Ramai orang bertanya kepada saya, bolehkah wanita bergiat aktif dalam politik termasuk menjadi Ahli Parlimen atau wakil rakyat
Parlimen dan DUN memikul tanggungjawab memantau dan membuat dasar. Perkara ini dalam istilah islah tidak terkeluar daripada amar makruf dan nahi mungkar atau nasihat.
Kedua fungsi ini tidak ada nas dalam Islam yang hanya khusus kepada kaum lelaki sahaja.
Semua orang tahu cerita Umar Bin Al- Khattab menarik balik pandangannya kerana dikritik oleh sorang wanita. Malah sebelum itu nasihat Ummu Salamah kepada Nabi ketika perang Hudaibiah.
Jika wanita berhak menasihati nabi dan khalifah, mana pula hak kita zaman ini menghalang wanita untuk ke majlis permesyuaratan tertinggi dalam negara dan negeri?
Perkara ini bukanlah ibadat khusus. Dalam perkara umum sebegini, ia dianggap harus selagi tidak ada dalil kukuh menghalangnya. Alasan mengatakan tidak ada berlaku dalam sejarah wanita berbuat demikian, Dr. Yusuf al-Qaradawi mengatakan, ia termasuk perkara yang berubah fatwa mengikut perubahan zaman dan keadaan.
Contoh paling jelas, kata al-Qaradawi lagi, pada zaman ini kita memberi ruang kepada wanita dengan tugas yang belum diberikan dulunya. Umpamanya di Malaysia ada wanita yang sudah dilantik ke jawatan Gabenor Bank Negara, atau Naib Canselor dan sebagainya.
Apa bezanya dengan memberikan mereka hak ke parlimen dan DUN?
Kalau berijtihad dibenar kepada lelaki dan wanita yang mencukupi syarat, tidak ada sebab menghalang mereka ke majlis perundangan ini. Aisyah adalah mufti sekali gus seorang mujtahid.
Memang jumlah mereka tidak ramai yang sampai ke tahap itu. Ini merujuk kurangnya mereka diberi peluang belajar pada zaman dahulu. Pada hari ini keadaan sudah terbalik, di mana wanita Malaysia sudah menyaingi kaum lelaki dalam pendidikan.
Al-Quran menceritakan tentang puteri Balqis yang menjadi pemerintah di negara Saba. Seorang ratu yang cukup bijak dan berhati-hati ketika berdepan dengan nabi Allah Sulaiman. Akhirnya beliau memeluk Islam.
Kisah ini paling tidak menunjukkan kebijaksanaan wanita dalam mengurus politik dan pemerintahan.
Walau bagaimanapun pandangan ini tidaklah membenarkan wanita bebas bergaul tanpa batas dengan lelaki seperti berlaku dalam beberapa keadaan. Atau kerana asyik berpolitik sampai mengabaikan hak suami dan anak-anak.
Wallahualam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan