16 Oktober 2008

PUTERI UMNO MESTI MATANG, BERANI


DATUK Shahaniza Shamsuddin, 38, bukan orang baru dalam Pergerakan Puteri UMNO. Sebagai Ketua Penerangan, peranan Shahaniza adalah memastikan setiap agenda Puteri disampaikan kepada akar umbi dengan berkesan.
Shahaniza yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Sentol,Pahang percaya beliau mesti berperanan lebih daripada itu berdasarkan mandat serta kepercayaan yang diberikan kepadanya di peringkat akar umbi.
Beliau yang memilih untuk bertanding jawatan Ketua Puteri UMNO melihat cabaran sebagai pemimpin pergerakan orang muda itu amat besar.
Beberapa kelemahan dalam Puteri juga telah dikenal pasti perlu segera diperbetulkan.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, NORAINI ABD. RAZAK, Shahaniza menjelaskan misinya jika diberi mandat untuk memimpin Puteri kelak terutamanya dalam memastikan pergerakan itu tidak tergelincir daripada objektif penubuhannya.
Bagi lulusan Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia ini, pertandingan merebut jawatan parti bukan didorong oleh kepentingan peribadi, sebaliknya ia melambangkan kematangan Puteri untuk meletakkan diri sebagai pemimpin yang sanggup memikul tanggungjawab.
Beliau yakin, persaingan merebut jawatan Ketua Puteri bersama tiga lagi calon yang juga mempunyai ciri-ciri kepimpinan serta kredibiliti tidak menghapuskan semangat setiakawan jauh sekali menghakis kesetiaan di kalangan mereka.
Jika tewas dalam percaturannya kelak, Shahaniza bersedia untuk berlapang dada, meneruskan sokongan serta menghulurkan kerjasama kepada barisan kepimpinan yang diberi kepercayaan oleh akar umbi.
Utusan: Puteri berpendirian tidak berkompromi dalam pertandingan jawatan ketua dan naib ketua. Apa isyarat daripada perkembangan ini?
SHAHANIZA: Isyarat daripada akar umbi ialah Puteri mahukan perubahan. Puteri juga mahu diberi peranan lebih penting dalam parti dan mereka bersedia untuk mengambil tanggungjawab itu dari sekarang.
Puteri tidak mahu sekadar orang kata menjadi supporting role kepada parti tetapi memainkan peranan lebih daripada itu. Dalam keadaan kita ingin menarik kembali sokongan rakyat khususnya golongan muda kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN), Puteri bersedia untuk memainkan peranan.
Adakah ia menunjukkan bahawa Puteri semakin matang?
Saya lihat selama beberapa tahun kebelakangan ini dalam program-program penerangan yang kami jalankan, memang nampak Puteri semakin matang. Puteri mempunyai idealisme mereka sendiri dan mereka telah bersedia untuk bergerak ke hadapan dengan kekuatan mereka sendiri.
Puteri juga mempunyai semangat jati diri yang kuat dan mereka inilah yang bangkit hari ini mempertahankan parti kita dan bersedia untuk bersama-sama mengambil tanggungjawab mengembalikan kegemilangan UMNO.
Apa sebenarnya yang mendorong Datuk untuk bertanding jawatan Ketua Puteri?
Yang mendorong saya ialah suara akar umbi itu sendiri. Mereka berasakan saya boleh menerajui satu pergerakan yang lebih berani dan dapat memainkan peranan lebih penting, menyuarakan pandangan akar umbi khususnya orang muda dan memperjuangkan aspirasi orang muda ini. Sebenarnya saya bukan menawarkan diri atas hasrat peribadi saya, saya membawa suara mereka di bawah yang mahukan perubahan penting ini kepada Puteri.
Bagaimana Datuk melihat pencapaian Puteri selepas tujuh tahun ditubuhkan?
Kita kena balik kepada asas perjuangan Puteri. Asas perjuangan Puteri ialah kita diiktiraf menjadi satu sayap parti. Apabila kita mendapat pengiktirafan sedemikian bermakna kita mempunyai peranan yang penting dalam mencapai objektif serta matlamat penubuhan Puteri. Kita mesti mengambil berat apa yang diperjuangkan oleh parti. Misalnya orang muda dikatakan tidak mahu atau tidak suka kepada parti bersifat perkauman tetapi ini adalah penting mengapa komponen BN itu perlu terus bersatu.
Adakah Puteri telah mencapai objektif penubuhannya?
Antara objektif kita, pertama ialah untuk menarik wanita muda menyertai UMNO dan ini merupakan satu idea yang 'fantastik' di mana kita dapat melihat pelbagai golongan wanita Melayu muda kini bersama UMNO. Puteri bukan sahaja menghimpunkan kalangan profesional malah wanita muda daripada pelbagai latar belakang dan kelompok. Ini tidak dinafikan oleh parti pembangkang malah mereka cuba meniru kita, tetapi kita masih mendapat sokongan daripada wanita muda negara ini. Mungkin kita tidak boleh mengukur sokongan dari sudut keahlian kerana ramai juga kawan kita di luar sana yang sering memberi sumbangan idea dan memberi perhatian kepada kita. Sebab itu saya selalu tekankan bahawa pemilihan kali ini amat penting kerana selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 rakyat mengharapkan perubahan kepada UMNO. Pemilihan Puteri UMNO juga penting kerana ia akan menentukan hala tuju UMNO selepas ini sama ada rakyat masih boleh meyakini UMNO atau pun tidak. Saya berharap akar umbi akan membuat satu keputusan yang bijak. Sebab itulah saya menawarkan diri untuk bersama-sama dengan akar umbi demi memastikan UMNO terus menerajui BN dan terus menerajui negara demi masa depan bangsa kita.
Jika dipilih kelak, Datuk memikul tanggungjawab serta tugas yang berat untuk menarik sokongan golongan muda dalam UMNO. Datuk bersedia berbuat demikian?
Saya akui, ini adalah cabaran paling berat kepada Puteri UMNO, bukan kepada saya seorang. Cabaran paling besar ialah untuk memberi keyakinan kepada orang muda bahawa perjuangan kita adalah perjuangan yang sebenar-benarnya. Kita ada tanggungjawab untuk memahamkan mereka. Kebanyakannya tidak lagi kisah tentang kontrak sosial, tentang sejarah, tentang apa yang termaktub dalam Perlembagaan, hak keistimewaan orang Melayu. Pada mereka itu semua sudah ketinggalan zaman dan tidak relevan lagi. Mereka hanya memandang ke hadapan dan tidak mahu memandang ke belakang. Inilah cabaran kita, selain memberi kefahaman, pendekatan kita mesti betul. Pendekatan kita kepada golongan ini mesti mengikut aspirasi dan cita rasa mereka, barulah kita dapat memberi kefahaman kepada mereka. Dalam konteks itu, saya mengajak semua untuk bersama-sama mengadakan anjakan dan melakukan perubahan supaya orang muda di luar sana menghormati kita. Kalau kita sendiri yang memperjuangkan parti tidak mahu berubah, tidak mahu memberi komitmen dan pengorbanan sepenuhnya, kita semua akan hilang. Banyak sejarah telah berlaku, parti-parti yang hebat satu masa dulu menjadi tidak relevan. Tentunya kita tidak mahu UMNO jadi begitu. Objektif kita tetap sama, kita tidak mahu mengubah objektif. Yang kita mahu ubah ialah pendekatan dan cara kita untuk menangani masalah-masalah di luar sana. Kita perlu memahami kehendak di luar sana.
Apa pendekatan Datuk jika terpilih sebagai Ketua Puteri?
Datuk Azalina Othman Said dan Datuk Noraini Ahmad telah berjaya sebagai Ketua Puteri. Azalina dengan gaya yang agak agresif, lantang kerana ketika itu kita baru hendak menubuhkan Puteri dan Noraini pula apabila dia memimpin semuanya telah tersedia. Beliau membawa cara memujuk, mendekati rakyat dengan program-program kebajikan. Saya nampak kedua-duanya adalah formula yang baik. Jika diberi mandat dan tanggungjawab itu, saya akan memimpin Puteri dengan menggabungkan kedua-dua formula dan menambah unsur lain supaya Puteri dilihat sebagai sayap parti yang relevan kepada orang muda dan masyarakat di luar sana, yang sanggup memperjuangkan suara orang muda dan berani lantang bersuara. Dalam pada itu kita juga mesti menjadi pergerakan yang aspirasinya berakhlak dan berilmu.
Berakhlak dalam konteks kita berani untuk menyuarakan suara orang muda dengan cara yang bertempat. Kita tidak boleh semberono, kita kena tengok di mana platform kita, di mana ruang kita dan di mana gelanggang kita. Kita boleh menggunakan cara Noraini iaitu pendekatan memujuk, berlembut dan berdiplomasi tetapi adakalanya pula kita perlu agresif, yang penting kita dapat mencapai objektif kita. Dan yang paling penting ialah untuk orang lain menghormati kita. Jadi kita mesti menjadi pergerakan yang dihormati barulah kita disegani oleh kawan dan lawan.
Program anjuran Puteri selama ini lebih berbentuk kebajikan sedangkan Puteri sepatutnya bergerak lebih daripada itu.
Adakah Puteri gagal berfungsi sepenuhnya?
Itu hanya dari segi cara kita untuk mendekati masyarakat. Sebab itu saya kata dalam membuat aktiviti, kita tidak boleh syok sendiri dan sekadar membuat aktiviti. Kita kena ada strategi, apakah kesan politik daripada aktiviti yang kita buat itu.
Oleh itu kita mesti mempunyai barisan kepimpinan Puteri yang melihat objektif terlebih dahulu sebelum kita mencari jalan bagaimana hendak mencapai objektif. Pada saya pendekatan seperti NGO ini dibawa sejak mula penubuhan Puteri. Ia adalah baik kerana dengan cara itu kita dapat mendekati masyarakat. Dan ia akan diteruskan jika saya diberi mandat kepimpinan kelak.
Namun begitu pada masa yang sama kita perlu juga dilihat sebagai satu pergerakan yang berani menyuarakan pendapat tanpa perlu menunggu Perhimpunan Agung UMNO sahaja. Saya kurang bersetuju jika dikatakan aktiviti yang Puteri jalankan kurang kesannya, cuma mungkin dari segi strategi perlu diperbetulkan. Mungkin di situlah kekurangannya, tetapi dari segi kejayaan aktiviti-aktiviti ini memang tidak dapat dinafikan.
Apa ciri-ciri Naib Ketua yang sesuai untuk digandingkan dengan Datuk jika dipilih sebagai ketua kelak?
Saya nampak dari segi personaliti dan peribadi, semua calon naib yang menawarkan diri boleh bekerjasama, tetapi kita ingin mencari bukan sahaja orang yang setia kepada kita tetapi juga orang telah membuktikan dia boleh bekerja, dan orang yang boleh compliment dengan ketua. Ketua tidak boleh memimpin seorang, ketua kena ada team work yang baik, itu yang saya bawa. Kita kena ada team yang baik supaya akhirnya kejayaan adalah untuk pergerakan, bukan kejayaan untuk mempopularkan ketua atau diri kita. Orang nombor dua itu mesti compliment kita, kekurangan kita mesti ada kelebihan pada dia. Kita mesti groom sekarang golongan muda yang akan datang. Puteri telah bersedia memainkan peranan penting dalam negara. Selepas ini Puteri melangkah setapak lagi ke hadapan memainkan peranan di peringkat antarabangsa. Kita mesti groom orang bawah kita untuk bersedia ke arah itu. Orang nombor dua mesti memenuhi ciri-ciri itu. Selain ciri-ciri yang baik, memberikan komitmen yang baik serta memahami latar belakang politik sebenar, beliau juga mesti seseorang yang boleh compliment ketuanya.
Nampaknya Puteri sekarang sudah pandai berpolitik, adakah Datuk bersetuju?
Pada saya Puteri sekarang ini memang sudah pandai berpolitik, ada perubahan berbanding dengan kami tujuh tahun lalu. Tidak dinafikan ada juga yang sudah terikut-ikut. Saya percaya dan yakin ramai lagi ahli Puteri yang masih berpegang kepada semangat setiakawan dalam Puteri. Saya sendiri dan kawan-kawan yang bertanding saling menghormati antara satu sama lain. Kita juga mengelak sedaya upaya dan mengawal penyokong-penyokong daripada memburukkan antara satu sama lain kerana yang penting ialah Puteri itu sendiri, bukan individu. Pada saya, siapa pun terpilih nanti ialah pemimpin terbaik yang telah diberi kepercayaan oleh akar umbi dan perlu disokong. Itulah janji saya. Jika saya terpilih saya tidak akan mengetepikan rakan-rakan lain walaupun mereka tidak menyokong saya.
Begitu juga kalau bukan saya dipilih, maka saya akan meminta penyokong-penyokong saya dan saya sendiri akan menyokong kepimpinan beliau nanti. Yang penting ialah objektif perjuangan kita.
Jika terpilih, apakah cabaran yang Datuk galas untuk memastikan Puteri tidak tersasar daripada objektif penubuhannya?
Pertama menangkis persepsi orang terhadap Puteri. Persepsi bahawa Puteri hanya budak-budak. Ketua Puteri bahagian dan cawangan tidak dihormati. Suara serta pandangan mereka tidak didengar dan ini adalah satu cabaran. Saya mahu kepimpinan Puteri di pelbagai peringkat dihormati bukan sahaja oleh parti tetapi juga oleh pembangkang. Satu ketika dulu Puteri sangat digeruni pembangkang tetapi hari ini Puteri dipermainkan dan inilah cabarannya untuk menolak persepsi yang telah mula ada dalam masyarakat tentang Puteri. Kita mahu Puteri dilihat berilmu, berakhlak dan berani. Inilah cabaran yang akan saya hadapi bagaimana untuk groom kepimpinan Puteri daripada akar umbi. Jika akar umbi kuat barulah pucuk yang dikeluarkan itu muda dan elok.
Bagaimana Datuk melihat trend pemilihan setakat ini?
Setakat ini di peringkat akar umbi mahu Puteri dilihat sebagai sayap penting dalam parti. Mereka ingin dipandang sebagai mempunyai pendirian sendiri. Contoh dari sudut pencalonan, tiada lagi sentimen kenegerian, saya sendiri tidak mendapat pencalonan penuh dari Pahang. Saya menghormati perkembangan ini kerana kita mahu Puteri dapat memperlihatkan pendirian mereka sendiri dan tidak dipengaruhi oleh orang lain. Saya nampak trend ini dalam pemilihan kali ini. Puteri berani untuk mengatakan pendirian mereka dan kebanyakan ahli Puteri yang saya jumpa berkata, ini bukan perkara main-main, kita hendak memilih kepimpinan Puteri di peringkat nasional yang hendak memimpin Puteri di seluruh negara, bukan hendak memimpin Puteri di satu-satu tempat atau di satu-satu kelompok. Jadi, kita kena ada sifat berlapang dada dan berjiwa besar jika kita tidak dicalonkan oleh mana-mana pihak.
Bagaimana Datuk menilai tiga calon lain yang bertanding jawatan Ketua Puteri?
Semuanya mempunyai kepimpinan, berkredibiliti dan saya percaya jika salah seorang daripada kami diberi mandat, kami dapat memimpin dengan baik. Cuma kita mencari yang terbaik di kalangan yang terbaik. Tidak ada siapa boleh mengaku dia yang terbaik. Hanya akar umbi yang akan menilai dan menentukan. Jadi kita pilihlah yang terbaik. Mereka tidak boleh main-main, pemilihan kali ini sangat penting kerana masyarakat di luar sana tertunggu-tunggu kalau kita membuat pilihan yang silap, mungkin sokongan kepada kita akan lari. Oleh itu saya meminta akar umbi membuat keputusan dan pilihan yang bijak. Kita tidak boleh memikirkan hati dan perasaan pada ketika ini, yang penting ialah bangsa dan perjuangan kita.
Apa misi Datuk jika terpilih sebagai Ketua Puteri kelak?
Saya ingin melihat Puteri memainkan peranan penting, dihormati dan digeruni oleh lawan. Itulah misi saya dan itulah yang saya hendak lihat apabila saya tidak lagi berada dalam Puteri. Puteri mesti kembali kepada semangat penubuhannya, mengekalkan semangat setiakawan dan bersetia dalam perjuangan. Kita lihat bakat kepimpinan dalam Puteri terputus disebabkan oleh faktor usia sementelah untuk mendapat jawatan dalam Wanita UMNO juga tidak mudah.
Bagaimana caranya untuk memastikan kepimpinan Puteri berterusan?
Mungkin ia terjadi kerana orang tidak hormat kepada kita. Orang rasa kita tidak penting - bak kata ' ada tak - menambah, tak ada - tak kurang.' Mungkin itu persepsi orang kepada kita dan ini kerugian kepada parti kerana suara muda ini telah menunjukkan komitmen dan pengorbanan tidak berbelah bahagi. Sayang, kepimpinan yang ada ini dibiarkan begitu sahaja semata-mata kerana mereka tidak ada tempat lagi dalam Puteri disebabkan oleh faktor usia. Saya perlu melakukan sesuatu jika saya menjadi Ketua Puteri untuk mengatasi masalah ini. Misalnya apa salahnya bekas pemimpin ini kita jadikan penasihat atau fasilitator. Kita kumpulkan mereka walaupun mereka tidak ada jawatan, saya percaya mereka masih ingin menyumbang. Satu mekanisme mesti ada untuk mengumpulkan mereka ini dan kita gunakan idea-idea mereka untuk menentukan kualiti keahlian kita. Ada juga pemimpin-pemimpin Puteri yang aktif dalam Wanita UMNO dan bertanding jawatan ketua wanita bahagian. Tetapi ramai yang mengambil jalan tidak bertanding. Untuk diterima dalam Wanita kita kena pandai membawa diri dan menyesuaikannya dengan keadaan. Puteri kena bersedia untuk berbuat demikian, soal blocking tidak ada.
Datuk turut dikaitkan dengan politik wang, kononnya membeli undi untuk dicalonkan, apa komen Datuk?
Walaupun saya sendiri digosipkan kononnya membeli pencalonan, saya mencabar mereka membuat laporan. Bagi saya pencalonan tidak melambangkan sokongan. Pencalonan adalah sokongan moral kepada saya. Saya percaya jika kita mengamalkan politik wang, ini adalah kerja sia-sia, maknanya kita memperjudikan nasib bangsa kita sendiri. Kalau ini berlaku, kita kena tolak pemimpin sebegini, ini bukan perjuangan Shahaniza, tetapi suara akar umbi yang mahu melihat Puteri menjadi sayap penting dalam parti dan mahu Puteri berani menyuarakan suara mereka dan memperjuangkan aspirasi mereka.

Tiada ulasan: