29 September 2008

Disaat gembira jangan lupa mereka yang berduka




Hari Raya Aidil Fitri akan menjelang dua hari sahaja lagi.Walaupun ekonomi negara agak lembab tapi saya mendapati Pusat-pusat Membeli belah menjadi tumpuan seperti biasa. Umat Islam menyambut lebaran dengan penuh kemeriahan.Menurut seorang kawan yang berkunjung ke Jalan TAR minggu lepas,orang-ramai berpusu-pusu sehingga jam 2 pagi.Pendekata,aidil fitri tetap disambut seperti biasa.

Bagi diri saya,sambutan lebaran kali ini pastilah agak berbeza.Namun persiapan anak-anak menjadi keutamaan saya dan suami.Tapi hairan juga saya,kenapalah baju kanak-kanak harganya lebih mahal dari baju orang dewasa.Nasib baiklah anak-anak saya tidak cerewet,janji mereka ada baju baru untuk berhari raya.Yang penting ialah sambil kita bergembira,jangan lupa untuk memberi kefahaman kepada anak-anak bahawa ada orang lain yang berduka.

Tengahari tadi saya mendapat panggilan tentang kebakaran yang berlaku di Jengka 3. Sepasang warga emas yang sedang membuat persiapan menyambut kepulangan anak-anak,tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka hangus dijilat api.Mujurlah tiada kemalangan jiwa.Namun,sayu juga hati saya melihat kerepek pisang yang sedang digoreng sejurus sebelum berlaku kebakaran,bertaburan diatas tanah. Lebih sayu apabila melihat anak-anak yang baru tiba dari kota terkejut melihat rumah mereka sudah hanya tinggal abu. Tapi,bak kata orang,berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Sebagai wakil rakyat,saya terus menguruskan tempat tinggal sementara mereka dan sedaya upaya menyediakan apa sahaja keperluan segera keluarga malang ini. Terimakasih kepada pihak felda yang meluluskan segera peruntukan RM10 ribu dan YAB Menteri Besar yang bersetuju meluluskan RM5ribu untuk membaikpulih rumah keluarga berkenaan.

Sebenarnya ramai lagi diluar sana yang berduka menjelang hari yang mulia ini.Mereka yang kehilangan orang yang dikasihi sudah pasti melalui aidil fitri ini dengan kesayuan dihati.Jika ada upaya kita,hulurkan secebis rasa ihsan agar beban mereka dapat diringankan. Teringat pula saya kepada Pakcik Dolah seorang warga emas yang tinggal sebatang kara yang saya dimaklumkan tidak punya rumah tempat berteduh minggu lalu.Puas hati saya apabila Pakcik Dolah tersenyum gembira apabila saya menyediakan ruang tambahan di sebuah surau untuk tempat beliau berteduh sementara menunggu permohonan saya untuk menempatkan beliau di Rumah Seri Kenangan diluluskan.Sekurang-kurangnya Pakcik Dolah tidak perlu lagi menumpang dirumah jiran-jiran.Moga Pakcik Dolah ceria diaidil fitri ini dan keluarga Pakcik Mat di Jengka 3 tabah menghadapi dugaan atas musibah yang melanda. Terimakasih kepada Dato R yang menghulurkan wang zakatnya untuk saya agihkan kepada anak yatim di kawasan saya.Moga Aidil Fitri kali ini membawa ketenangan kepada kita semua.

Tiada ulasan: