28 Januari 2008

Pilih Jangan Tak Pilih

Sejak tiga minggu lepas, topik yang hangat menjadi perbualan,pastilah
teka teki tentang tarikh Pilihanraya. Macam-macam teka-teki timbul.
Macam-macam ramalan muncul. Saya sendiri sentiasa diasak dengan
pertanyaan, bila pilihanraya? bertanding ke? walaupun mereka yang
bertanya tahu hakikat bahawa saya memang tiada jawapan kepada
persoalan tersebut tetapi memang itulah pertanyaan popular yang saya
dengar sejak kebelakangan ini. Saya percaya anda juga,bukan?

Rakan-rakan wartawan dari akhbar harian mula kerap menelefon
bertanyakan pendapat untuk menjadi bahan artikel mereka. Dek kerana
keghairahan dengan isu dan cuba menulis sesuatu yang lain,agaknya,
saudara Zulkifli Hamzah tersalah menulis jawatan saya dam Puteri UMNO
dalam tulisan beliau yang bertajuk 'Memancing Undi Orang Muda' yang
disiarkan dalam Mingguan Malaysia bertarikh 27hb Januari,2007.Namun
mesej yang ingin disampaikan beliau dalam artikel tersebut saya kira
secara keseluruhannya telah disampaikan dengan cara yang menarik dan
bersahaja. Undi orang muda tidak boleh dipandang remeh.

Saya lihat, para pemimpin yang ditugaskan membuat senarai calon juga
berdepan dengan cabaran. Maklumlah, mereka terpaksa membuat keputusan
yang terbaik dalam menentukan bukan sahaja masa depan parti tetapi
masa depan negara itu sendiri. Hari ini, dikatakan ramai pengundi
meletakkan faktor calon mengatasi faktor parti. Dan pastinya mereka
tidak mahu dipersalahkan jika memilih calon yang tidak digemari rakyat
nanti.

Yang pasti, dalam kita ternanti-nanti keputusan para juri profesyenal
ini, tugas dan tanggungjawab haruslah diteruskan. Golongan muda yang
menjadi suara penentu kepada keputusan Pilihanraya nanti,harus
menggunakan segala pertimbangan yang wajar.Ikutlah pepatah orang tua,
Jangan Ikut hati,nanti mati,Jangan ikut rasa,nanti binasa. Hakikatnya,
keharmonian dan kestabilan negara hanya dapat dicapai melalui Kerajaan
Barisan Nasional.Tidak perlulah kita ragui lagi,kerana kalau bukan BN
yang memerintah sejak 50 tahun yang lalu,mungkin kita masih
ketinggalan sepertimana anak muda di negara ketiga yang lain. Mungkin
ramai yang mencebik bila saya katakan demikian.Tetapi,cubalah kita
memuhasabah diri,adakah kejayaan yang kita kecapi hari ini,secara
totalnya hasil usaha kita sendiri?

Memang benar, ia adalah kerana takdir Allah taala tetapi bukankah
nasib sesuatu kaum itu,ditentukan oleh kaum itu sendiri? Janganlah
kita menjadi insan yang tidak tahu bersyukur dan melupakan sejarah.
Cubalah menilai kata-kata Datuk A Samad Said,"Kita tidak tiba-tiba
berada disini,ada sejarah yang mengekori kita". Tidak perlulah kita
berdemonstrasi serta mempersenda orang lain dengan kata-kata yang kita
sendiri malu hendak menyebutnya. Kalau diri sendiri tidak
betul,bagaimana kita dapat menilai tentang orang lain? Kalau hari ini
kita memaki hamun kerajaan yang telah banyak berjasa kepada kita,tidak
mustahil esok lusa kita pula akan dimaki hamun oleh orang yang kita
sendiri kasihi selama ini.

Pilih,jangan tidak pilih. Ada parti pembangkang mahu jadikan Malaysia
negara kebajikan. Bunyi macam lepas ni,kita semua jadi penghuni rumah
kebajikan. Bukankah tangan yang memberi lebih baik dari yang menerima?
Bukankah Allah taala menyuruh kita mencari kekayaan yang melata dimuka
bumi dan yang terpendam didasar lautan untuk menjadikan kita insan
yang lebih bersyukur? Kerajaan hari ini, memberi pelabagai kemudahan
untuk kita berusaha dan menjadi insan yang berjaya . Kita tidak mahu
rakyat menjadi insan yang hanya tahu menerima tetapi juga mampu untuk
memberi. Lagipun memberi dan menerima adalah resepi keharmonian.Jangan
kerani dapat sekali,hilang semua.

1 ulasan:

h.h berkata...

HIDUP BN!!!! JOM UNDI BN RAMAI2... ! undi jgn x undi....