Saya tertarik dengan satu berita yang dikeluarkan di akhbar hari ini bahawa calon-calon yang bertanding diingatkan tidak berasa selesa dengan pencalonan yang banyak kerana ia tidak mencerminkan keputusan sebenar.
Kenyataan ini dikeluarkan oleh Menteri Pendidikan Datuk Seri Hishamudin Tun Hussein yang bertanding jawatan Naib Presiden Umno. Kenyatan beliau ini sangat jelas dan tepat kepada semua calon-calon yang bertanding termasuklah diri saya sendiri.
Bagi saya kenyataan ini tepat pada masanya supaya para calon tidak terbuai dengan mimpi indah berikutan telah mendapat pencalonan yang banyak atau mencukupi.
Saya sendiri merupakan calon ketua puteri yang paling tinggi jumlah pencalonan setakat ini namun saya sentiasa mengingatkan kepada diri saya sendiri jangan terlalu dibuai dengan kenyataan ini. Semua ini masih jauh lagi dan sebarang keputusan akhir mungkin berubah.
Mungkin ada calon yang mendapat pencalonan yang sedikit tetapi mereka mempunyai sokongan yang kuat ketika pemilihan sebenar bermula nanti atau pun sebaliknya. Bagi saya menang atau kalah itu bukan pokok persoalannya tetapi saya akan berusaha untuk menjayakan matlamat dan visi untuk menjadikan pergerakan puteri sebagai satu pergerakan yang kuat dan mampu membantu mengukuhkan parti Umno sebagai parti yang benar-benar membela orang melayu.
Perjuangan saya pastinya untuk memastikan UMNO terus kukuh melalui Puteri dan Puteri juga terus kukuh dalam UMNO sebagai satu sayap yang digeruni dan dihormati. Pada masa ini, tumpuan banyak terarah kepada Pemuda dan Wanita sejajar dengan usia kedua-dua sayap berkenaan. Justeru, saya melihat kini sudah masanya Puteri melalui fasa mematangkan diri. Lahir di zaman Datuk Seri Azalina Othman Said dan membesar di zaman Datuk Noraini Ahmad, berilah saya peluang untuk menjadikan Puteri lebih matang.
Menjadi Puteri matang adalah sebab mengapa saya menolak kompromi untuk jawatan sejak awal lagi. Seperti yang pernah saya katakan, memang mudah kalau buat kompromi dan membahagi jawatan sesama sendiri. Tidak perlu berpenat lelah berkempen.
Sekali lagi saya tegaskan berilah saya peluang untuk memimpin pergerakan Puteri bagi menjayakan visi dan wawasan yang telah saya nyatakan sebelum ini dan saya berharap adik-adik puteri dapat membuat keputusan yang tepat.
Matlamat dan apa yang saya ingin perjuangkankan boleh dicapai jika saya diberi peluang untuk memimpin pergerakan ini.
Oleh itu saya akan sentiasa mengingatkan diri saya supaya tidak dibuai dengan jumlah pencalonan namun yang paling penting adalah memastikan survival puteri dan Umno secara keseluruhannya akan terus dipertahankan untuk kelangsungan orang melayu...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan