Gambar di atas adalah En. Ghani, bapa kepada kanak-kanak berusia 10 tahun, Nurul Huda yang dirogol sebelum dibunuh dengan kejam di Johor empat tahun lalu.
Lihatlah betapa hiba dan sengsaranya dia di atas apa yang terpaksa ditempuh keluarganya disebabkan kematian yang sungguh tragis itu.
Saya bukan manusia sekiranya saya berpuas hati dengan keputusan mahkamah tidak mengenakan hukuman gantung ke atas bekas pengawal keselamatan, Mohd Abbas Danus Baksan, lelaki yang pada mulanya disabitkan tuduhan membunuh kanak-kanak malang itu.
Pun begitu saya tetap bersyukur kerana mahkamah mengekalkan hukuman penjara 20 tahun dan 24 sebatan dengan rotan yang diputuskan Mahkamah Sesyen Johor Baharu bagi kesalahan merogol Nurul Huda biarpun Mohd. Abbas terlepas hukuman sebatan kerana dia kini berumur 52 tahun.
Sebagai seorang yang mempunyai latar belakang perundangan, saya tetap akur dan menghormati keputusan mahkamah, apa yang saya rasa dan apa yang saya fikirkan ketika ini sudah tidak relevan lagi.
Kita perlu ingat, ini adalah kelebihan mahkamah. Mahkamah tidak boleh membenarkan para hakimnya menjalankan tugas mereka mengikut hati dan sensitiviti, semuanya mesti dan wajib melalui proses pembicaraan yang teliti mengikut lunas undang-undang yang telah diwartakan.
Bagaimanapun saya akui yang saya agak resah bila Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zaki Tun Azmi berkata terdapat banyak lompang dalam kes ini. Banyak yang tidak lengkap.
"Adalah menjadi tanggungjawab pendakwaan untuk membuktikan pembunuhan itu. Tugas pihak pembelaan ialah untuk menimbulkan keraguan," katanya seperti mana yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar hari ini.
Jika ini benar, saya rasa pihak yang terlibat perlu melakukan 'post mortem' dan melihat semula kelemahan-kelemahan yang disebut oleh Tan Sri Zaki itu
Perkara sebegini bukan pertama kali disentuh oleh para hakim khususnya dalam kes-kes jenayah berprofil tinggi seperti ini.
Jika pihak yang terlibat masih gagal menghayati teguran dan pesanan yang diperkatakan itu, jangan terkejut jika selepas ini ramai lagi penjenayah yang sepatutnya menerima hukuman, terlepas hanya kerana kegagalan pihak pendakwaraya dan pihak polis menjalankan siasatan mereka dengan sempurna.
Jauh di sudut hati saya, jika benar bukan Mohd. Abbas seorang saja yang terlibat dalam kes tersebut, saya harap konco-konconya yang lain tidak akan terlepas begitu saja
Mereka perlu diburu hingga ke lubang cacing. Mereka perlu dihukum setimpal dengan dosa mereka pada adik Nurul Huda.
Saya tetap percaya pada kata pepatah, pelanduk mungkin lupakan jerat tetapi jerat tidak mungkin lupakan pelanduk.
Ingat, airmata keluarga dan seluruh warga Malaysia yang tumpah di atas kejadian menyayat hati itu tidak mungkin dapat membasuh dosa-dosa yang dilakukan oleh perogol dan pembunuh adik Nurul Huda.
Itu yang pasti!
3 ulasan:
Sedih , terkilan dan amat kecewa... Apakah yang telah terjadi pada masyarakat hari ini? Apakah kita hanya boleh bermimpi bahawa keadilan pasti akan hadir?
Datuk YB kenala buat sesuatu... Takkan nak biar aje perkara macam nie terlepas pandang...
Hai sha...salam dari zack (tepak) selamat bertanding- utk menghubungi saya zack1504@gmail.com
ya,kita perlu lakukan sesuatu..sebab itulah saya mahu jadikan Puteri sebuah pergerakan yang mantap dan disegani supaya kita boleh memperjuangkan isu sebegini dengan lebih berkesan.
Hai tepak..tq kerana sudi melawat blog ini...really apperciate comments and contributions from an otai like you...he he he
Catat Ulasan