
Tidak ada angin, tidak ada pokok bergoyang, tiba-tiba timbul cadangan agar Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO serta Biro Putera dimansuhkan kerana membawa kepada permasalahan politik wang?
Bagaimana dalam Putera yang tidak ada sebarang proses pemilihan boleh berlaku politik wang?Apakah pula rasional untuk Puteri UMNO dimansuhkan?
Dan bagaimana kewujudan Puteri menyumbang kepada politik wang?
Adakah ahli-ahli Puteri terlalu muda dan mereka tidak sepatutnya berpolitik dan sebaliknya hanya menumpukan kepada pelajaran semata-mata?
Atau politik hanya untuk golongan yang sudah berumur? Tidakkah ini merendahkan tahap pemikiran dan kemampuan ahli-ahli Puteri.
Ramai ahli poltik dan ahli Puteri hari ini adalah golongan muda profesional, i.e. mempunyai kelulusan akademik yang tinggi.
Mereka mula meminati politik mungkin sejak zaman persekolahan lagi. Jadi tidak timbul la persoalan hanya perlu menumpukan perhatian kepada pelajaran semata-mata dan harus berada jauh dari politik.
Ramai yang berjaya dalam pelajaran walaupun bergelumang dengan politik.Berpolitik bukan sesuatu yang bersifat mandatori, ia adalah pilihan. Ramai yang memilih untuk berpolitik dan meneruskan pelajaran dan akhirnya berjaya.
Pada hemat saya, jika seseorang itu terkandas dalam pelajaran kerana terlalu aktif berpolitk, maka individu itu adalah seorang yang memang tidak pandai merancang hala tuju hidupnya dan mungkin akan tetap gagal dalam pelajaran walaupun tidak aktif berpolitik.
Soal politik wang pula, rasanya Puteri paling sedikit dikatakan terbabit dalam isu politik wang. Selama ini isu itu banyak dilihat berkaitan dengan pemilihan di peringkat bahagian atau Majlis Tertinggi.
Bila wujud persoalan Puteri perlu dibubarkan kerana politik wang, ia memberikan gambaran seolah-olah akar umbi segala permasalahan politik wang dalam UMNO adalah oleh Pergerakan Puteri.
Tidakkan ini boleh ditafsir sebagai cuba melarikan diri daripada isu yang sebenar? Memindahkan kesalahan ke bahu orang lain?
Selama ini juga kita diajar bahawa pengkhususan adalah satu kaedah terbaik untuk memajukan perniagaan atau menyelesaikan sesuatu masalah.
Melalui kaedah pengkhususan, maka sesuatu aspek atau perkara itu boleh diberikan penumpuan yang sepenuhnya. Ia memahirkan dan memperkayakan pengalaman dalam sesuatu perkara itu.
Justeru, tidakkah kita melihat kewujudan Puteri dan Putera atau Wanita dan Pemuda adalah satu bentuk pengkhususan.
Tidakah ini menjadikan UMNO secara tidak langsung peka dan mewujudkan satu bentuk mekanisme yang membolehkannya memberikan penumpuan kepada semua lapisan dan segmen ahli dalam parti.
UMNO mewujudkan pengkhususan bagi memastikkan semua lapisan ahli diwakili secara saksama. Tidak ada mana-mana kelompok yang tertinggal.
Melalui pengkhususan ini, program-program atau pendekatan yang bersesuaian dengan usia dan kehendak jiwa setiap kelompok ahli dapat dilakukan dengan lebih menyeluruh serta lebih kerap.
Mana yang lebih baik, bergerak dan memberikan perhatian dengan kaedah pengkhususan atau secara longgok.
Dan tidakkah kewujudan Putera dan Puteri juga secara tidak langsung memberikan penghormatan dan mewujudkan platform yang kukuh kepada golongan belia di negara ini.
Bukankah ini antara kaedah terbaik untuk mengetengahkan kedudukan serta bakat-bakat belia. Jika ini pun dirampas, semakin kecil platform belia di negara ini.
Apa pun, Puteri UMNO hari ini mewakili golongan muda yang benar-benar yakin dengan perjuangan UMNO.Puteri UMNO bukan budak hingusan yang tidak matang dalam berpolitik.
Aspirasi dan suara orang muda yang diwakili Puteri telah memberi impak serta satu fenomena baru kepada politik tanah air.
Membubarkan Puteri UMNO bukanlah cara untuk membanteras politik wang malah ia akan menjauhkan lagi golongan muda dari bersama-sama dalam perjuangan UMNO.
Puteri harus terus diberi semangat dan kepercayaan oleh pucuk pimpinan dan bukannya dimansuhkan setelah kami membuktikan komitmen kami kepada parti sejak dari awal penubuhan lagi.
Kami mahu bertindak selaku pelapis kepimpinan kepada parti UMNO ini.
Mungkin Pengerusi Lembaga Disiplin serius mahu melihat pembubaran ini, mungkin juga beliau hanya mahu mengingatkan para generasi muda agar menjauhkan diri daripada politik wang.