Wanita terpaksa memikul beban yang berat, melaksanakan tugas-tugas kekeluargaan serentak dengan tugas kerjaya, menyebabkan sesetengahnya berada dalam konflik yang menyulitkan.
Malah imej wanita berubah bagaikan `Super Women’ yang ingin melaksanakan segala-galanya dengan cemerlang, tetapi menghadapi tekanan untuk melaksanakannya. Kerja rumah tangga juga perlu diurus secara profesional. Seorang wanita berkeluarga tidak boleh lari daripada menjadi pengurus rumah tangga walaupun dia seorang yang berkerjaya atau seorang yang profesional dalam bidangnya di luar rumah.
Seorang pengurus rumah tangga mempunyai tanggungjawab berat sebagai seorang isteri, ibu (jika mempunyai anak), dan keluarga. Justeru, untuk menunaikan pelbagai tanggungjawab ini dengan berkesan, seorang wanita perlukan pelbagai kemahiran dan kecekapan.
Oleh hal yang demikian itu, cabaran utama yang perlu ditangani oleh wanita bekerjaya ialah dari segi kualiti pengurusan masa yang seimbang antara kerjaya , keluarga dan diri sendiri. Apa yang membanggakan, wanita hari ini tetap dengan semangat gigih memikul tanggungjawab sebagai pekerja, isteri dan ibu. Namun tidak kurang juga yang memilih untuk berhenti kerja dan mengorbankan cita-cita dan minat semata-mata mahu menumpukan perhatian kepada keluarga walaupun berkelulusan tinggi dan mempunyai kemahiran.
Dalam dunia IT yang serba canggih ini telah timbul satu suasana baru di mana kaum wanita boleh meneruskan kerjayanya di rumah. Secara tidak langsung mereka akan memupuk potensi mereka sendiri di rumah atau Home Base versus Office Based.
Alternatif bekerja dari rumah (BDR) bukanlah satu konsep yang baru kerana telah diamalkan di beberapa buah negara Barat. Malah konsep BDR telah menarik beberapa pihak merancang dan melaksanakan beberapa program berorientasikan BDR di Malaysia. Beberapa tokoh termasuk mantan Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil turut memperjuangkan konsep SOHO (Small Office-Home Office), di mana pekerja tidak perlu menghadirkan diri di pejabat. Ini terutamanya dalam bidang-bidang berkaitan IT dan penulisan.
Dengan program seperti ini, potensi dan produktiviti wanita juga tidak akan tergugat dan pada masa yang sama keharmonian keluarga lebih terjamin. Ini secara tidak langsung mendedahkan wanita di negara ini dengan senario positif di mana mereka boleh memaksimumkan potensi bekerja di rumah jika peluang dan keadaan mengizinkan.
Dari apa yang telah diperkatakan tadi, jelas kepada kita bagaimana kerjaya wanita kini berperanan memberikan saham kepada pembangunan masyarakat menerusi institusi dan aktiviti. Jika setiap daripada kita menjadi seorang pengurus yang berkesan, insya-Allah institusi kita akan terbina dengan kukuh dan cemerlang. Kita juga akan berupaya meningkatkan martabat agama kita khasnya dimata masyarakat Malaysia dan yang paling penting sekali tiada negara lain yang akan mempertikaikan hak kita yang telah termaktub dalam undang-undang negara kita.
1 ulasan:
Salut deh untuk kita para wanita yang dituntut untuk menjadi wanita super. sukses ya..lam kenal
Catat Ulasan