09 Januari 2008

TAULADAN YANG DIPIMPIN, SEMPADAN YANG DIBINA

Ramai pemimpin hari ini menganggap apa yang mereka lakukan dalam kehidupan peribadi mereka adalah hak eksklusif mereka dan tidak sepatutnya menjadi halangan dalam mereka melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin. Apa yang penting ialah apa yang mampu di lakukan oleh mereka untuk rakyat. Dalam kata lain, kehidupan peribadi mereka tidak akan mempengaruhi pemikiran dan perlaksanaan tanggungjawab mereka kepada rakyat. Inilah antara topik bualan kebanyakan dari kita diawal tahun 2008 ini selain dari kesah minyak masak yang tiba-tiba berkurangan di pasaran. Walaubagaimanapun, apa yang berlaku kepada Dato Sri Dr Chua Soi Lek, harus menjadi iktibar kepada semua.

Kredibiliti Chua sebagai Menteri Kesihatan tidak pernah dipertikaikans elama ini. Seorang yang berfikiran terbuka,dekat dengan akar umbi dan tekun bekerja menjadikan beliau seorang pemimpin yang disenangi di Kementerian dan digeruni dalam diam oleh kawan dan lawan. Apabila skandal seksnya didedahkan kepada umum oleh pehak yang tidak bertanggungjawab, ianya nyata menjadi peluru berpandu scud kepada musuh politik beliau untuk menghancurkan bukan sahaja kareer politik beliau tetapi juga kehidupan keluarganya. Dr Chua mungkin boleh menghadapi akibat dari perlakuannya sendiri tetapi apakah dosa isteri serta anak-anaknya untuk menerima hukuman dipandang serong oleh masyarakat selepas ini.


Seorang teman yang menelefon saya sehari selepas perletakan jawatan Dr Chua berasa begitu terkilan kerana menurutnya Dr Chua telah berkhidmat dengan baik dan tidak sepatutnya kehidupan peribadinya mengekang beliau untuk terus berkhidmat. "Kalau isteri dan keluarganya dapat menerima, mengapa tidak kita? Mengapa masyarakat menghukum beliau sebegitu rupa?" tegas teman saya itu. Hendak buat macamana, walaupun Dr Chua diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan selama ini, beliau mesti akur bahawa masyarakat yang mengundi beliaulah yang sebenarnya telah menaruh sepenuh kepercayaan kepada beliau untuk menjadi pemimpin selama ini. Berapa ramai yang telah ditunjuk oleh pucuk pimpinan menjadi calon dalam pilihanraya tetapi tidak terpilih mewakili rakyat kerana rakyat tidak mempunyai sepenuh keyakinan terhadap kewibawaan sesorang itu untuk menjadi pemimpin. Rakyat sekarang bukan seperti dulu, mereka sudah tahu menilai dan pasti mahukan yang terbaik dikalangan yang terbaik untuk menjadi pemimpin mereka. Oleh kerana kuasa memilih ditangan rakyat, maka kita semua tidak boleh lari dari dipandang oleh rakyat dari perspektif mereka.


Kepada teman saya itu, saya mengingatkan bahawa nilai dan moral adalah sesuatu yang subjektif untuk diterjemahkan mengikut perspektif sesorang atau sesebuah masyarakat itu. Di Barat, walaupun mereka lebih maju dan mempunyai keterbukaan dalam banyak perkara termasuk membenarkan perkahwinan golongan gay, masih lagi tidak dapat menerima pemimpin mereka yang mempunyai skandal seks. Clinton akan lebih dikenang kerana skandalnya dengan Lewinsky jika dibandingkan sumbangannya selama dua penggal menjadi Presiden Amerika, begitu jugalah halnya dengan Dr Chua, kerja kerasnya di Kementerian kini tidak lagi dipandang orang.


'Tidak adil!" tegas teman saya lagi. "Dia tak kacau sesiapapun, itu hal peribadi dia dan selagi tidak menjejaskan komitmen dan prestasinya sebagai pemimpin, kenapa kita perlu kecoh?" rungut teman saya lagi. Ada benarnya apa yang dikatakan teman saya itu tetapi majoriti masyarakat kita belum lagi boleh menerima pendapat sedemikian. Orang kita masih menganggap bahawa pemimpin adalah contoh dan teladan. Suka atau tidak, undi yang telah diberi, menjadikan seseorang pemimpin itu milik rakyat. Mereka harus mencapai piawaian sepertimana yang diharapkan oleh masyarakat. Begitulah sukarnya menjadi pemimpin. Cerdik serta pintar sahaja tidak mencukupi tetapi keperibadian serta akhlak yang terpuji masih lagi dipandang orang.


Namun, secara peribadi saya berpendapat bahawa kita sudah pasti tidak dapat memenuhi semua kehendak orang. Kita hanya boleh buat yang terbaik dan tawarkan yang terbaik untuk berkhidmat kepada bangsa, agama dan negara. Sebagai manusia biasa, memang kita tidak dapat lari dari melakukan kesilapan namun jika sudah bergelar pemimpin tidak kira diperingkat manapun, kita bukan lagi sekadar manusia biasa tetapi insan terpilih yang mesti mengutamakan tauladan sebagai asas kepimpinan dan membena sempadan dalam setiap tindakan. Sesuatu yang sukar untuk dilakukan jika kita melakukannya hanya kerana ingin memenuhi atau mencapai tanggapan sesetengah orang tetapi mudah sekiranya kita melakukannya sebagai satu pilihan untuk berjaya didunia dan diakhirat.


Sudah tiba masanya kita bukan sahaja mengulang suara apa yang sentiasa diperkatakan oleh Pak Lah tentang modal insan tetapi berusaha menjadikan diri kita sendiri sebagai modal insan yang diperkatakan itu. Dalam sebuah negara demokrasi, setiap pemimpin adalah modal untuk dipertaruhkan oleh rakyat demi masa depan mereka, oleh yang demikian modal itu mestilah bakal memberikan keuntungan dan imbuhan yang menguntungkan rakyat itu sendiri. Kalau diberi pilihan, mestilah intan dipilih berbanding kaca namun, dalam sesetengah keadaan, mungkinkah kaca lebih berguna?

3 ulasan:

dekna berkata...

sy tak campur urusan pribadi orang lain, tapi sy tabik kat tok chau sbb brani kerana benar.

Faziehana Z berkata...

Kepimpinan melalui teladan. Seseorang boleh jatuh dengan pelbagai sebab dan selalunya sebab utamanya berpunca dari nafsu.

Dato Dr Chua memang salah seorang pemimpin terbaik negara..malang sekali kita kehilangannya dengan cara sebegini.

Buat Dato Dr Chua semoga dapat terus berbakti dan menyumbang kepada kebajikan dan keharmonian negara.

Tanpa Nama berkata...

moga peristiwa ini akan menjadi satu ikhtibar kpd semua pemimpin tempatan...