08 Januari 2009

Cinta Palsu PAS, DAP

(Petikan:http://www.malaysia-instinct.com)

Thursday, 08 January 2009 11:28
Oleh Lebah Kota

Mungkin hubungan politik yang paling sensasi dan penuh kontroversi masa kini adalah antara PAS dan DAP.

Hubungan mereka boleh diibaratkan bahawa PAS umpama penyanyi nasyid yang sudah bertunang dan merancang untuk berkahwin dengan penyanyi opera Cina.


Lebah Kota menggunakan istilah sudah bertunang kerana ketika ini kedua parti berkenaan telah bergabung di beberapa negeri untuk menubuhkan kerajaan negeri.

Merancang untuk berkahwin pula merujuk kepada kemungkinan kedua-dua parti itu bersatu untuk mentadbir negara suatu hari, seperti yang diidam-idamkan mereka selama berpuluh tahun.

Seperti mana perkahwinan adalah satu langkah yang lebih besar daripada pertunangan, maka keinginan untuk mentadbir negara juga adalah satu langkah yang lebih besar berbanding mentadbir negeri.

PAS dan DAP umpama artis dalam industri yang sama tetapi mendukung cabang muzik yang mempunyai perbezaan antara langit dengan bumi.

Bagaimanapun, keduanya kelihatan bersungguh-sungguh mahu hidup bersama dan berusaha mewujudkan satu rentak baru muzik dan mungkin rentak terbaik yang boleh dicapai ialah nyanyian nasyid dalam nada opera Cina. Sungguh hodoh bunyinya kan.

Sebuah lagi pihak, Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula memainkan peranan pencari jodoh atau match maker dengan cuba memastikan PAS dan DAP dapat hidup bersama demi keuntungan dirinya juga.

Penulis kurang berminat untuk mengulas mengenai PKR kerana sifat pencari jodoh adalah menjaga kepentingan diri sendiri secara keterlaluan.

Sebaliknya, hakikat yang pasti, kedua-dua pihak (PAS dan DAP) ini sebenarnya sedang menjalani episod percintaan yang begitu hangat tetapi sebenarnya dibina atas dasar kepalsuan semata-mata.

Mereka bermadu kasih hanya untuk membolehkan diri merasa nikmat memegang kuasa.

Bagaimana PAS dan DAP hendak berkahwin suatu hari nanti jika cinta yang wujud di alam pertunangan mereka adalah cinta palsu?

Secara lebih tepat, bagaimana PAS hendak meneruskan mentadbir negara jika 'pasangan hidupnya' dengan jelas menolak ideologi utama parti berkenaan iaitu menjadikan Malaysia negara Islam sejati yang mana antara ciri utamanya ialah perundangan berdasarkan hudud.

Ketika dalam peringkat bertunang pun DAP sudah menolak dengan keras hasrat PAS itu, namun keduanya masih bersama kerana jika berpecah, maka kebanyakkan negeri-negeri yang dipegang mereka akan tumbang dan kembali kepada BN.

Di sinilah nyata bahawa cinta PAS dan DAP adalah cinta palsu. Jika cinta mereka sejati, maka DAP pastinya akan menerima PAS dengan seadanya termasuk menerima ideologi parti itu yakni menegakkan hukum hudud di negara ini.

Namun hakikatnya, DAP hendak sehidup semati dengan PAS tetapi mahu hubungan itu berlangsung mengikut kehendaknya dan apa yang menyedihkan, setakat ini PAS seakan bersetuju.

Ia tidak pun bercakap banyak ketika DAP menolak mentah-mentah niatnya untuk mewujudkan hukum hudud di negara in. Keadaan ini seperti DAP 'queen control' atau dengan kata lain PAS takut bini.

Apakah boleh wujud kebahagian dalam rumahtangga yang dibina atas dasar nafsu semata-mata (nafsu untuk berkuasa), kepura-puraan dan penipuan.

Jika itulah asas hubungannya, maka yang bakal wujud adalah sebuah rumahtangga yang porak-peranda kerana ia bermula dengan cinta palsu yang dibayangi nafsu semata-mata.

Pilihan raya kecil Kuala Terengganu bakal menyaksikan cinta palsu PAS dan DAP teruji sekali lagi. Kedua mereka pasti akan mahu membuktikan keutuhan cinta palsu masing-masing dengan harapan untuk menang di kawasan itu.

Apa pun, PAS dan DAP boleh meletakkan lakonan kebahagian yang terbaik, tetapi keputusan akhir bakal terletak di tangan pengundi.

Justeru, kepada bakal pengundi, apakah anda ingin meletakkan masa depan anda di tangan satu pasangan yang hidup dalam kepura-puraan dan tiada matlamat hidup.

Fikirkanlah sendiri, apakah pasangan seperti ini yang sanggup berpura-pura berkasih antara satu sama lain demi kuasa dan kebahagian yang dipertontonkan hanyalah untuk terus memegang kuasa boleh menjanjikan sebarang kebahagian kepada pihak lain?

Tiada ulasan: