remaja 4B Pahang, Ahmad Daniar Ismail.
Abdul Fattah yang juga Presiden Majlis Belia Pahang dan Belia 4B Kuala Medang merupakan pihak yang bertanggungjawab menubuhkan tabung kebajikan Farah Najihah untuk mengumpul dana bagi membiayai perubatan kanak-kanak itu sejak mengalami komplikasi hati agak serius tiga tahun lalu.
Mazidah berkata, dua hari sebelum meninggal dunia, Farah Najihah telah meminta disuapkan bubur nasi selain kerap menangis kerana menahan sakit.
''Saya balik ke rumah memasak bubur untuk tidak menghampakannya dan dia sempat menjamah sedikit," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kuala Medang malam tadi.
Menurut Mazidah, dia tidak tahu hendak berbuat apa-apa setiap kali melihat Farah Najihah kesakitan, kecuali memeluk anak kesayangannya itu dengan hati yang pilu.
''Sebelum menghembuskan nahas terakhir, Farah Najihah memeluk saya dengan kuat sambil berkata, ''Yah tak mahu balik ke rumah lagi, Yah sakit ni."
Dalam pelukan itu kata Mazidah, dia cuba menenangkannya sehinggalah tangisannya senyap dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan selepas itu.
Mazidah berkata, sebagai ibu, dia reda dengan pemergian Farah Najihah yang terpaksa menanggung derita sejak berusia enam bulan lagi.
Sementara itu, ayah Farah Najihah, Zulkifli Hassan, 43, berkata, anaknya itu akan menyambut hari lahir ke-12 pada 27 Oktober ini.
''Dia minta dibelikan baju raya bila dia keluar hospital nanti dan saya telah berjanji nak belikan dia sepasang baju dan kek, tetapi hajat ini tidak kesampaian," katanya.
Kata Zulkifli, mereka sekeluarga akan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi dengan persiapan ala kadar berikutan pemergian Farah Najihah itu.

Program Menyambut Pulang Anak Rantau Oleh Puteri UMNO Bahagian Maran di Tol Chenor,Maran

Disaat gembira jangan lupa mereka yang berduka




Hari Raya Aidil Fitri akan menjelang dua hari sahaja lagi.Walaupun ekonomi negara agak lembab tapi saya mendapati Pusat-pusat Membeli belah menjadi tumpuan seperti biasa. Umat Islam menyambut lebaran dengan penuh kemeriahan.Menurut seorang kawan yang berkunjung ke Jalan TAR minggu lepas,orang-ramai berpusu-pusu sehingga jam 2 pagi.Pendekata,aidil fitri tetap disambut seperti biasa.

Bagi diri saya,sambutan lebaran kali ini pastilah agak berbeza.Namun persiapan anak-anak menjadi keutamaan saya dan suami.Tapi hairan juga saya,kenapalah baju kanak-kanak harganya lebih mahal dari baju orang dewasa.Nasib baiklah anak-anak saya tidak cerewet,janji mereka ada baju baru untuk berhari raya.Yang penting ialah sambil kita bergembira,jangan lupa untuk memberi kefahaman kepada anak-anak bahawa ada orang lain yang berduka.

Tengahari tadi saya mendapat panggilan tentang kebakaran yang berlaku di Jengka 3. Sepasang warga emas yang sedang membuat persiapan menyambut kepulangan anak-anak,tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka hangus dijilat api.Mujurlah tiada kemalangan jiwa.Namun,sayu juga hati saya melihat kerepek pisang yang sedang digoreng sejurus sebelum berlaku kebakaran,bertaburan diatas tanah. Lebih sayu apabila melihat anak-anak yang baru tiba dari kota terkejut melihat rumah mereka sudah hanya tinggal abu. Tapi,bak kata orang,berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Sebagai wakil rakyat,saya terus menguruskan tempat tinggal sementara mereka dan sedaya upaya menyediakan apa sahaja keperluan segera keluarga malang ini. Terimakasih kepada pihak felda yang meluluskan segera peruntukan RM10 ribu dan YAB Menteri Besar yang bersetuju meluluskan RM5ribu untuk membaikpulih rumah keluarga berkenaan.

Sebenarnya ramai lagi diluar sana yang berduka menjelang hari yang mulia ini.Mereka yang kehilangan orang yang dikasihi sudah pasti melalui aidil fitri ini dengan kesayuan dihati.Jika ada upaya kita,hulurkan secebis rasa ihsan agar beban mereka dapat diringankan. Teringat pula saya kepada Pakcik Dolah seorang warga emas yang tinggal sebatang kara yang saya dimaklumkan tidak punya rumah tempat berteduh minggu lalu.Puas hati saya apabila Pakcik Dolah tersenyum gembira apabila saya menyediakan ruang tambahan di sebuah surau untuk tempat beliau berteduh sementara menunggu permohonan saya untuk menempatkan beliau di Rumah Seri Kenangan diluluskan.Sekurang-kurangnya Pakcik Dolah tidak perlu lagi menumpang dirumah jiran-jiran.Moga Pakcik Dolah ceria diaidil fitri ini dan keluarga Pakcik Mat di Jengka 3 tabah menghadapi dugaan atas musibah yang melanda. Terimakasih kepada Dato R yang menghulurkan wang zakatnya untuk saya agihkan kepada anak yatim di kawasan saya.Moga Aidil Fitri kali ini membawa ketenangan kepada kita semua.


27 September 2008

Keselamatan di jalan raya dan kesejahteraan di hari raya


Setiap kali tiba hari raya pastinya episod pulang ke kampung untuk berhari raya bersama keluarga merupakan saat-saat yang paling dinantikan setelah hampir sebulan melakukan ibadah puasa.

Saat ketika kita selamat sampai ke rumah orang tua sambil memeluk erat ibu bapa yang mungkin kita terlupa seketika tentang keadaan mereka sebelum ini akibat kesibukan tugas dan tuntutan kerja pastinya merupakan saat yang paling dirindui setiap kali tiba hari raya.

Dan pabila menjelang tibanya malam raya pastinya saat berkumpul bersama sanak saudara dan adik beradik yang mungkin telah lama tidak berjumpa dan bertanya khabar pastinya terlalu banyak kisah dan pengalaman yang kita ingin kongsikan bersama.

Itulah antara saat-saat indah yang sering kali mengimbau lamunan kita setiap kali tibanya hari satu syawal, hari yang begitu indah untuk seluruh umat Islam.

Namun sebelum kita berupaya untuk sampai ke destinasi yang ingin dituju, satu perkara yang selalu bermain di fikiran kita iaitu soal keselamatan di jalan raya namun pastinya ia turut ditentukan oleh takdir.

Perjalanan pulang ke kampung untuk berhari raya sebenarnya turut dikongsi bersama lebih 1.3 juta pengguna jalan raya lain sesuatu yang pastinya membuatkan kita lebih berhati-hati sebelum melangkah lebih jauh menuju ke destinasi masing-masing kerana ia membabitkan jumlah yang ramai.

Dari semua jumlah pengguna yang saya sebutkan diatas pastinya semua mereka sememangnya mahu selamat tiba ke destinasi tanpa mahu terbabit dengan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Namun setiap tahun tragedi demi tragedi yang berlaku di jalan raya begitu menyayat hati dan lebih memilukan semua itu terjadi ketika menjelang hari raya, hari dimana kita semua sepatutnya bergembira bersama ahli keluarga.

Kita semua boleh mengubah semua ini dari berlaku jika kita menanamkan sifat berhemah dan tidak terburu-buru di jalan raya di samping tidak perlu bersikap panas baran dan bergopoh gapah terhadap pemandu lain kerana kita semua berkongsi jalan raya yang sememangnya dibuat untuk semua rakyat negara ini.

Jika rakyat Malaysia boleh mengadaptasikan sifat ini dalam etika pemanduan kita pastinya sekurang-kurangnya kadar kemalangan jalan raya dan jumlah mereka yang terbunuh dapat dikurangkan.

Kita sudah terlalu mual dan jelak dengan jumlah kemalangan yang berterusan berlaku bukan kerana tidak simpati tapi sampai bila kejadian sebegini harus berterusan kerana ia membabitkan ahli keluarga yang menanti mereka dengan penuh harapan untuk meraikan hari lebaran bersama.

Tiada apa yang dapat menggantikan nyawa mereka yang terkorban akibat kemalangan ini dan hakikatnya jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah ini ialah perubahan sikap di kalangan pemandu sendiri dan bukannya ops sikap yang setiap tahun diadakan namun tiada sebarang signifikasi yang jelas ia mampu merungkai masalah yang telah menjadi barah dalam masyarakat setiap kali tiba musim perayaan.

Marilah kita bersama-sama menggerakkan kempen menjadikan golongan pemandu di negara ini sebagai pemandu yang lebih berhemah bagi menjadikan jalan raya di negara ini sebagai laluan selamat untuk semua rakyat Malaysia.

Cukuplah sudah setiap kali munculnya musim perayaan seperti hari raya, tajuk utama akhbar dan media elektronik pastinya akan dihidangkan dengan berita-berita kemalangan dan kematian yang terlalu menyayat hati.

Jadi saya melihat langkah ini adalah satu keperluan bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan penduduk negara ini termasuklah anak-anak kita supaya sentiasa selamat dan terjamin di jalan raya.

26 September 2008

UCAPAN



SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR BATIN

Detik Penentu

Pemilihan UMNO diperingkat Bahagian semakin dekat,namun isu yang paling hangat diperkatakan ialah tentang peralihan kuasa.Biarpun Pak Lah dan Datuk Seri Najib bersetuju peralihan kuasa dibuat pada Jun 2010,ada ramai juga yang mahukan ianya dilaksanakan lebih awal dari itu.Pelbagai alasan diberi tetapi yang paling menarik ialah ungkapan seorang rakan kepada saya.."Its not because of we love Pak Lah less but we love the country more".Bagi saya secara peribadi,tidak mungkin Pak Lah mahu melihat negara atau bangsanya hancur didepan mata. Sebagai Presiden Parti,mahupun Perdana Menteri,Pak Lah telah berusaha sedaya upaya melaksanakan yang terbaik tetapi apa yang menggusarkan akar umbi hari ini adalah tentang masa depan orang Melayu dan majoriti mahukan transformasi dalam perjuangan UMNO itu sendiri.

Hari ini Majlis Tertinggi UMNO mengadakan mesyuarat khas.Pelbagai spekulasi dan jangkaan dibuat tentang apa yang akan diputuskan oleh Badan Tertinggi UMNO itu.Ada andaian dibuat bahawa Pemilihan UMNO akan ditunda lagi.Ramai juga yang mengeluh,ramai juga yang setuju,tidak kurang yang mahukan ianya dijalankan segera agar tugas-tugas memperkukuhkan parti dapat dijalankan dengan lancar.Apapun,kita tunggu sahaja keputusannya.Secara peribadi,saya amat berharap,keputusan yang dicapai nanti adalah keputusan yang akan memberikan kebaikan kepada parti secara keseluruhan dan akan memberikan satu sinar baru kepada masa depan anak bangsa dan negara.

25 September 2008

PETUNJUK NABI DI HARI RAYA

(Dipetik dari internet)


Pada saat hari Raya 'Idul Fitri, Nabi SAW mengenakan pakaian terbaiknya dan makan kurma - dengan bilangan ganjil tiga, lima atau tujuh- sebelum pergi melaksanakan shalat 'Id (Raya). Tetapi pada 'Idul Adha beliau tidak makan terlebih dahulu sampai beliau pulang, setelah itu baru beliau makan sebahagian daging binatang sembelihannya.

Beliau mengakhirkan shalat 'Idul Fitri agar kaum muslimin memiliki kesempatan untuk membahagikan zakat fitrahnya, dan mempercepat pelaksanaan shalat 'Idul Adha supaya kaum muslimin bisa segera menyembelih binatang kurbannya.

Mengenai hal tersebut, Allah Ta 'ala berfirman :
"Maka dirikanlah shalat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah " (Al Kautsar: 2).

Ibnu Umar sungguh-sungguh dalam mengikuti sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam tidak keluar untuk shalat 'Id kecuali setelah terbit matahari, dan dari rumah sampai ke tempat shalat beliau senantiasa bertakbir.

Nabi SAW melaksanakan shalat Id terlebih dahulu baru berkhutbah, dan beliau mengerjakan shalat dua rakaat· Pada rakaat pertama beliau bertakbir 7 kali berturut-turut dengan Takbiratul Ihram, dan berhenti sebentar di antara setiap takbir. Beliau tidak mengajarkan dzikir tertentu yang dibaca saat itu. Hanya saja ada riwayat dari Ibnu Mas'ud radhiallahu 'anhu, ia berkata: "Dia membaca hamdalah dan memuji Allah Ta 'ala serta membaca shalawat.

Dan diriwayatkan bahawa Ibnu Umar mengangkat kedua tangannya pada setiap bertakbir.

Sedangkan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam setelah bertakbir membaca surat Al-Fatihah dan "Qaf" pada rakaat pertama serta surat "Al-Qamar" di rakaat kedua.

Kadang-kadang baginda membaca surat "Al-A'la" pada rakaat pertama dan "Al-Ghasyiyah" pada rakaat kedua. Kemudian beliau bertakbir lalu ruku' dilanjutkan takbir 5 kali pada rakaat kedua lain membaca Al-Fatihah dan surat. Setelah selesai beliau menghadap ke arah jamaah, sedang mereka tetap duduk di shaf masing-masing, lalu beliau menyampaikan khutbah yang berisi wejangan, anjuran dan larangan.

Beliau selalu melalui jalan yang berbeza ketika yang terkenal sangat bersungguh-mengikuti sunnah Nabi shallallahu berangkat dan pulang (dari shalat) 'Id.' Beliau selalu mandi sebelum shalat 'Id.

Nabi shallallahu 'alaihi wasallam senantiasa memulai setiap khutbahnya dengan hamdalah, dan bersabda :
"Setiap perkara yang tidak dimulai dengan hamdalah, maka ia terputus (dari berkah). " (HR.Ahmad dan lainnya).

Dari Ibnu Abbas radhiallahu 'anhuma, ia berkata :
"Bahawasanya Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menunaikan shalat 'Id dua rakaat tanpa disertai shalat yang lain baik sebelumnya ataupun sesudahnya. " (HR. Al Bukhari dan Muslim dan yang lain).

Hadits ini menunjukkan bahwa shalat 'Id itu hanya dua rakaat, demikian pula mengisyaratkan tidak disyariatkan shalat sunnah yang lain, baik sebelum atau sesudahnya. Allah Maha mengetahui segala sesuatu, selawat serta salam semoga selalu dilimpahkan kepada Nabi Muhammad, seluruh anggota keluarga dan segenap sahabatnya.

21 September 2008

Politik Anwar yang terdesak dan celaru

Kita semua sedia maklum DSAI gagal menubuhkan kerajaan seperti yang diuar-uarkan pada 16 September lalu dan ia pastinya akan berterusan menjadi angan-angan mat jenin yang tidak akan menjadi kenyataan dan ia boleh diumpamakan sebagai satu bahan perencah yang digunakan untuk menyedapkan lagi drama politik yang ditimbulkan oleh beliau sendiri.

Sememangnya DSAI memang seorang ahli politik yang hebat namun kehebatan beliau berpolitik digunakan untuk menjadikan keadaan politik negara semakin huru-hara sehingga menjejaskan suasana ekonomi dan politik negara. Beliau bertindak hanya untuk memenuhi nafsu serakahnya yang terlalu ingin berkuasa tanpa mempedulikan kesannya terhadap rakyat dan negara tercinta ini.

Jika satu ketika dulu sekurang-kurangnya beliau jelas dalam perjuangannya ketika masih dalam UMNO iaitu memperjuangkan bangsa melayu dan Islam seperti mana wadah dan matlamat perjuangan yang telah termaktub dalam UMNO itu sendiri.Namun kini perjuangan beliau semakin bercelaru dan caca merba tidak tentu arah tanpa hala tuju yang jelas. DSAI sengaja memainkan sentimen kaum Cina dan India bagi meruntuhkan keharmonian dan kemakmuran yang telah dibina oleh kerajaan sejak sekian lama.

Matlamat beliau dalam memperjuangkan bangsa melayu dan keutuhan Islam sebagai agama rasmi negara ini kini seolah-olah bukan lagi keutamaannya malah boleh dikatakan tidak lagi wujud. Jika dulu Islam dan semangat melayu dikatakan selalu menjadi tajuk utama ucapan dan syarahan politik beliau namun kini itu semua tidak lagi menjadi pegangan utamanya.

Malah beliau sanggup memecah belahkan parti sekutu beliau dalam pakatan rakyat iaitu Pas yang kini telah berpecah kepada dua puak iaitu mereka yang masih menyokong kepimpinan ulama dan orang lama dan golongan yang inginkan pembaharuan yang dikenali sebagai puak Erdogan. Malah Presiden Pas sendiri jelas dengan pendirian dan menolak peralihan kuasa pembangkang tidak akan menjadi kenyataan kerana tidak mahu matlamat perjuangan menubuhkan sebuah negara Islam terhalang kerana hanya mahu memberi laluan kepada seorang pemimpin yang terlalu ingin berkuasa seperti DSAI.

DSAI sanggup melakukan apa saja termasuklah melakukan spekulasi politik semata-mata mahu menarik sokongan masyarakat Cina dan India. Kini seolah-olah wujud satu keadaan tawar-menawar antara beliau dengan masyarakat Cina serta India dan ini merupakan satu langkah yang amat berbahaya kerana ia akan mengakibatkan wujud salah tanggapan interpretasi mengenai hak kaum-kaum di negara ini. Beliau dilihat sangat menyebelahi pandangan dan hak-hak masyarakat ini dan semakin meminggirkan hak dan pandangan mereka yang sebangsa dan seagama dengannya.

Kita semua harus faham semua kaum di negara ini seharusnya memahami hak mereka seperti yang telah digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan kerana perkara itu sudah dipersetujui semasa negara mahu mencapai kemerdekaan. Rakyat kini perlu kembali semula kepada semangat kerjasama antara kaum yang pernah dipupuk sewaktu Perlembagaan Persekutuan digubal. Kita tidak boleh pinda Perlembagaan mengikut alunan turun naik ombak kerana yang akan menjadi mangsa adalah rakyat dan kestabilan negara sendiri.

Namun apa yang lebih jelas DSAI kini semakin hilang arah dalam memperjuangkan impiannya untuk menjadi perdana menteri malah sanggup menikam sahabat sendiri dalam pakatan yang ditubuhkannya untuk memperoleh kuasa. Pastinya kita sendiri boleh menilai apakah orang seperti ini yang kita inginkan untuk menjadi pemimpin negara ini. Pastinya kita tidak mahu orang yang bersekongkol dan sanggup menjadi tali barut barat akan terus menghamburkan janji dan madu kepada rakyat Malaysia.

Fikir-fikirkanlah apa sebenarnya yang terbaik untuk bangsa, agama dan tanah air tercinta ini dan bukannya hanya bertindak mangikut nafsu dan marah semata-mata..

17 September 2008

ANWAR YANG KEMARUK KUASA

Hari ini telah masuk 17 September dan setakat ini masih tiada sebarang perubahan dan peralihan kuasa seperti yang digembar-gemburkan DSAI. Itulah realitinya seorang yang bernama Anwar Ibrahim yang penuh dengan tipu helah dan kepentingan politik bagi mencapai apa yang diidamkan selama ini iaitu kuasa dan impian untuk menjadi perdana menteri. DSAI sanggup menggunakan apa cara sekali pun termasuk menghancurkan negara bagi mempastikan kemaruk kuasa politiknya itu menjadi kenyataan.

Usaha membentuk kerajaan baru yang cuba dilakukan oleh Anwar hanya menggugat kestabilan negara dan membawa bahana kepada rakyat. Sebenarnya soal pembentukan kerajaan telah pun selesai diputuskan melalui pilihan raya umum pada Mac lalu dan sepatutnya matlamat kini harus ditumpukan dalam hal-hal mentadbir negara. Namun usaha yang dijalankan beliau ini hanyalah tindakan yang akan menggugat kestabilan negara, menghancurkan kestabilan politik yang akhirnya membebankan rakyat. Hanya orang tidak mampu menilai dan berfikir yang mana baik dan buruk sahaja yang akan melayan kerenah ahli politik rakus yang kemaruk kuasa seperti Anwar.

Bagi saya daripada beliau berterusan melaung-laungkan pembentukan kerajaan baru, lebih baik DSAI membuktikan keberkesanan dan peranan yang mampu dilakukan Pakatan Rakyatdi parlimen. Kita juga boleh menilai dan melihat sendiri apakah Pas mampu memainkan peranan yang berwibawa dalam Pakatan Rakyat kerana Pas kini dilihat bersikap amat berhati-hati dalam menyatakan pendirian mereka berhubung pembentukan kerajaan baru. Malah sekiranya Pas melihat Pakatan Rakyat menyisihkan parti itu dalam memainkan peranan yang lebih utama, adalah tidak mustahil sokongan mereka beralih kepada BN. Mungkin juga Pas akan menjadi pihak bebas yang memberi sokongan kepada pilihan BN sebagai Perdana Menteri.

Sejarah membuktikan Anwar pernah mencuba perkara yang sama pada era Tun Dr. Mahathir Mohamad tetapi gagal.Oleh itu cubaannya kali ini amat membahayakan kerana ia menyaksikan pelbagai kesan malah yang merbahaya dan perhatian dunia juga tertumpu kepada perkembangan politik di Malaysia. Selepas kegagalan DSAI dalam membentuk kerajaan pada 16 September lepas ini menunjukkan beliau merupakan seorang yang terburu-buru untuk mencapai matlamatnya dan akibatnya pakatan rakyat kini menjadi bahan ketawa.
Dan jika corak berpolitik Anwar ini berterusan ia mampu mengancam keselamatan negara kerana beliau tidak mementingkan kestabilan dan keamanan rakyat dan negara.

Walaupun cara yang dilakukan ini diluar batasan moral, DSAI tidak akan berhenti begitu sahaja malah tidak mempunyai perasaan malu setelah rancangannya itu gagal kerana yang penting matlamat menghalalkan cara. Beliau akan terus berusaha memperdayakan semua orang terutamanya rakyat negara ini supaya mempercayai kata-katanya. DSAI sepatutnya menumpukan usaha bagi membela nasib rakyat di kawasannya di Parlimen Permatang Pauh yang baru dimenanginya dalam pilihan raya kecil lalu. Apa yang lebih memalukan tindakan beliau yang terlalu terburu-buru untuk berkuasa itu telah menyebabkan pihak luar menanggap keadaan di negara ini sudah tidak stabil.
Kini telah mula kedengaran banyak rungutan daripada orang ramai bahawa ramai pelabur sudah takut untuk masuk ke Malaysia gara-gara perbuatan beliau.
Negara kita kini seolah-olah berada dalam keadaan tidak stabil dan inilah padahnya jika orang seperti DSAI tidak dikawal.

Bagaimanapun saya masih percaya majoriti rakyat di negara ini boleh berfikir dengan logik mengenai helah dan dakwaan DSAI matlamat sebenar rancangannya. Kita sepatutnya lebih matang berpolitik setelah 52 tahun merdeka dan pastinya kenyataan retorik oleh seorang pemimpin yang terlalu gilakan kuasa seperti DSAI ini menjadikan kita lebih matang dalam menilai dan menghakimi yang mana isi dan yang mana kulit.

12 September 2008

Apabila Panglima ATM bersuara

Baru-baru ini, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal mengingatkan bahawa isu perkauman yang ditimbulkan oleh ahli- ahli parti politik pada masa ini boleh menjurus kepada keadaan huru-hara.

Ini adalah kali pertama dalam sejarah kita tentera bercakap mengenai isu keselamatan dalam negara.

Selama ini dan secara hakikatnya, tentera terikat dengan tanggungjawab keselamatan atau ancaman dari luar.Hanya jika darurat diisytiharkan di sesuatu negara dan tentera mula bergerak di atas jalan barulah tentera akan bercakap mengenai keselamatan dalam negara.Kenyataan Tan Sri Abdul Aziz Zainal telah secara tidak sengaja menimbulkan kegemparan terutama di kalangan ahli politik dan sebahagian rakyat.

Beliau bagaimanapun selepas itu beberapa kali memberitahu bahawa bukan niat pihaknya untuk mencampuri urusan negara dan kenyataan itu hanya atas dasar prihatian terhadap keselamatan penduduk negara ini.

Saya secara peribadi yakin itulah niat suci beliau. Bukannya benda lain. Tidak ada salahnya beliau memberikan pandangan lagipun.

Tetapi kita harus faham bahawa bila Panglima ATM terpaksa bersuara mengenai kestabilan negara, maknanya mungkin baru-baru ini kita semua sudah agak terbabas sedikit atau terbawa-bawa dengan sentimen kaum tanpa kita sedari kesannya.

Semua kita begitu beriya-iya bercakap mengenai kaum sendiri seolah-olah negara kita ini baru sahaja ditubuhkan. Kita lupa sejarah panjang hubungan murni antara kaum di negara ini.

Pun begitu, ada satu lagi aspek iaitu bila datang soal hak takkan kita hendak diam sahaja kan? Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, hak kita, kita akan dipertahankan tidak kira apa pun.Jadi saya lihat satu benda iaitu jangan ada mana-mana pihak memulakan sesuatu yang sensitif. Bila mula semua hendak bercakap dan bila semua bercakap, ia akan bergerak ke arah kemusnahan.

Fikir-fikirkanlah.

10 September 2008

Bukan salah UMNO

(Terbit dalam akhbar Utusan Malaysia, 10 September)

Oleh arshad khan
(wartawan utusan)

Jika dahulu isu politik berdasarkan kaum berlaku dalam suasana terkawal dan kekerapannya tidak keterlaluan tetapi semenjak beberapa bulan kebelakangan ini ia menjadi aspek utama percaturan politik.

Banyak isu berkaitan politik yang berbangkit bukan sahaja melibatkan antara parti kerajaan dan pembangkang, tetapi semakin menyerlah antara parti dalam Barisan Nasional (BN) sendiri.

Perkara yang paling merunsingkan pula ialah wujud semacam satu kecenderungan untuk meletakkan semua kelemahan atau kesalahan dalam BN yang terbit sebelum, semasa dan selepas pilihan raya ke atas bahu UMNO semata-mata.

Ini agak pelik kerana prestasi keseluruhan wakil-wakil UMNO dalam pilihan raya lalu adalah yang terbaik jika dibandingkan dengan calon-calon parti komponen. Kelemahan BN banyak berpunca daripada kekalahan calon-calon komponen yang lain sebenarnya.

Prestasi

Menurut Ketua Penerangan Puteri UMNO, Datuk Shahaniza Samsuddin, senario semasa mencerminkan bahawa kekecewaan atas prestasi parti sendiri diubah lukanya melalui satu bentuk 'ketagihan' baru iaitu berjuang atas platform politik perkauman.

Katanya, kes Ketua UMNO Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail memberikan pengajaran bahawa kita perlu sangat berhati-hati bila bercakap mengenai kaum lain dalam senario hari ini.

"Mungkin kalau kita tidak tersilap cakap pun, ada kemungkinan kita akan dilihat bersikap ekstrem juga," kata Shahaniza menzahirkan betapa rapuhnya situasi politik antara kaum di negara ini kini.

Bagi beliau langkah terbaik yang boleh diambil ialah semua pihak mengakui kelemahan masing-masing selepas pilihan raya lalu dan mencari penyelesaian.

Menurut Shahaniza, tidak ada satu pihak yang boleh mengatakan dia bukan punca kepada hakisan sokongan untuk BN dan bertindak lepas tangan.

Kerjasama

"Meletakkan semua kesalahan di bahu UMNO bukan penyelesaian," katanya.

Secara falsafahnya, BN adalah konsep kerjasama politik yang terbaik di Malaysia kerana ia mewakili kepentingan pelbagai kaum dan agama secara bersama sejak dari sebelum kemerdekaan lagi.

"Justeru, jika rakan-rakan BN berterusan bergaduh atau bertelingkah maka mereka sebenarnya mencabuli intipati mereka berkerjasama sejak dari mula," katanya.

Situasi itu menurut Shahaniza pasti akan mengecewakan pemimpin terdahulu yang telah bersetuju untuk bergabung dan berjuang bersama dalam satu perikatan untuk semua kaum dan bukannya untuk satu pihak tertentu.

Jelasnya, BN sedang menuju ke satu arah yang mana ia mungkin tidak dapat diselamatkan jika ahli-ahlinya bersikap curiga mencurigai antara satu sama lain.

"Pihak yang benar-benar mendapat faedah adalah pembangkang secara berterusan tampil dengan pelbagai retorik untuk membantu rakyat," katanya.

Sehubungan itu kata beliau, perlu ada usaha mewujudkan BN baru yakni BN yang lebih gagah, lebih yakin dan mempunyai fokus baru pasca pilihan raya umum 2008.

"Mungkin tiba masanya kita juga perlu memberikan harapan baru kepada rakyat," jelas Shahaniza.

Perkuatkan barisan, jangan lagi pandang belakang

Kita kini berhadapan dengan isu perkauman yang pada awalnya hanya satu isu terpencil dan tidaklah begitu signifikan kesannya terhadap penduduk berbilang kaum dinegara ini. Ini kerana rakyat Malaysia tidak perlu mempersoalkan asal usul keturunan masing-masing sebaliknya menerima hakikat bahawa semuanya adalah warga negara ini. Adalah lebih baik semua pihak tidak menimbulkan persoalan tersebut demi menjaga hati dan perasaan pihak lain.

Namun sekarang ia telah pun terjadi dan kita tidak boleh lagi berpatah balik untuk menarik balik kenyataan tersebut yang telah dikeluarkan oleh Ketua Bahagian Bukit Bendera, Dato Ahmad Ismail.Kini perkara paling penting sekarang ialah mengukuhkan perpaduan dalam erti kata yang sebenar-benarnya untuk memastikan negara terus stabil dan maju. Pak Lah sendiri telah memberi amaran supaya isu perkauman sebegini jangan lagi dibangkitkan dan diperbesar-besarkan. Apa yang lebih penting, kita harus bangga menjadi rakyat Malaysia yang mempunyai penduduk berbilang kaum.

Dalam hal ini kita perlu mencontohi peranan yang dilakukan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta maaf bukan kerana melayu kini semakin lemah tetapi demi kebaikan dan menghargai semangat setiakawan dalam BN. Kenyataan beliau ini mewakili semua, sedangkan Ahmad membuat kenyataan itu secara peribadi.

Sesungguhnya peristiwa ini sedikit sebanyak memberi pengajaran kepada kita supaya jangan membuat sesuatu kenyataan yang mampu memecah belahkan BN dan rakyat.Memang benar melayu akan terus menjadi bangsa yang dominan dan dihormati kerana bangsa melayu itu sendiri merupakan bangsa yang kuat dan ketuanan melayu dinegara ini pastinya akan terus dipertahankan tanpa sebarang perasaan berbelah bagi.

Namun itu bukan tiket untuk kita mencerca bangsa lain yang banyak membantu serta berperanan penting dalam membangunkan negara ini sejak sekian lama.
Dan pastinya peristiwa ini tidak akan memecah belahkan BN namun akan terus menjadikan ia satu parti yang tetap utuh serta akan terus menjalankan tanggungjawab serta amanah untuk memerintah negara ini seperti mana mandat yang diberikan oleh rakyat pada pilihan raya lepas. Semangat kekitaan di dalam BN adalah amat tinggi dan semua parti komponen haruslah menganggap BN sebagai parti milik mereka yang perlu dipelihara dan disayangi.

Patinya BN adalah sebuah parti yang bertanggungjawab dan BN tidak akan mensia-siakan setiap kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat sejak sekian lama.

07 September 2008

Minta Maaf Ya....

Dua,Tiga hari ni,isu minta maaf ni mula diperkatakan.Minta Maaf salah,tak minta maaf pun salah. Ironinya,isu ini timbul di bulan Ramadhan,bulan yang dikatakan sebagai bulan kemaafan.Ramai yang mengeluh kepada saya,apa perlunya TPM minta maaf atas kenyataan Datuk Ahmad Ismail.Kenapa tidak ada seorang pun pemimpin Cina yang minta maaf kepada kita atas kebiadapan seorang budak Cina mempersenda lagu Negaraku.Tiada juga seorang pun pemimpin India memohon maaf atas hingar-bingar yang dicetuskan oleh Hindraf..balik-balik kita....kata seorang teman.

Apa yang diperkatakan ada benarnya tetapi walau pun saya sendiri secara peribadi turut rasa tersinggung namun saya percaya,kita semua perlu mengambil langkah yang bijak sana jika mahu negara ini terus aman dan sentosa.Mahu tidak mahu,perkara yang lepas telahpun menjadi sejarah.Kita telahpun menerima bangsa-bangsa lain menjadi sebahagian dari kita.Yang ruginya kita.Sebab kita terlalu baiklah,sebab kita terlalu percaya kepada semangat setiakawanlah,banyak perkara yang menjadi milik kita telah terlepas ketangan orang lain.

Saya tidak menafikan hakikat bahawa ramai generasi muda hari ini tidak lagi mahu membicarakan tentang politik yang berasaskan kepada kaum.Tetapi mereka lupa bahawa asas kepada diri kita adalah bangsa kita sendiri.Sejak sekian lama kita menjadi contoh kepada negara lain tentang perpaduan kaum tetapi kini ianya semakin dilupakan.Oleh kerana mahukan 'kesamarataan' lah,sikap toleransi dan menghormati kaum lain kian pudar. Atas sebab itulah juga agaknya ada yang akan menerima cadangan supaya masjid-masjid dan surau memperlahankan azan subuh atau hanya melaungkan azan tanpa pembesar suara seperti di Singapura. Atas nama itulah juga nanti,ada yang akan cadangkan supaya perkahwinan campur antara agama seperti di Indonesia dibenarkan.nauzubillah...

Sebenarnya apa yang cuba dipertahankan hari ini bukanlah hanya kepentingan kaum Melayu sahaja tetapi juga hak sepertimana yang telah dipersetujui sebelum ini.Saya pernah menjadi panel program Debat Perdana RTM 1 tiga tahun yang lalu.Turut sama menjadi panel ialah seorang pemimpin pemuda DAP. Beria-ia mahukan konsep Bangsa Malaysia disegerakan tetapi bila kita cadangkan supaya semua kaum hanya bertutur dan belajar di Sekolah Kebangsaan dalam bahasa rasmi,bahasa Malaysia..beliau menolak.

Mintak maaflah ya..bukan la nak emosi dalam isu ini tetapi kita kena fikir betul-betul.Jangan hanya ikut trend sepertimana PKR. Saya pernah bekerja di firma guaman milik Cina selama 2 tahun sewaktu mula-mula jadi Peguam dulu,memang bagus persekitarannya yang sentiasa wujudkan budaya saing antara pekerja,tetapi mereka masih ada persepsi negatif terhadap bangsa kita,gaji saya dengan gaji seorang lagi peguam yang junior 2 bulan dari saya,bezanya banyak.Gaji Mr Tee lebih tinggi dari saya,walaupun bidang tugas saya lebih banyak dari dia.Gaji permulaan kerani juga berbeza antara Cina,Melayu dan India. Tetapi bila saya bekerja di firma milik Melayu staf berbangsa cina kita layan samarata macam bangsa lain juga. Bila saya ada firma sendiri,nak dapat kerja dari Pemaju Hartanah Cina,memang susah,kalau dapat pun,yuran guaman dipotong sesuka hati mereka hingga kadang-kadang cecah 50%.

Ada orang kata,kita tidak boleh hidup tanpa sokongan bangsa lain.Ramailah orang kita yang buat bisnes Ali Baba.Tetapi ramai juga orang kita yang mampu berdikari dan mencipta kejayaan. Datanglah ke Bandar Jengka,disini bandarnya 100% milik Bumiputera. Bangga melihat kejayaan anak bangsa yang mampu menjadi jutawan hasil titik peluh mereka.Bandar Jengka yang menjadi nadi kepada 24 tanah Rancangan Felda Wilayah Jengka,sepatutnya lah menjadi Bandar Contoh kepada bangsa kita.Yang penting ada kemahuan.

Walaupun ada orang kata,orang yang memaaf lebih baik dari yang meminta maaf,tetapi bagi saya,bukan sekadar kemaafan yang diberi atau diterima tetapi sesuatu yang drastik perlu dilakukan untuk memulihkan semula perasaan hormat menghormati antara kaum yang telah kita nikmati selama ini. Kalau kita boleh menerima wujudnya tokong atau kuil di kampung kita,janganlah pula ada yang merungut bila azan subuh dilaungkan di taman-taman perumahan!

05 September 2008

Ramadhan Pertama Sebagai Wakil Rakyat

Semalam giliran saya berbuka puasa dengan penduduk di Pekan Sungai Jerik setelah sebelumnya di Felda Jengka 1. Walaupun saya ada mesyuarat Puteri UMNO di PWTC pada jam 2.30 ptg,saya bergegas juga pulang untuk menunaikan janji saya berbuka puasa di Surau Kg Sg Jerik.Pukul 4.30 dari PWTC,saya sampai jam 6.15 ptg,elok-elok Majlis hendak dimulakan.

Pekan Sg Jerik majoritinya penduduk Cina yang terdiri dari pekebun-pekebun sayur.Ada juga kaum India dan Melayu yang bekerja di Estet. Surau yang didirikan dipinggir bandar,berada dalam keadaan yang baik tetapi agak kecil dan tiada ruang untuk jemaah wanita,saya terpaksa menunggu jemaah lelaki selesai solat maghrib,barulah saya dapat bersolat. Selesai solat,saya bersembang dengan beberapa orang penduduk dan bertanya kenapa tidak suruh JKKK minta peruntukan membesarkan surau. Rupa-rupanya barulah saya tahu,tiada seorang pun wakil Melayu yang dilantik dalam JKKK. Untuk pengetahuan pembaca,walaupun wakil rakyat berkuasa menentukan ahli JKKK tetapi dalam kes yang melibatkan JKKK Kg Baru Cina,akan ditentukan oleh Exco dari kaum Cina juga. Saya rasa tersinggung dan memanggil Ketua Kampung,saya tegaskan,dalam lantikan baru pada awal tahun depan,saya mahu ada sekurang-kurangnya seorang wakil dari kaum Melayu. Terdetik di hati saya,kalau-kalau Lim Kit Siang jadi PM..apalah agaknya nasib orang Melayu?

Saya kesal kerana saya tidak diberitahu tentang perkara ini lebih awal.Selepas menyampaikan sumbangan kepada fakir miskin, saya terus menghantar sms kepada Menteri Besar mohon untuk membesarkan surau tersebut. Alhamdulillah,MB setuju dan minta saya buat anggaran kos dengan segera. Tok Imam pula membisikkan kepada saya bahawa mereka tiada kemudahan memandikan jenazah seperti takung dan sebagainya.Saya terus memanggil Ketua Pemuda dan meminta bantuannya untuk membeli peralatan tersebut dengan segera. Bagi diri saya,perkara sebegini tidak perlu tunggu peruntukan,kalau bukan saya wakil rakyat pun,saya tetap akan belikan.

Syukur Alhamdulillah, di bulan Ramadhan ini Allah swt permudahkan urusan saya untuk membantu rakyat. Pagi ini,saya mendapat berita gembira dari pejabat YAB TPM,permohonan saya untuk membina Masjid baru di Kg Kuala Sentol telah pun diluluskan.Terbayang saya betapa gembiranya penduduk kampung yang telah lama mengharapkan Masjid baru ini,bila mendengar berita ini kelak.

Namun begitu, sedih juga saya dengan nasib penduduk di Felda Ulu Jempol dan Jengka 2 yang dah 4 hari terputus bekalan air akibat kerosakan loji. Walaupun pelbagai usaha telah dibuat oleh pehak JBA,loji masih gagal dibaiki.Nak tunggu loji baru siap,ambil masa 18 bulan lagi...dugaan..dugaan..bertalu-talu saya menerima sms dan panggilan telefon daripada rakyat yang sudah mula hilang sabar...saya mengurut dada dan beristighfar,mohon supaya jangan pula saya yang hilang sabar.. Apapun,kini saya hanya mampu memastikan JBA hantar lori tangki air yang cukup ke kawasan yag terjejas.

Petang ini,saya akan berbuka di Masjid Ulu Jempol,harap-harap kegusaran dan keresahan mereka kerana tiada bekalan air dapat saya redakan sedikit dengan berita bahawa mereka akan menerima sebuah Van Jenazah dalamasa terdekat,sumbangan ikhlas daripada Masjid Kg Baru Kuala Lumpur dan Yayasan Zikay.Moga Allah terus murahkan rezeki sahabat saya Dato Mohd Khay b. Ibrahim yang sentiasa membantu saya dalam hal-hal kebajikan seperti ini.

Apapun,Ramadhan pertama saya sebagai wakil rakyat,tidak akan saya lupakan dalam sejarah hidup saya.Mendekati dan bersama dengan rakyat memberi seribu keinsafan dan perasaan yang sukar digambarkan. Moga Allah akan terus memberi saya kekuatan dan ketabahan.Amin.

02 September 2008

ANWAR TANDUS IDEA

Cadangan DSAI supaya tarikh 16 September diisytiharkan cuti umum hanya dilihat sebagai gimik ahli politik yang bankrap idea dan hanya bertujuan mengalih perhatian rakyat dari isu-isu yang lebih besar kerana tiada apa-apa yang signifikan jika 16 September diisytiharkan cuti umum atau tidak.

Soalnya kenapa baru sekarang beliau timbulkan soal ini setelah kita mencapai kemerdekaan sejak 51 tahun lepas dan setelah 45 tahun Malaysia terbentuk.

Apakah dengan adanya cuti umum kita akan dilihat lebih patriotik.

Rakyat Malaysia telah menyambut kemerdekaan pada setiap tahun pada 31 Ogos, oleh itu ia sudah memadai dan tidak perlu satu tarikh lain bagi tujuan berkenaan.

Adakah tindakan menimbulkan isu ini lebih kepada kerana DSAI dilihat gagal menubuhkan kerajaan pada tarikh tersebut seperti yang diuar-uarkan selama ini.

Jadi DSAI sengaja mencipta satu isu khusus seperti ini bagi mengalih perhatian rakyat.

Kalau DSAI sudah mempunyai bilangan anggota Parlimen yang cukup untuk berpaling tadah dia tidak perlu tunggu tarikh berkenaan kerana dia boleh menubuhkan kerajaan lebih awal.

Namun kini beliau sendiri pun nampaknya belum pasti.

Saya nampak DSAI cuba melaksanakan pendekatan politik yang boleh menghancurkan negara dengan membawa implikasi perpecahan serta menggugat kestabilan negara.

DSAI sebenarnya sedang memulakan satu cara politik yang tidak sihat dan berisiko tinggi kepada Ketuanan Melayu dan masa depan negara tercinta.

Ini pastinya bukan budaya politik matang yang kita mahukan setelah 51 tahun merdeka.
Sedarlah rakyat Malaysia bahawa keamanan dan kestabilan itu bukanlah sesuatu yang boleh dijual beli.

Lihatlah sendiri apa yang berlaku kepada negara jiran kita, Thailand yang berhadapan dengan kemelut politik sehingga mengakibatkan sesama penduduk sendiri berbunuh dan berperang kerana ketaksuban kepada politik.

Kita pastinya tidak mahu negara kita berakhir dengan tragedi sebegini... Nauzubillah

Perlukah Tun M kembali kepangkuan UMNO?

Terpanggil juga saya untuk membicarakan tentang isu yang tercetus dari usul yang dibawa oleh beberapa cawangan UMNO di Langkawi yang mahukan Tun Mahathir kembali menyertai UMNO. Bagi saya secara peribadi,semuanya terserah kepada Tun sendiri.Tiada siapa yang menyuruh beliau meninggalkan UMNO dulu dan pada saya,beliau hanya keluar secara fizikal sahaja,tetapi hati dan jiwanya masih kuat lagi mencintai UMNO.

Umno bukan milik sesiapa secara peribadi.UMNO adalah wadah perjuangan memartabatkan agama,bangsa dan negara.Pemimpin datang dan pergi tetapi perjuangan mestilah diteruskan.Dato Onn sendiri yang menubuhkan UMNO,meninggalkan UMNO tetapi beliau sendiri akur bahawa tertubuhnya UMNO bukan untuk perjuangan dirinya sendiri tetapi perjuangan seluruh umat Melayu.Biarpun keluar UMNO atas sebab peribadi,jasa dan budi beliau tidak pernah dilupakan.Begitu juga dengan Tun,sejarah tetap sejarah dan tidak ada sesiapa yang berhak memadamkannya.Kalau Ezam pun boleh diterima kembali,inikan pula Tun yang berjuta kali telah banyak berjasa kepada UMNO.Bagi diri saya,walaupun saya tidak amat bersetuju dengan Tun yang menghentam Kerajaan yang pernah satu masa dulu diterajuinya,tetapi jasa yang telah dicurahkan tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.Tun yang bertanggungjawab melahirkan Puteri UMNO pada 2001 dan dengan penubuhannya,ramai golongan profesional melayu muda mula diterima sebagai pemimpin pelapis UMNO termasuk saya sendiri.

Memang benar,masa telah berubah.Iklim politik hari ini tidak sama macam dulu.Hari ini,hasil dari perjuangan UMNO sendiri,rakyat sudah jadi cerdik pandai.Sudah pandai membanding,sudah pandai 'demand',dan ada juga yang sudah mula lupa bahawa satu ketika dulu kita jauh ketinggalan dibandingkan dengan bangsa asing. Dulu melayu hanya layak jadi peon tapi sekarang sudah jadi Tuan DO,di daerah saya Maran,Pegawai Daerahnya orang perempuan..sesuatu yang tidak terjangkau diakal fikiran pada suatu ketika dulu.Dulu melayu yng jadi doktor dan lawyer hanya boleh dibilang jari tetapi sekarang ni,bak kata kawan saya,kalau lempar sebiji batu kat KL tu,pasti terkena kepala seorang lawyer.Dulu,kalau ada tv warna,heboh sekampung berkumpul tonton cerita Melayu setiap malam Jumaat tetapi hari ini,sebuah rumah ada lebih dari sebuah tv.Kalau dulu malu nak mengaku anak peneroka tetap hari ini,orang bandar pula yang bangga bermenantukan anak peneroka.

Walaubagaimanapun,tidak ada apa yang nak dihairankan..kerana dalam AlQur'an juga telah disebut bahawa,dalam diri manusia ada segumpal darah yang juga disebut hati..hati yang sentiasa berubah-rubah. Jika Tun mahu kembali,apa salahnya....buang yang keruh,ambil yang jernih.Insan baik seperti Pak Lah tentu tidak akan menolak sesuatu yang boleh membawa kebaikan kepada UMNO dan bangsa Melayu itu sendiri.

01 September 2008

Marhaban ya Ramadhan

Ramadhan kali ini sungguh berbeza bagi diri saya sekeluarga.Maklum saja,kali ini saya menyambut Ramadhan di Jengka. Kehadiran Ramadhan kali ini membawa satu harapan baru dan saya panjatkan doa kehadrat yang Maha Esa agar negara kita di selamatkan dari sebarang bala.Kali ini,Ramadhan bukan sahaja akan saya lalui sebagai seorang insan yang bergelar isteri dan ibu tetpi juga sebagai seorang wakil rakyat yang sudah pastinya menuntut saya untuk bersama-sama dengan rakyat saya berbuka dan bertarawih.

Alhamdulillah,jadual untuk saya berbuka di 9 buah Masjid di kawasan saya telahpun diatur mulai 3 Ramadhan nanti. Selain berbuka dan beramah mesra dengan masyarakat,golongan fakir dan miskin akan diberi bantuan dan perhatian.Syukur kerana Allah memberi saya jalan untuk berbakti dan berkhidmat.

Ramadhan kali ini juga pasti memberi pengalaman baru kepada anak-anak saya. Munzir yang sulung,yang kini belajar di Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur,pasti teruja dengan pengalaman pertama berpuasa bersama rakan-rakan di asrama. Teringat saya,waktu Tingkatan 1 di Maahad dulu,hari pertama bersahur di asrama,saya menangis teringatkan emak di kampung.

Esok,Ammar (10 tahun) dan Ateef (8 tahun) akan memulakan hari pertama mereka di sekolah baru mereka,Sekolah Kebangsaan Bandar Pusat Jengka.Tak sangka pula anak-anak akan bersekolah di sekolah yang mana Ayah saya pernah bertugas sebagai Guru Besar pada akhir 80an dulu.Walaupun berada dalam persekitaran dan suasana yang agak berbeza dari Kuala Lumpur,saya lihat anak-anak dapat menerima dengan baik kehidupan di Pekan Kecil yang penduduknya seratus peratus Bumiputera ini. Amzar yang akan meraikan ulang tahun ke 4 kelahirannya esok dan Aeen (2 tahun) lah yang paling gembira kerana rumah kami di Jengka ini mempunya kawasan lapang yang luas untuk mereka bermain.

Tak sabar pula saya untuk membawa anak-anak saya bersama berbuka puasa dengan rakyat di kawasan saya. Biarlah mereka didedahkan dengan tugas ibu mereka agar mereka turut memahami dan menghayati perjuangan yang saya bawa ini. Di Ramadhan ini,saya berdoa agar anak-anak saya akan membesar menjadi insan yang beriman dan akan meneruskan perjuangan membela agama,bangsa dan negara.

Kepada rakan-rakan bloggers,marilah kita hayati Doa Malaikat Jibril menjelang Ramadhan..."Ya Allah,tolong abaikan puasa umat Muhammad apabila memasuki bulan Ramadhan tidak melakukan hal-hal berikut:- 1.Tidak memohon maaf kepada kedua orang tuanya, 2.Tidak bermaafan antara suami dan isteri, 3. Tidak bermaafan terlebih dulu dengan orang-orang disekitarnya..."

Salam Ramadhan,Salam kemaafan dari saya sekeluarga.