Saya cukup berasa pelik kenapa skim cepat kaya ini masih berterusan wujud di negara ini. Pelbagai langkah dan tindakan telah dilaksanakan terhadap mereka yang mewujudkan sistem ini namun masih gagal menangani masalah ini.
Yang sering menjadi mangsa selalunya orang melayu, orang melayu dan orang melayu. Sangat jarang ia membabitkan bangsa lain. Pembongkaran akhbar Utusan Malaysia semalam mengenai empat kes skim cepat kaya yang diserbu dan disoal siasat Bank Negar Malaysia semalam benar-benar membuat saya berasa terpanggil dan pelik kenapa orang kita ini tidak pernah sering ditipu dengan pelbagai skim sebegini.
Hakikatnya bukan senang nak kaya, yang jadi kaya ialah pengusaha skim cepat kaya kerana dilaporkan kesemua mereka mempunyai rangkaian pelabur membabitkan ratusan ribu pelabur dengan jumlah pelaburan berjumlah ratusan juta ringgit.
Ada diantara pelabur yang sanggup membuat pinjaman sama ada melalui bank atau menggunakan kad kredit untuk membuat pelaburan. Lebih malang lagi ada yang menggadaikan tanah atau berhutang dengan orang lain untuk membuat pelaburan yang dikatakan akan memberi pulangan lumayan berkali ganda.
Tidakkah kita sedar semua ini terang-terang menganiaya diri mereka sendiri akhirnya apabila duit yang mereka laburkan hilang dibawa lari oleh mereka yang mendakwa mampu membuat keuntungan lumayan melalui pelaburan yang sebenarnya tidak wujud.
Akibatnya mereka bukan sahaja kehilangan wang yang dilaburkan malah terpaksa menanggung hutang yang menggunung setelah kegiatan kumpulan ini dibongkar dan didedahkan.
Saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar belajar dari kesilapan yang telah didedahkan sebelum ini bahawa kekayaan tidak datang bergolek dan dalam sekelip mata tetapi melalui usaha keras dan bersungguh-sungguh.
Telah banyak cerita dan pengalaman mereka yang menjadi kaya melalui kepayahan dan kesusahan yang terpaksa dilalui sebelum hidup mewah tetapi bukannya melalui skim cepat kaya seperti ini.
Kita nak menyalahkan pengusaha skim ini 100% pun tak boleh kerana mewujudkan peluang sebegini. Ini kerana yang menjadi masalahnya ialah wujudnya permintaan dan dorongan dari orang ramai yang mahu hidup mewah tanpa perlu bersusah payah.
Orang seperti inilah yang boleh kita ibaratkan sebagai pemalas dan terperangkap dengan angan-angan mat jeninnya....
Saya sangat berharap agar kita janganlah mudah terpedaya dan terperangkap dengan skim seperti ini kerana mengimpikan untuk menjadi kaya namun akhirnya tertipu malah lebih menyayat lagi terpaksa menanggung hutang yang melampau hanya kerana ingin menjadi kaya....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan